Sunday, 11 May 2008

Sesi Latihan Sukma

Pada petang tadi saya sempat melihat persiapan pemain-pemain Sukma Wilayah Persekutuan menjalani latihan di Megalanes, Endah Parade. Sesi latihan di adakan di bilik khas yang mempunyai 4 lorong. Bilik khas ini asalnya adalah bilik bowling untuk kegunaan VIP dan kemudiannya disewakan kepada Pusat Latihan Base yang dimiliki oleh Shalin Zulkifli. Apabila Shalin berpindah ke pusat bowlingnya sendiri iaitu di Cineleisure, Kota Damansara, pengurusan bilik ini diambil alih oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia bagi melatih pemain-pemain elit kebangsaan sehingga akhir tahun 2007.

Pasukan Sukan Wilayah Persekutuan berpeluang untuk menggunakan kemudahan bilik ini bagi menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukma Terengganu. Kesemua lapan orang pemain lelaki dan wanita hadir pada sesi latihan tersebut yang di kendalikan oleh pengurus pasukan Steven Teng kerana Dzulkarnian selaku Ketua Jurulatih berada di Kuantan, Pahang. Setakat ini saya belum memberi sebarang keputusan samada untuk bersama pasukan Wilayah Persekutuan ke Sukma di Terengganu walaupun telah ditawarkan jawatan jurulatih kerana banyak tugas-tugas rasmi yang perlu dilaksanakan serta tugasan-tugasan baru yang memerlukan waktu yang singkat untuk dibereskan. Insyaallah saya akan memberi kata putus selewat-lewatnya akhir minggu hadapan bagi melancarkan urusan pengurusan pasukan.

Dalam sesi latihan tersebut pemain-pemain telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan di harap segala usaha akan membuahkan hasil. Setakat ini Bowling belum lagi meletakkan sasaran pingat dan ianya akan diketahui selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: