Friday, 29 February 2008

Sukan Olimpik

Sukan ini bermula dari Yunani Purba, dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19. Sukan Olimpik merupakan sukan antarabangsa yang diadakan setiap 4 tahun. Sukan ini juga turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan setiap 4 tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia. Pada tahun 2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan ditempat asalnya di Athens, Greece. Sukan Olimpik 2008 atau secara rasminya dalam bahasa Inggeris: Games of the XXIX Olympiad akan diadakan pada 8 Ogos 2008 hingga 24 Ogos 2008. Upacara perasmian akan diadakan di Stadium Nasional Beijing, Beijing, Republik Rakyat China. Ini merupakan kali pertama China menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan kali ketiga bagi negara Asia selepas Tokyo 1964 dan Seoul 1988. Selepas Beijing, ibikota London pula bakal menjadi tuan rumah pada tahun 2012 untuk kali ketiga. Sebanyak 28 jenis sukan akan dipertandingkan di Beijing nanti. Sukan Tenpin Bowling tidak pernah dipertandingkan di Temasya Sukan olimpik walaupun beberapa usaha telah dilakukan untuk membawa masuk Tenpin Bowling ke Olimpik. Walaubagaimanapun adalah menjadi harapan ahli-ahli sukan tenpin bowling agar dapat beraksi di sukan olimpik pada satu hari nanti.

Saturday, 23 February 2008

KDRM Bowling Team Juara Lagi...

KDRM Bowling Team mengekalkan kehebatan apabila muncul sebagai juara berpasukan di Pertandingan Xybase Gitu-gitu Bowling Returns 2008 anjuran Xybase. Kejohanan telah berlangsung pada 23 Februari 2008 di Cosmic Bowl, Midvalley Kuala Lumpur. Sebanyak 38 pasukan yang melibatkan 152 orang pemain dari agensi swasta dan kerajaan telah mengambil bahagian di dalam kejohanan ini. Bagi acara individu pula, Mohd Hisham Mohd Nor telah berjaya meraih tempat ke-2 dan Nadzri Che Ani di tempat ke-5, Sobri ke-8 dan Maarop ke-10. Individu wanita pula dimenangi oleh Hamidah dari KDRM. Kejayaan ini merupakan kejayaan berganda selepas menjadi Johan pada Kejohanan anjuran Takaful Ikhlas Rabu lepas. Sesungguhnya ia merupakan permulaan yang baik bagi tahun 2008 untuk KDRM Bowling Team.

Mohd Hisham Mohd Nor

2 Emas 3 Perak

Pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan mengakhiri cabaran di Kejohanan Sukan Antarabangsa Teluk Danga dengan pungutan 2 Emas dan 3 Perak. Pingat Emas kedua dan Perak diperolehi menerusi Hee Kar Yen dalam acara Masters dan All-event. Nur Diana Hussin pula sekadar menduduki tempat ke-6 bagi acara Masters Final dan Nur Shamirah di tempat ke-9. Kesemua pingat diperolehi menerusi pemain wanita. Apa yang telah terjadi kepada pemain-pemain lelaki yang gagal menyerlah pada kejohanan ini? Sesuatu yang tegas perlu dilakukan selepas ini bagi memastikan pemain-pemain lelaki lebih bersedia untuk menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu nanti. Apa pun Tahniah kepada pemain-pemain wanita yang berjaya membawa pulang pingat pada kejohanan kali ini. Semoga ianya akan menjadi pembakar semangat untuk mengharungi cabaran yang lebih besar.

Mohd Hisham Mohd Nor

Friday, 22 February 2008

Emas Pertama untuk Wilayah Persekutuan


Tahniah kepada Hee Kar Yen dan Nur Diana Hussin kerana berjaya memperoleh emas yang pertama untuk Wilayah Persekutuan di Kejohanan Sukan Antarabangsa Teluk Danga, Johor Bahru Johor semalam. Hee Kar Yen merupakan pelatih dari Program Remaja Megalanes Sunway manakala Nur Diana adalah dari Program Sukan Teras Bawah 18 tahun di Megalanes Kuala Lumpur di bawah bimbingan Jurulatih Mohd Hisham Mohd Nor. Hari ini acara Trio dan Berpasukan sedang berlangsung di Arena Bowling Daiman, Johor Bahru. Tahniah juga diucapkan kepada Shamira Manaf kerana berjaya mendapat Pingat Perak bagi acara individu wanita semalam. Semoga pemain-pemain bermain lebih baik lagi pada hari ini bagi memastikan kejayaan pasukan Wilayah Persekutuan.

Mohd Hisham Mohd Nor

Wednesday, 20 February 2008

KDRM Bowling Team Juara Berpasukan

KDRM Bowling Team yang terdiri dari Sobri, Hisham, Maarof dan Nadzri telah dinobatkan sebagai Juara Berpasukan pada pertandingan Bowling anjuran Takaful Ikhlas malam tadi. Pertandingan berlangsung di ARL Power Bowl, Alamanda Putrajaya dan sebanyak 20 pasukan yang terdiri dari agensi dan jabatan kerajaan telah mengambil bahagian pada pertandingan tersebut. KDRM Bowling Team juga turut memenangi kategori pemain lelaki terbaik yang dimenangi oleh Nadzri Che Ani. Kejayaan ini telah memberi nafas baru untuk terus berjuang pada kejohanan-kejohanan Bowling tahun 2008 ini. KDRM Bowling Team ini akan mengambil bahagian pada Kejohanan Tenpin Bowling Jemputan di Cosmic Bowl, Midvalley pada 23 Februari ini.

