Friday, 28 March 2008

Terima Kasih Joe Slowinski

Semalam saya dikejutkan dengan berita perletakan jawatan Joe Slowinski, Pengarah Kejurulatihan dan Pensijilan Tenpin Bowling, Majlis Sukan Negara (MSN). Perletakan jawatan tersebut sungguh mengejutkan di kala khidmat beliau masih diperlukan untuk pembangunan tenpin bowling di Malaysia. Saya secara peribadi amat berterima kasih kepada beliau kerana banyak ilmu pengetahuan dalam dunia bowling telah di salurkan dan beliau tidak jemu-jemu melayan karenah setiap jurulatih yang ingin mempelajari secara mendalam. Untuk makluman, beliau adalah merupakan Jurulatih/Tenaga Pengajar kepada jurulatih-jurulatih di Malaysia termasuk saya sendiri. Beliau berasal dari Hungary dan menetap bersama keluarga yang berhijrah ke Maine, Amerika Syarikat mula berkhidmat pada bulan Jun 2006 dan telah melatih seramai lebih 200 orang jurulatih bowling di Malaysia. Beliau mempunyai sijil Silver Level Coach dari United States Bowling Congress serta mempunyai 23 tahun pengalaman dalam kejurulatihan. Kehadiran beliau pada bulan Jun 2006 diibaratkan sebagai tuah buat diri saya kerana sewaktu itu saya baru sahaja diminta mengendalikan pasukan bawah 18 tahun sukan teras selepas 5 bulan sahaja mengendalikan program bawah 12 tahun. Banyak tunjuk ajar beliau telah membantu saya dalam mengendalikan pasukan. Saya juga sempat mengikuti program-program kejurulatihan dikendalikan beliau.

Falsafah beliau adalah, seseorang jurulatih tersebut perlu mempunyai ilmu yang mendalam dalam bidang bowling. Jurulatih perlu membuat 'homework' serta perancangan bagi membangunkan sukan tersebut. Data-data prestasi pemain perlu diambil setiap masa bagi memastikan kelemahan-kelemahan dapat diatasi serta pemantauan dibuat secara konsisten. Secara jelas tidak semua jurulatih-jurulatih mempunyai peranan tersebut. Jika kita di lihat di Amerika Syarikat, jurulatih bukan sekadar datang ke pusat latihan dan mengajar malah mereka pulang dengan 'homework' serta membuat kajian-kajian bagi membangunkan sukan. Saya dapat melihat bagaimana beliau bekerja keras untuk membantu Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dalam sukan bowling. Beliau pernah berkata "bila kita ingat Bolasepak, kita akan ingat Brazil dan beliau mahu bila dunia ingat Bowling, akan ingat Malaysia". Saya difahamkan beliau telah menerima jawatan sebagai Master Coach di Kegel Academy. Semoga beliau akan terus berjaya dalam kariernya.

Mohd Hisham Mohd Nor

No comments: