Friday, 30 May 2008

Selamat Berjuang Wira-wira Wilayah Persekutuan

Pagi tadi jam 9.00 pagi, Wira-wira Wilayah Persekutuan seramai 568 atlit dan 175 pegawai ke Sukma berlepas dari Stadium Badminton Cheras dengan konvoi bas dan van. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyediakan sebanyak 70 buah kenderaan bagi membawa para atlit dan pegawai ke Kuala Terengganu. Konvoi telah diiringi oleh 7 buah motosikal polis trafik dan sebuah kenderaan hingga ke Kuala Terengganu bagi memastikan para atlit selamat sampai ke destinasi. Ini merupakan pertama kali dilakukan oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan pemain-pemain berasa selesa dengan perjalanan yang lancar kerana beberapa laluan dan persimpangan telah ditutup untuk memudahkan perjalanan konvoi. Saya tidak berkesempatan untuk bersama pasukan kerana terpaksa bertugas dan insyaallah akan berlepas petang esok untuk bersama pemain di Majlis Perasmian Sukma yang akan diadakan di Stadium Sultan Mizan malam esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Amanat Presiden



Tengahari Khamis telah di adakan satu majlis makan tengahari bagi meraikan pemain-pemain bowling Sukma Wilayah Persekutuan bertempat di Megalanes, Endah Parade. Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Nor bin Abdul Rahim, Presiden Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluangkan masa untuk bersama-sama pemain serta memberi amanat serta semangat untuk di jadikan bekalan ke Terengganu nanti. Beliau menasihati pemain agar memberi tumpuan di sepanjang kejohanan dan membawa kejayaan kepada Wilayah Persekutuan. Pada keseluruhannya semangat pemain berada di tahap yang tinggi dan saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik. Persiapan pada kali adalah lebih baik jika dibandingkan pada Sukma 2006 di Kedah dan pemain dapat menjalani latihan secukupnya malah sempat mencuba 'Lane' di Terengganu di Pra-Sukma pada April yang lalu.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 28 May 2008

Selamat Hari Jadi Amirrul Afif

Tengahari tadi sebelum saya memulakan sesi 'Mental Class' kepada pemain Sukma Wilayah Persekutuan, Pemain-pemain telah membuat kejutan kepada Amirrul Afif yang menyambut hari jadinya pada hari ini. Hari Jadinya pada tahun ini adalah sungguh bermakna baginya dan beliau berharap agar ianya akan membawa tuah buat dirinya dan juga seluruh pasukan bagi mengharungi Sukma ke-XII. Esok, Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Nor Abdul Rahim, Presiden Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan hadir ke pusat latihan bagi memberi kata-kata semangat sebelum pemain-pemain berlepas pada hari jumaat ini.


Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 25 May 2008

Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan



Petang tadi telah disempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan oleh Y.B Dato Seri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan kepada Y.Bhg. Dato' Badaruddin selaku Chief de Mission Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA ke-XII. Hampir kesemua atlit telah hadir pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Para atlit telah berada di dewan tersebut seawal 9.00 pagi kerana pelbagai program telah diadakan termasuk 'ice breaking' kepada semua atlit bagi memupuk semangat di dalam satu pasukan. Sasaran 40 pingat emas adalah sesuatu yang boleh dicapai dan persediaan kali adalah lebih baik dari SUKMA 2006 di Kedah. Y.B Dato' Seri Zulhasnan juga turut mengumumkan insentif kepada para atlit yang berjaya mendapat pingat emas dengan ganjaran yang di janjikan sebanyak RM2500.00 bagi setiap emas yang di perolehi. Pasukan Tenpin Bowling mensasarkan 2 emas dan 2 perak untuk temasya SUKMA pada kali ini dan ianya merupakan satu sasaran yang realistik dan mampu dicapai pemain berdasarkan prestasi semasa para pemain. Apapun kita nantikan keputusannya apabila acara pertama bermula pada hari Ahad ini. Kesemua atlit akan berlepas ke Terengganu pada hari Jumaat ini dan mesyuarat pengurus pasukan untuk tenpin bowling bakal diadakan pada sebelah malam.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 23 May 2008

Pemberian Elaun Pemain dan Pegawai

Petang tadi saya telah menghadiri majlis penyampaian elaun pemain, pegawai dan jurulatih Sukma 2008. Majlis yang ringkas tersebut telah diadakan di pejabat Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) di Aras 1 Menara PjH Putrajaya. Saya amat berterima kasih di atas keperihatinan MSWP kerana telah menunaikan janji untuk membayar elaun atlit sebelum bertolak ke Terengganu. Ianya akan memberi semangat kepada para atlit untuk bertarung pada Sukma nanti. Cek-cek telah di sampaikan oleh Datuk Ahmad Phesal Talib, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan. Semua wakil-wakil persatuan telah hadir pada majlis tersebut.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sesi Latihan Siri 3 KBKPj

Saya bagi pihak Jawatankuasa Kelab Bowling Kastam Putrajaya mohon maaf kepada ahli-ahli yang ternanti-nanti aktiviti Kelab yang ketika ini agak perlahan serta sunyi dan sepi. Sejak 2 minggu kebelakangan ini jawatankuasa mengalami kesukaran untuk mendapatkan lane pada hari jumaat petang di ARL Powerbowl. Oleh kerana agak begitu lama aktiviti tidak dijalankan maka semalam jawatankuasa telah memutuskan supaya menyambung sesi latihan Siri ke-3 pada 27 Mei 2008 (Selasa) di ARL Powerbowl. Pihak jawatankuasa sedar bahawa ramai di kalangan ahli resah geliasah menantikan aktiviti yang seterusnya. Diharap ahli dapat turun beramai-ramai untuk bersama-sama pada sesi latihan minggu depan dan sebagai persediaan jawatankuasa telah menempah 8 lorong untuk tujuan sesi latihan pada kali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Permulaan yang baik

Semalam merupakan hari terakhir perlawanan persahabatan pasukan Sukma Wilayah Persekutuan menentang pasukan Sukma Pulau Pinang. Keputusannya memihak kepada pasukan Sukma Wilayah Persekutuan yang berjaya membolot hampir semua kategori dan seterusnya menjadi juara keseluruhan. Saya bagi pihak persatuan telah menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang dan hadiah-hadiah telah ditaja oleh ahli-ahli keluarga pemain dari Wilayah Persekutuan. Terima Kasih kepada ahli-ahli keluarga atas sokongan yang diberikan kepada seluruh pasukan.

Pemain Sukma Wilayah Persekutuan perlu bekerja lebih keras lagi kerana kemenangan bererti mereka perlu mempertingkatkan lagi usaha untuk kejayaan yang lebih baik. Saingan di Sukma nanti adalah lebih hebat dan banyak cabaran-cabaran baru yang akan di harungi pemain. Pemain Sukma Wilayah persekutuan diberi cuti hari dan akan menyambung sesi latihan pada hari Sabtu. Minggu hadapan cuti sekolah bermula selama 2 minggu dan mulai isnin pemain akan berlatih dengan lebih intensif iaitu sesi pagi dan petang. Pemain-pemain akan menghadiri majlis penyerahan bendera Wilayah Persekutuan oleh Menteri Wilayah Persekutuan di Dewan Sultan Abdul Aziz, Universiti Pertanian Malaysia pada hari ahad ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 21 May 2008

41st Singapore International Open 2008

Petang tadi saya sempat bertemu dengan kedua-dua jurulatih negara Holloway Cheah dan Foong Tak Meng di Megalanes, Endah Parade ketika pasukan negara menjalani latihan intensif untuk ke Singapore International Open pada hari khamis ini. Pemain elit negara yang sedang menjalani latihan adalah Shalin Zulkifli, Zatil Iman, Siti Saiyah, Sharon Koh, Wendy Chai dan Choh Poh Lai manakala pemain lelaki pula Alex Liew, Zulmazran, Daniel Lim, Aaron Kong, Shafiq dan Adrian Ang.

Harapan pemain adalah baik sekali seperti yang dinyatakan oleh Holloway Cheah dan Zatil Iman (gambar di atas) selaku penyandang juara wanita tahun lepas akan mempertahankan kejuaraan pada kejohanan kali ini. Hadiah Lumayan menanti pemain apabila juara bakal menerima $25,000.00 (RM56,000.00). Kejohanan berlangsung dari 20 - 31 mei 2008 di Superbowl Safra, Mount Faber.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Perlawanan Persahabatan pasukan SUKMA

Pada petang tadi perlawanan persahabatan diantara Pasukan Sukma Wilayah Persekutuan dan Pasukan Sukma Pulau Pinang telah diadakan di Megalanes, Endah Parade. Perlawanan ini adalah sebagai medan terakhir bagi kedua-dua pasukan menguji kekuatan serta bola baru yang dibekalkan. 'oiling pattern' adalah sama seperti di Sukma nanti dan pemain dapat merasai suasana atau corak 'oiling yang sama'. Perlawanan persahabatan ini berlangsung selama 3 hari dari 20-22 Mei 2008. Sejurus selepas latihan malam tadi, saya sempat bersama pemain untuk berkongsi pendapat atau 'brainstorm' tentang sasaran setiap pemain. Pemain-pemain dikehendaki menulis sasaran yang perlu mereka capai agar mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada kejohanan itu kelak.

Saya juga memberi sedikit tips dalam persiapan mental iaitu goal setting, imagery, self talk, fokus dan relaxation. Kelima-lima elemen ini sangat penting dalam persaiapan mental dalam menghadapi sesuatu kejohanan. Ianya diamalkan oleh setiap atlet dalam apa sukan sekalipun untuk mencapai kejayaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 20 May 2008

Mini Pesta Sukan Kastam Kuala Lumpur

Pagi tadi saya telah menerima kertas cadangan dari Tuan Salleh Zakaria selaku Bendahari Majlis Sukan dan Kebudayaan Kastam Malaysia dan WPKL berhubung cadangan untuk menganjurkan Mini Pesta Antara Stesen MSKK WPKL. Ianya merupakan lanjutan dari perbincangan saya dengan beliau dan Tuan Kamarulzaman Sharif, Setiausaha MSKK Malaysia dan WPKL pada minggu lepas. Mini Pesta ini adalah merupakan pertandingan pemilihan wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Pesta Sukan Kastam Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Ogos nanti. Setiap ahli akan mewakili stesen masing-masing iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Putrajaya dan Stesen KLIA. Mini Pesta ini akan berlangsung selama satu bulan (sepanjang bulan Jun) dan venue pula di adakan di setiap stesen. Antara sukan-sukan lain yang dipertandingkan pada Mini Pesta ini adalah Bola Jaring, Bola Tampar (Lelaki & Wanita), Bola Sepak, Dart, Sepak Takraw, Badminton, Ping Pong, Tenis dan Bowling.

Saya telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan acara tenpin bowling dan telah pun menyiapkan format serta peraturan kejohanan tersebut yang bakal akan diadakan pada 29 Jun 2008. Borang serta peraturan kejohanan untuk tenpin bowling akan diedarkan dalam masa terdekat ini apabila telah mendapat pengesahan tempahan venue. Beberapa orang jawatankuasa dari Kelab Bowling Kastam Putrajaya akan dilantik sebagai sekretariat kejohanan bagi memberi pendedahan kepada mereka mengendalikan acara tenpin bowling ini. Di akhir Mini Pesta ini akan diadakan upacara penyampaian hadiah pada satu majlis 'Hi-Tea' yang akan diadakan di Dewan Serbaguna, Kastam WPKL Kelana Jaya.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.


Sasaran 2 Emas dan 2 Perak

Pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan ke SUKMA di Terengganu 2008 mensasarkan 2 pingat emas dan 2 pingat gangsa pada kejohanan dwi tahunan tersebut. Sasaran tersebut adalah dari pandangan pengurus pasukan Steven Teng. Saya juga berharap agar sasaran ini dapat dicapai kerana walaupun prestasi semasa pemain berada di tahap yang tinggi serta semangat juang yang membara, sewaktu kejohanan persaingannya pasti sengit. Suasana sungguh berbeza pada waktu kejohanan bermula dan walaupun pemain dibekalkan dengan pelbagai ilmu, hanya kekuatan mental yang akan dapat mengatasi segala-galanya. Saya berharap pemain-pemain akan dapat mengekalkan prestasi serta membawa kejayaan kepada Wilayah Persekutuan di SUKMA 2008 nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 12 May 2008

Tahniah kepada Shahira & Shamira

Semalam merupakan hari yang sungguh bermakna bagi pasangan dua beradik dari Kuala Lumpur iaitu Shamira dan Shahira kerana kedua-dua mereka bertembung pada pusingan akhir acara 'Step Ladder' kategori 'Girls Graded' di Sirkit Bowling Remaja Kebangsaan peringkat negeri Pahang yang telah berlangsung di Megalanes, Kuantan pada 9-11 May 2008. Pada pusingan akhir tersebut, Shahira telah berjaya menewaskan kakaknya Shamira dengan jumlah jatuhan pin 386-351. Paling bermakna kepada dua beradik ini adalah ia merupakan hadiah yang paling bermakna untuk Ibu mereka untuk Sambutan Hari Ibu yang kebetulan jatuh pada 11 May 2008 (Ahad). Kejayaan Shahira adalah merupakan yang kedua pada tahun ini selepas beliau menjuarai Sirkit peringkat negeri Selangor pada bulan Februari yang lalu. Tempat ketiga juga dimenangi oleh pemain Kuala Lumpur iaitu Hanan Fateha Rozaimee.

Kemenangan ini secara langsungnya akan mempertingkatkan lagi ranking Kuala Lumpur dalam merebut Piala Tunku Imran yang baru di perkenalkan pada tahun ini. Pusingan yang seterusnya pula akan diadakan di Johor pada 20-22 Jun 2008. Semoga kejayaan ini diteruskan pada sirkit yang akan datang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 11 May 2008

Sesi Latihan Sukma

Pada petang tadi saya sempat melihat persiapan pemain-pemain Sukma Wilayah Persekutuan menjalani latihan di Megalanes, Endah Parade. Sesi latihan di adakan di bilik khas yang mempunyai 4 lorong. Bilik khas ini asalnya adalah bilik bowling untuk kegunaan VIP dan kemudiannya disewakan kepada Pusat Latihan Base yang dimiliki oleh Shalin Zulkifli. Apabila Shalin berpindah ke pusat bowlingnya sendiri iaitu di Cineleisure, Kota Damansara, pengurusan bilik ini diambil alih oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia bagi melatih pemain-pemain elit kebangsaan sehingga akhir tahun 2007.

Pasukan Sukan Wilayah Persekutuan berpeluang untuk menggunakan kemudahan bilik ini bagi menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukma Terengganu. Kesemua lapan orang pemain lelaki dan wanita hadir pada sesi latihan tersebut yang di kendalikan oleh pengurus pasukan Steven Teng kerana Dzulkarnian selaku Ketua Jurulatih berada di Kuantan, Pahang. Setakat ini saya belum memberi sebarang keputusan samada untuk bersama pasukan Wilayah Persekutuan ke Sukma di Terengganu walaupun telah ditawarkan jawatan jurulatih kerana banyak tugas-tugas rasmi yang perlu dilaksanakan serta tugasan-tugasan baru yang memerlukan waktu yang singkat untuk dibereskan. Insyaallah saya akan memberi kata putus selewat-lewatnya akhir minggu hadapan bagi melancarkan urusan pengurusan pasukan.

Dalam sesi latihan tersebut pemain-pemain telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan di harap segala usaha akan membuahkan hasil. Setakat ini Bowling belum lagi meletakkan sasaran pingat dan ianya akan diketahui selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Jadual Baru Sesi Latihan

Pelatih-pelatih AA dari pusat latihan Ampang Superbowl, Berjaya Times Square telah memulakan latihan di Megalanes, Endah Parade pada hari khamis yang lepas. Sesi latihan di Megalanes, Endah Parade juga telah di jadualkan semula bagi memberi ruang kepada pelatih-pelatih dari Berjaya Times Square untuk berlatih. Atas semangat kesukanan dan berpasukan yang tinggi di kalangan pelatih-pelatih di Kuala Lumpur, program latihan telah disusun semula. Pelatih-pelatih kategori AAA (bawah 18 tahun) akan berlatih pada hari Khamis dan Ahad, AA (bawah 18 tahun Megalanes) akan berlatih pada setiap Sabtu dan Ahad manakala pelatih AA (bawah 18 tahun BTS) akan berlatih pada setiap Khamis dan Sabtu.

Dengan penjadualan semula ini kan dapat memberi manfaat kepada kepada semua pemain-pemain yang terlibat. Di maklumkan sesi latihan Sukan Teras tahun 2008 akan berakhir pada penghujung bulan Oktober iaitu 2 bulan lebih awal dari yang dijadualkan. Ini bermakna pemain-pemain hanya berlatih selama 8 bulan sahaja untuk tahun ini berbanding 10 bulan pada tahun 2007. Saya berharap akan Sukan Teras dapat mempertimbangkan sesi latihan yang panjang pada tahun depan agar pemain-pemain dapat mempertingkatkan prestasi mereka.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 6 May 2008

Tahniah Wendy

Tahniah di ucapkan kepada Wendy Chai kerana berjaya mencipta sejarah buat dunia bowling negara apabila menjadi pemain pertama muncul juara Kejohanan Ranking Masters Dunia (WRM) 2008 di Senayan Sportainment, Jakarta. Saya sempat menghubungi beliau petang tadi untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan tersebut. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia adalah antara gergasi bowling dunia yang mampu menumbangkan pasukan dunia. Pada perlawanan akhir Wendy telah mengalahkan Karen Marcano dari Venezuela dengan agrreget 2-1. Dengan kejayaan tersebut beliau membawa pulang hadiah tunai sebanyak US$10,000. Wendy adalah merupakan pemain senior dalam pasukan elit negara dan beliau tidak bersama pasukan Malaysia sewaktu temasya Sukan Sea ke-24 di Bangkok Disember lalu. Beliau juga merupakan pemain Kuala Lumpur ketika Kejohanan Bowling Antara Negeri pada bulab Januari yang lalu. Pemain lelaki pula iaitu Zulmazran mendapat tempat kedua setelah tewas kepada Jari Ratia dari Findland dan membawa pulang hadiah sebanyak US$5,000.

Mohd Hisham Mohd Nor