Mohd Hisham Mohd Nor


Program Sukan Teras 2008

Sesi Latihan Tenpin Bowling di bawah Program Sukan Teras akan bermula pada 2 Mac 2008. Pusat-pusat latihan yang terlibat adalah Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade (Pusat Induk), Ampang Superbowl Berjaya Times Square, ARL Powerbowl Alamanda dan Pandan Strikers. Seramai 150 pelatih telah terpilih untuk mengikuti program ini setelah sesi penilaian dan pemilihan dibuat pada bulan Januari yang lalu. Nama-nama pelatih telah diedarkan ke pusat latihan di Megalanes, Kuala Lumpur. Program ini akan berlangsung selama 10 bulan dan berakhir pada penghujung bulan Disember. Pelatih-pelatih akan dilatih oleh jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman serta mempunyai sijil kejurulatihan dari Majlis Sukan Negara.

Mohd Hisham Mohd Nor

Sunday, 17 February 2008

Tahniah kepada Amirul Afif dan Shahira

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Amirul Afif dan Shahira yang masing-masing telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori 'Boys Open' dan 'Girls Graded' di Kejohanan Sirkit Kebangsaan peringkat negeri Selangor yang telah berlangsung selama 3 hari dari 15 hingga 17 Februari di Ampang Superbowl, Summit USJ. Syabas kepada kedua-dua pemain Kuala Lumpur ini yang menunjukkan semangat juang yang tinggi serta mengharumkan nama Kuala Lumpur. Tidak ketinggalan bagi saya untuk mengucapkan tahniah buat Aziem Azimi yang telah berjaya membuat balingan sempurna 300 (perfect game) pada pusingan kedua kejohanan semalam. Walaupun kecundang diperingkat separuh akhir, namun beliau telah melakarkan sejarah untuk balingan yang sempurna yang pertama pada musim ini. Semoga pusingan yang seterusnya akan diadakan di Megalanes, Prai, Pulau Pinang akan menjadi medan terbaik bagi pemain Kuala Lumpur untuk cemerlang.

Mohd Hisham Mohd Nor

Wednesday, 13 February 2008

Jom Main Bowling Lagi...

Kelab Bowling Kastam Putrajaya akan menganjurkan Program Jom Main Bowling Lagi... pada 16 Mac 2008 jam 10.00 pagi bertempat di Megalanes, Endah Parade. Pertandingan ini terbuka kepada seluruh warga Kastam Ibu Pejabat sahaja dan ianya bertujuan untuk mengeratkan hubungan di kalangan warga kerja di Ibu Pejabat, Putrajaya. Sehubungan dengan itu, sebuah Kelab Bowling telah ditubuhkan dan dinamakan sebagai Kelab Bowling Kastam Putrajaya bagi tujuan menjana aktiviti-aktiviti Bowling di Ibu Pejabat, Putrajaya. Tahniah kepada Saudara Nadzri Che Ani selaku peneraju di dalam program ini semoga ianya berjalan dengan sempurna dan berterusan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 6 February 2008

Selamat Tahun Baru Cina 2008

Kesempatan ini diambil untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan Gong Xi Fa Chai kepada semua rakan-rakan yang berbangsa Cina. Semoga tahun ini akan lebih memberi kebahagiaan dan kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi. Kemeriahan perayaan ini turut dikongsi bersama oleh rakan-rakan bangsa lain dan ini akan mempertingkatkan lagi semangat keharmonian dan muhibah di antara kaum di negara kita ini.

Mohd Hisham Mohd Nor

Tuesday, 5 February 2008

Pemilihan Ke Sukan Antarabangsa Teluk Danga

Pada hari Ahad yang lalu telah diadakan satu sesi pemilihan pemain-pemain untuk mewakili Wilayah Persekutuan ke Sukan Antarabangsa Teluk Danga, Johor Bahru yang akan di adakan pada pertengahan bulan Februari ini. Seramai 29 orang pemain yang sebahagian besar adalah dari program Sukan Teras telah hadir pada sesi pemilihan ini. Untuk tujuan ini seramai 4 lelaki dan 4 wanita akan dipilih mewakili Wilayah Persekutuan. Ini adalah merupakan penyertaan kedua pasukan Wilayah Persekutuan dan kali pertama adalah pada tahun 2006. Pemain-pemain terpaksa mengharungi sesi pemilihan yang sukar apabila terpaksa bermain sebanyak 16 game di dalam 2 blok. Sesi ini dapat menguji daya ketahanan pemain dari segi fizikal dan mental. Pemain yang mampu bermain secara konsisten berpeluang untuk bersama pasukan Wilayah Persekutuan. Antara pemain yang terpilih adalah Yusof Abd. Raof, Kenson Low, Syimir, Nur Diana, Kar Yin, Shamira dan Farahana. Di harap pemain yang terpilih akan beraksi dengan cemerlang pada kejohanan itu nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor

Friday, 1 February 2008

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2008

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Wilayah Persekutuan kepada semua rakan-rakan yang berada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga di Labuan. Semoga Wilayah Persekutuan akan bertambah makmur dan harmoni serta maju di masa-masa akan datang terutama dalam bidang sukan khususnya sukan tenpin bowling. Pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan akan bertempur bersama negeri lain di dalam saingan Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal akan berlangsung di Terengganu Darul Iman pada penhujung bulan Mei nanti. Semoga kejayaan yang lebih membanggakan pasukan Wilayah Persekutuan diperoleh pada tahun ini.

Mohd Hisham Mohd Nor