Monday, 31 December 2007

Selamat Tahun Baru 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru 2008, semoga visi dan misi di tahun 2007 telah disempurnakan. Kesempatan diambil untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 kepada semua rakan-rakan di KDRM, sahabat-sahabat di arena Bowling tempatan dan antarabangsa, rakan-rakan di UUM dan semua yang mengenali diri saya. Semoga berjaya dalam apa jua bidang yang bakal diceburi pada tahun 2008 nanti. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 23 December 2007

Majlis Jamuan Berjaya Times Square

Jurulatih dan ahli keluarga Bowling Sukan Teras di Berjaya Times Square telah mengadakan jamuan ringkas sebagai penutup tahun 2007 pada malam tadi. Saya telah diundang oleh jurulatih Ali Hanafiah dan turut serta Abdul Jalil, Pegawai Pembangunan Sukan (SDO). Jamuan diadakan di Bilik Jamuan, Ampang Superbowl, Aras 5, Berjaya Times Square. Semoga ikatan persahabatan di kalangan pemain, ahli-ahli keluarga dan jurulatih dapat dijalin bagi memantapkan Bowling Kuala Lumpur.

Friday, 21 December 2007

Penilaian & Pemilihan Pemain Sukan Teras 2008

Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menganjurkan sesi penilaian & pemilihan (evaluation 2008) untuk pemain-pemain bawah 18 tahun bagi mengikuti latihan sukan teras sepanjang tahun 2008. Sesi penilaian dan pemilihan akan diadakan pada 6 Januari 2008 (Ahad) jam 10.00 pagi bertempat di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade, Sri Petaling. Sesi penilaian akan diketuai oleh jurulatih negara Encik Foong Tak Meng dan dibantu oleh beberapa penolong jurulatih, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur dan wakil dari persatuan. Kepada sesiapa yang berminat bolehlah hadir pada tarikh dan waktu yang telah dinyatakan dengan membawa bersama peralatan bowling (jika ada). Pemain-pemain yang terpilih akan mengikuti latihan dibawah bimbingan jurulatih bertauliah dari Majlis Sukan Negara selama 10 bulan. Pemain juga akan didedahkan kepada beberapa kejohanan seperti Sirkit Remaja Kebangsaan dan lain-lain kejohanan terbuka dan jemputan.

Sunday, 16 December 2007

Sorotan Sukan Sea 2007


Alhamdullilah Pasukan Bowling Malaysia berjaya mencapai sasaran 4 pingat emas. Pasukan Bowling Malaysia mempunyai semangat berpasukan yang tinggi serta kerjasama yang erat diantara pemain dan pegawai. Selaku Penolong Pengurus Pasukan Malaysia, saya amat berbangga dapat berkerjasama dengan semua pemain-pemain serta jurulatih dan pegawai-pegawai yang lain. Ini merupakan pengalaman yang terbaik bagi diri saya selepas Sukan Asia ke-15 di Doha, Qatar pada disember 2007. Pemain-pemain pula dibarisi dengan kombinasi 'Senior' dan 'Junior' dan mereka sungguh serasi selama 13 hari berada di Bangkok, Thailand. Walaupun tugasan pada kali ini agak meletihkan tetapi ianya cukup memberi kepuasan. Tugasan sebagai Penolong Pengurus bukanlah semudah yang disangka kerana terpaksa bangun seawal 6.00 pagi bagi memastikan pemain-pemain bangun pada waktu yang sepatutnya. Selain pada itu memastikan jadual pemain serta pengangkutan berjalan dengan lancar serta laporan-laporan dan keputusan perlawanan perlu dikemaskini. Pendek kata tugasan ini memerlukan saya sebagai orang yang paling lewat tidur dan paling awal bangun. Pihak penganjur juga memberi kerjasama sepenuhnya di sepanjang kejohanan dan tempat penginapan begitu selesa di Hotel Chao Phiya Park bertaraf 4 bintang. Venue kejohanan terletak kira-kira 18 km, dan Bangkok terkenal dengan kesesakan lalulintas di waktu puncak. Namun pengangkutan kontinjen diiringi polis trafik atau "out rider' bagi memastikan perjalanan lancar di dalam kesesakan lalulintas. Walaupun suasana Sukan Sea tidak dirasai di Bangkok tetapi lebih kepada suasana pilihanraya dengan poster-poster calon-calon pilihanraya, namun Sukan Sea di Bangkok tetap meriah. Akhir kata, terima kasih kepada semua ahli pasukan, Shalin, Esther, Zandra, Zatil, Sharon, Syafiyah, Alex, Zul, Daniel, Aaron, Adriandan Shafiq. Tidak ketinggalan kepada Pengurus BC Cheah, Jurulatih Holloway Cheah dan Foong Tak Meng serta pegawai Roliah dan psychologist Fred Tan. Pasukan Bowling Malaysia selamat tiba di KLIA pada jam 8.20 malam, 15 Disember 2007.

Sasaran Tercapai

Pasukan Bowling Malaysia meraikan kejayaan apabila meraih pingat emas keempat melalui pasangan Shalin dan Zulmazran dalam acara beregu campuran (mixed doubles). Kemenangan bagi acara ini amat diperlukan untuk memenuhi matlamat sasaran 4 pingat emas dalam acara Tenpin Bowling. Sebelum ini pasukan Bowling Malaysia telah terlepas 3 pingat emas dengan kekalahan tipis melalui jatuhan pin. Seluruh ahli pasukan dan pegawai rasa bersyukur diatas kemenangan ini kerana perlawanan ini begitu penting sekali. Y.Bhg. Dato' Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, sangat berbangga diatas kejayaan ini. Jeritan Malaysia Boleh bergema di Arena Bowling, SF Strikers Ramkamhaeng. Lagu Negaraku dinyanyikan dengan penuh semangat oleh seluruh ahli pasukan dan pegawai serta pegawai-pegawai MSN.

Tuesday, 11 December 2007

Emas dari Trio Wanita


SF Striker, Ramkamkhaeng, Bangkok begema lagi dengan sorakan penyokong-penyokong Thailand, namun ia tidak mematahkan semangat trio wanita negara untuk merangkul pingat emas kedua dalam acara bowling walaupun ketinggalan 77 pin pada game ke 5. Dengan semangat yang kuat dan kental dibantu oleh pakar psychologist, mereka yang dianggotai oleh Esther Cheah, Zatil Iman dan Shalin Zulkifli bangkit dan bermain dengan cemerlang. Namun pemain trio lelaki Aaron Kong, Adrian Ang dan Zulmazran sekadar mendapat pingat gangsa dengan perbezaan 4 pin sahaja. Setakat ini pungutan pingat negara bagi acara Bowling ialah 2 emas 1 Perak dan 4 gangsa. Pada hari ini acara 5 men & women team akan berlangsung dan 2 pingat lagi dipertandingkan. Semoga pemain negara akan meraih keputusan yang lebih cemerlang. Insyaallah.

Monday, 10 December 2007

Pingat Emas Pertama


Pasukan Tenpin Bowling Malaysia melakar kejayaan apabila merangkul pingat emas yang pertama melalui acara beregu yang terdiri dari Esther Cheah dan Zatil Iman. Di dalam acara yang sama Siti Safiyah dan Shalin Zulkifli mendapat pingat gangsa. Pingat Perak dimenangi oleh pemain dari Thailand. Terdahulu pemain lelaki negara memenangi pingat gangsa melalui Aaron Kong dan Zulmazran. Arena bowling SF Strikers gamat seketika dengan laungan Malaysia Boleh oleh penyokong-penyokong Malaysia dan akhirnya Berjaya merangkul pingat emas setelah ketandusan pingat selepas dua acara berlangsung semalam. Pada pagi ini 2 pingat dipertandingkan di dalam acara Trio dan diharap pasukan Bowling negara akan mencapai kejayaan yang cemerlang. Insyaallah. Kedudukan pingat bagi acara Bowling setakat ini ialah 1 emas 1 Perak dan 3 gangsa.

