Tuesday, 29 April 2008

Penutupan Sementara Program Sukan Teras Berjaya Times Square

Pada hari Ahad yang lepas saya telah mengadakan kunjungan ke Ampang Superbowl, Berjaya Times Square untuk mengadakan pertemuan bersama ahli keluarga pelatih-pelatih bawah 15 tahun program Sukan Teras. Mereka telahpun dimaklumkan oleh wakil MSN pada minggu lepas berhubung dengan penutupan sementara program Sukan Teras (Tenpin Bowling) atas alasan sumber kewangan yang masih tidak ketentuan. Ahli-ahli keluarga tidak berpuashati dengan tindakan tersebut. Atas alasan tersebut telah memaksa saya untuk mengadakan pertemuan tersebut.

Pelbagai pandangan telah di dengar dari ahli keluarga dan saya berjanji akan menyelesaikan perkara ini dalam masa yang terdekat. Saya juga berharap ahli-ahli keluarga supaya tidak membuat sebarang tindakan yang boleh merugikan masa depan pelatih-pelatih tersebut. Salah satu pilihan adalah membawa pelatih-pelatih berkenaan ke Pusat latihan di Endah Parade.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 25 April 2008

Pra-Sukma Terengganu

Jawatankuasa Penganjur Sukma Terengganu 2008 akan menganjurkan program Pra-Sukma dimana beberapa negeri telah diundang untuk menyertainya. Wilayah Persekutuan telah menerima tawaran rasmi dari pihak penganjur untuk menyertai program tersebut. Pasukan tenpin bowling Wilayah Persekutuan akan menghantar pasukan Sukma pada program Pra-Sukma itu nanti yang bakal akan berlangsung pada 30 April 2008 hingga 6 Mei 2008. Program ini akan menjadi medan bagi pemain-pemain untuk mencuba lorong yang baru dibina di bangunan Stadium Utama.

Mohd Hisham Mohd Nor

Sesi Latihan KBKPj Siri ke- 2



Seperti yang dijadualkan, petang tadi telah diadakan sesi latihan Siri ke-2 Kelab Bowling Kastam Putrajaya yang berlangsung di ARL Powerbowl, Alamanda.Seramai 18 orang ahli telah menyertai sesi latihan ini yang diadakan 2 sesi sebulan. Pada keseluruhannya pemain-pemain telah menunjukkan kesungguhan untuk belajar dengan lebih serious. Sesi latihan dan tunjuk ajar dikendalikan oleh saya sendiri serta dibantu oleh Saudara Nazri dan Sobri. Pelatih-pelatih telah mempamerkan prestasi yang lebih baik dari sebelum dan memerlukan masa untuk menjadi lebih mahir terutama ketika melakukan sparing. Pelatih-pelatih seperti Fiza, Ruhana, Hanizah, Puziah telah menunjukkan peningkatan malah Zainab dari SAD telah berjaya melakukan strike 5 in a row dengan mata keseluruhan 204 jatuhan pin pada game ke-2.

Begitu juga dengan pelatih lelaki seperti Nor Amran, Dzulham, Zulkifli masing-masing telah menunjukkan kesungguhan ketika berlatih dan mereka inilah yang bakal menggegarkan Arena Bowling Kastam. Saya yakin dengan kesungguhan yang ada serta semangat yang kental dan berterusan, pelatih-pelatih ini dapat pergi lebih jauh. Mereka ini telah dibekalkan dengan teknik serta asas latihan bowling yang betul dan diamalkan oleh pemain-pemain profesional. Insyaallah saya akan terus menyalurkan maklumat-maklumat serta panduan bermain bowling kepada ahli-ahli KBKPj. Sesi latihan Siri ke-3 dijadualkan pada 9 Mei 2008 pada waktu dan venue yang sama.

Mohd Hisham Mohd Nor

Saturday, 19 April 2008

Keahlian Kelab Bowling Kastam Putrajaya

Ramai yang datang bertanya kepada saya tentang Kelab Bowling Kastam Putrajaya. Apakah keistimewaan atau faedah menjadi ahli Kelab. Lantas saya menjawab, banyak faedah yang akan anda perolehi sekiranya anda aktif dalam semua aktiviti yang dianjurkan. Sebagai contohnya, minggu lepas telah diadakan satu sesi latihan di mana saya telah memberi tunjuk ajar tentang teknik-teknik bermain bowling dengan betul. Disamping itu juga telah diedarkan nota-nota panduan kepada pemain-pemain. Pada kebiasaannya apabila seseorang yang mengambil jurulatih bertauliah untuk belajar, seseorang itu terpaksa membayar sehingga RM50 untuk satu sesi (2 Jam). Tetapi ahli-ahli Kelab telah menikmati kemudahan ini dengan percuma dan hanya membayar yuran sebanyak RM20 sahaja untuk yuran permainan.