Friday, 7 December 2007

Pemilihan Pemain ke Kejohanan Antara Negeri

Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengadakan sesi pemilihan (roll-off) untuk memilih pemain ke Kejohanan antara negeri kebangsaan yang akan berlangsung pada 7-20 Januari 2008. Sesi tersebut akan diadakan pada 14 Disember 2008 jam 8.00 malam bertempat di Megalanes, Endah Parade, Sri Petaling. Semua pemain dari program Sukan Teras serta ahli-ahli persatuan adalah yang layak serta berumur 21 tahun kebawah adalah dipelawa untuk menyertai sesi ini. Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi Saudara Dzulkarnian Sapian 016-3765783 untuk maklumat yang lebih terperinci.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 6 December 2007

Sesi 'Relaxation"

5 Disember 2007

Pada sebelah petang pemain-pemain turun ke kolam renang di hotel penginapan bagi aktiviti yang dikendalikan oleh Pakar psychologist MSN, Frederick Tan. Beberapa aktiviti diatur untuk memantapkan semangat berpasukan dikalangan pemain-pemain. Pada sebelah malam pemain-pemain mengadakan aktiviti ‘relaxation’ dan ‘imagination’ sebelum berehat pada jam 10.00 malam.

Lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan


5 Disember 2007

Dato’ Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah berkesempatan untuk melawat pemain-pemain bowling negara di SF Striker Bowl, Ramkhamhaeng, Bangkok. Lawatan di buat bagi meninjau persiapan bowling negara di samping memberi kata-kata semangat sebelum bermulanya cabaran pertama pada 8 Disember 2007. Beliau diiringi oleh beberapa pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN). Latihan tidak dapat dilakukan dengan “serious’ pada hari ini kerana pihak penganjur tidak mengenakan minyak atau ‘oiling’ mengikut kejohanan nanti.

Wednesday, 5 December 2007

Day 1 Training 4 Dis 2007

Pemain-pemain negara memulakan latihan ringan di SF Bowl, Bangkok pada tengahari ini. Latihan lebih tertumpu kepada penyesuaian di 'approach' . Arena Bowling di SF Bowl agak sempit dan ia mungkin akan menjadi sesak apabila masa kejohanan nanti. Begitu juga dengan tempat pempanan bola yang agak terhad. Namun kemudahan lain seperti Cafe disediakan dan 'Hi-Fi speed WiFi" juga disediakan. Sesi latihan selesai pada jam 4.00 petang dan kembali ke Hotel penginapan. Kesesakan begitu teruk sekali di kota Bangkok dan perjalan balik mengambil masa hampir sejam dimana pada waktu biasa hanya 20 minit.

Tuesday, 4 December 2007

Welcome to Bangkok

Pesawat MH 782 yang membawa sebahagian kontinjen Negara selamat mendarat di lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada jam 5.15 petang waktu (Thailand). Kami disambut oleh secretariat Thailand dan setiap ahli kontinjen dikalungkan bunga di leher sebagai tanda selamat datang. Sebaik sahaja melepasi imigresen, bagasi diuruskan oleh secretariat Sukan Sea Thailand. Urusan Kad Acredatasi juga diuruskan dengan cekap. Hotel penginapan iaitu Chao Phya Park Hotel yang bertaraf 4 bintang terletak kira-kira 30 km dari lapangan terbang dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit dari lapangan terbang.

Pasukan bowling negara berlepas ke Bangkok

Pasukan bowling negara yang terdiri dari 12 pemain dan 5 pegawai berlepas ke Bangkok dengan pesawat mh 782 pada pukul 3.45 petang. Pasukan Lawn Bowl (boling Padang) juga turut bersama di dalam penerbangan kami. Turut bersama pegawai-pegawai secretariat dan perubatan dari Majlis Sukan Negara yang akan berpengkalan di Pattaya. Peralatan kami termasuklah 90 biji bola dengan anggaran keseluruhannya 630kg serta mesin pemutar bola yang digunakan untuk melicinkan permukaan bola (polish).