Banyak lagi aktiviti-aktiviti akan dianjurkan seperti Klinik bersama personaliti sukan bowling. Salah seorang personaliti yang menjadi pilihan adalah Ratu Bowling Negara iaitu Shalin Zulkifli. Shalin telah pun dimaklumkan berhubung dengan hasrat ini, cuma waktu yang sesuai perlu di atur kerana beliau mempunyai jadual kejohanan antarabangsa yang agak padat pada tahun ini. Di samping itu ahli-ahli juga berpeluang untuk mengikuti beberapa siri perlawanan persahabatan bersama agensi kerajaan yang lain.

Alhamdullilah setakat ini jumlah yang telah mendaftar adalah di luar jangkaan. Ianya sebagai satu petanda buat Jawatankuasa untuk bekerja keras bagi memenuhi hasrat ahli-ahli. Saya yakin barisan Jawatankuasa yang ada mampu untuk memikul tanggungjawab ini. Jawatankuasa perlu bergerak dengan pantas untuk memenuhi kehendak ahli-ahli.

Friday, 18 April 2008

Sesi Latihan Kelab Bowling Kastam Putrajaya

Kelab Bowling Kastam Putrajaya telah mengadakan sesi latihan yang pertama petang kelmarin bertempat di ARL Powerbowl, Alamanda. Sesi latihan ini diadakan khusus kepada ahli-ahli kelab yang ingin mempelajari permainan bowling ini secara serius. Saya bersama Sabri dari USK telah sama-sama memberi bimbingan kepada ahli-ahli. Latihan bermula agak lewat sekitar jam 6.15 petang kerana ramai dikalangan ahli yang selesai bertugas pada jam 5.30 petang. Namum begitu semuanya berjalan lancar dan sambutan amat menggalakkan dimana sekitar 20 orang ahli telah menyertai sesi ini dengan lane yang terhad. Insyaallah di masa akan datang jawatankuasa akan membuat tempahan lane yang lebih banyak. Saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama lebih lama kerana terpaksa bergegas ke Pusat Bowling Megalanes Endah Parade untuk mengendalikan latihan pasukan remaja Kuala Lumpur bawah 18 tahun. Saya juga ada mengedarkan nota kepada Saudari Hanizah selaku Setiausaha Kelab untuk edaran kepada semua ahli sebagai panduan di sesi yang akan datang. Saya berharap semangat yang ditunjukkan ini akan berterusan.

Mohd Hisham Mohd Nor

Monday, 14 April 2008

Aktiviti Kelab Bowling Kastam Putrajaya

Tengahari tadi saya sempat mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kelab Bowling Kastam Putrajaya. Turut hadir Tuan Nadzri Che Ani selaku Timbalan Presiden, Hanizah setiausaha, serta jawatankuasa Tuan Ramli, Zulkifli Rahim, Hamidah Ab latif, Ruhana Wazali, Rosmanoraliza dan Tuan Zulkham. Alhamdullilah setakat ini seramai 33 orang telah mendaftarkan diri sebagai ahli kelab. Insyaallah beberapa orang lagi akan tampil memohon menjadi ahli. Beberapa perancangan telah diatur seperti latihan mingguan yang akan dibimbing oleh jurulatih bertauliah serta pertandingan-pertandingan peringkat dalaman bagi mempertingkatkan prestasi pemain dalam sukan bowling. Sesi latihan pertama akan diadakan pada 17 April 2008 (Khamis) jam 5.30 petang bertempat di ARL Powerbowl, Alamanda. Diharap segala aktiviti ini akan dapat mengeratkan perhubungan antara warga Kastam Putrajaya. Kepada ahli-ahli yang berminat adalah dijemput untuk memeriahkan program pada hari tersebut.


Mohd Hisham Mohd Nor

Pemilhan Skuad SUKMA Wilayah Perssekutuan

Semalam adalah hari terakhir sesi pemilihan dan pemain-pemain telah mempamerkan permainan yang bersemangat di sepanjang permainan sebanyak 32 game. Pemain-pemain lelaki yang terpilih adalah Yusof Abd. Raof dengan purata 214 diikuti Amirul Afif 214 dan Aziem Azimi dengan purata 208. Pemain wanita yang terpilih pula adalah Najwa dengan purata 192, Nurdiana dengan purata 191 dan Cheryl Cheong dengan purata 187. Kesemua pemain yang terpilih akan mengikuti latihan intensif bersama saya dan juga Dzulkarnian. Pemain-pemain akan ke Terengganu pada 1 - 6 Mei 2008 untuk program penyesuaian iaitu Pra-Sukma. Diharap pemain dapat menunjukkan semangat yang tinggi semasa SUKMA nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 9 April 2008

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin kanan Kelab Bowling Kastam Kuala Lumpur (KBKKL) yang telah dinaikkan pangkat ke Penolong Pengarah Kastam. Mereka adalah Nor Anita Yusof, Sarinah Harun, Khaidir Abdul Rahman dan Asmah Ibrahim. Semoga dengan rezeki yang dikurniakan ini akan menguatkan lagi semangat untuk bekerja dan menyumbang kearah kecemerlangan di dalam jabatan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tahniah Maarop

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Saudara Maarop Ponirin yang telah di naikkan pangkat ke Pembantu Tadbir Kanan (N22). Saudara Maarop adalah merupakan kakitangan di Cawangan Perjawatan di Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beliau bergiat aktif di dalam sukan bowling. Beliau adalah merupakan Timbalan Presiden Kelab Bowling Kastam Kuala Lumpur sejak tahun 2004 dan telah mewakili pasukan Bowling KDRM di Sukan Kewangan dan Pesta Sukan Kastam. Beliau juga pernah mewakili pasukan Kuala Lumpur dalam perlawanan persahabatan di Bandaraya Seongnam, Korea tahun lepas. Di fahamkan beliau akan berpindah ke jabatan lain bagi mengisi jawatan baru yang disandang dan ianya merupakan kehilangan bagi pasukan bowling kastam.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sesi Pemilihan Pemain ke SUKMA

Sesi pemilihan pemain untuk ke Sukma bagi mewakili Wilayah Persekutuan akan diadakan selama 4 hari iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 April bertempat di Megalanes Kuala Lumpur. Pemain-pemain yang berminat dan menjadi ahli Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dijemput ke sesi pemilihan tersebut. Seramai 3 pemain lelaki dan 3 wanita akan dipilih melalui sesi tersebut. 2 orang pemain dari remaja kebangsaan iaitu Syimir dan Hee Kar Yen telah diserapkan secara otomatik ke dalam skuad Sukma Wilayah Persekutuan. Pemain akan bermain sebanyak 32 game dan 3 pemain teratas lelaki dan wanita melalui jatuhan pin akan diserapkan ke dalam Skuad Sukma. Selepas pemilihan ini, latihan intensif akan diadakan dan pemain-pemain perlu melalui beberapa fasa latihan sebelum ke Sukma. Di fahamkan pemain lelaki dari Labuan juga akan turut sama mengikuti sesi pemilihan ini. Insyaallah saya akan turut berada di venue bagi memantau perjalanan sesi pemilihan tersebut pada petang esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 6 April 2008

Pemain Kuala Lumpur kurang menyerlah

Sirkit Remaja Kebangsaan peringkat negeri Perak yang berlangsung di Ampang Superbowl, Ipoh, Perak pada 4-6 April 2008 menyaksikan persembahan kurang menyerlah pemain-pemain Kuala Lumpur. Muhammad Amirul Afif sekadar mendapat tempat ketiga dalam kategori Boys Open manakala Nurdiana Hussin mendapat tempat ke-4 dalam kategori Girls Open. Nastasya Adam yang layak ke peringkat suku akhir hanya mampu memduduki tempat ke-8. Bagi kategori Boy Graded pula menyaksikan pemain Kua Jian Wei menduduki tempat ketiga. Pemain-pemain Kuala Lumpur seharusnya bermain dengan lebih gigih lagi selepas kejayaan di Kedah. Apa yang pasti segala kelemahan perlu diatasi segera sebelum Kejohanan Sirkit Remaja peringkat negeri Pahang pada bulan Mei nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor

Treasure Hunt JTi 2008


Pada hari Sabtu yang lepas saya berkesempatan untuk mengambil bahagian di dalam program 'Treasure Hunt' anjuran JTi International. Saya bersama saudara Haizam dan Razif bergabung tenaga dalam satu pasukan yang dinamakan ' Conquistador ' yang bermaksud Pemusnah. Sebanyak lebih kurang 40 pasukan telah mengambil bahagian yang terdiri dari KDRM Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Turut serta pasukan dari PDRM, Jabatan Atom, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna dan Bomba. Pencarian bermula di Restoran Santini KLCC dan berakhir di Hotel Impiana, Jalan Pinang, Kuala Lumpur. Pencarian adalah di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail dan pasukan-pasukan terpaksa berjalan sejauh lebih kurang 3-4 km untuk mencari jawapan sebelum mengakhiri pencarian. Pasukan KDRM Selangor yang diketuai oleh Tuan Shahidol telah menjadi juara manakala pasukan KDRM WPKL yang diketuai oleh Puan Ramlah Mukhtar di tempat kedua. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan KDRM Putrajaya yang diketuai oleh Tuan Nazri Che Ani.

Mohd Hisham Mohd Nor

Tahniah untuk Tuan Sazali Mohamad

Tahniah kepada Tuan Sazali Mohamad, Penolong Kanan Pengarah Kastam II yang bertugas di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Melaka kerana telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Renang Amatur Melaka untuk sesi 2008/2010 di Mesyuarat Agung persatuan pada 15 Mac 2008. Tuan Sazali Mohamad juga merupakan Presiden Kelab Renang Todak Melaka yang merupakan kelab gabungan Persatuan Renang Amatur Melaka. Saya berasa bangga di atas kejayaan beliau dan ia merupakan pengiktirafan buat KDRM kerana mempunyai warga yang aktif di dalam badan sukan negeri. Semoga dengan pemilihan ini akan membawa kejayaan kepada pasukan renang Melaka pada Sukan Malaysia yang bakal diadakan di Terengganu pada bulan Mei nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor