Saturday, 14 June 2008

Berakhirnya SUKMA edisi ke-12



Sukma edisi ke 12 telah pun berakhir Isnin yang lalu. Mungkin tidak terlewat untuk saya membuat rumusan berhubung dengan kejohanan dwi tahunan tersebut kerana masa yang agak terhad. Secara keseluruhannya pemain-pemain bowling Wilayah Persekutuan telah mempamerkan persembahan yang baik. Namun begitu banyak ruang yang perlu di perbaiki di masa akan datang. Isu ketahanan mental masih lagi menghantui di pemikiran pemain. Persediaan mental yang saya sediakan selama 2 minggu adalah tidak mencukupi untuk pemain-pemain. Masih ada pemain yang mengadu kepada saya yang mereka berasa takut dan tiba-tiba hilang keyakinan terutama sebelum pertandingan bermula. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu tiba di arena bowling, pemain-pemain seharusnya telah bersiap sedia seolah-olah untuk pergi berperang dengan segala kelengkapan yang ada dan telah dibekalkan. Ada juga pemain yang berjumpa selepas permainan untuk mendapatkan nasihat. Insyaallah saya akan merangka beberapa program yang berkaitan dengan persediaan mental dikalangan pemain dalam masa yang terdekat ini.

Pasukan Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua secara keseluruhan selepas Selangor. Ini merupakan pencapaian yang terbaik setakat ini dimana Sukma ke 11 di Kedah hanya sekadar mengutip 1 emas sahaja. Persediaan awal akan dilakukan untuk menghadapi Sukma ke 13 di Melaka pada tahun 2010. Tuan rumah Melaka seharusnya mengambilkira aspek penginapan agar ianya dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk bagi memastikan keselesaan kepada pemain. Tuan rumah Terengganu secara keseluruhan telah menganjurkan Sukma ke 12 ini dengan jayanya. Makanan-makanan yang disediakan juga baik serta bermutu dan juga venue yang selesa di sepanjang kejohanan. Saya memuji langkah penganjur apabila menyediakan 'Wi-Fi' percuma di hari kedua kejohanan. Masa agak terhad bagi saya untuk menulis blog di venue kerana banyak menghabiskan masa untuk persediaan bersama pemain-pemain. Kerajaan Negeri Terengganu telah membelanjakan billion ringgit dalam menyediakan insfrastruktur sukan. Stadium Sultan Mizan adalah merupakan stadium negeri yang terindah dan terbesar di Malaysia dengan kapasiti 55,000 orang pada setiap waktu. Begitu juga dengan stadium tertutup yang bersebelahan dengan Stadium Utama juga tidak kurang hebatnya. Walau apapun, Tahniah kepada Kerajaan Terengganu kerana berjaya menganjurkan Sukma ke 12 dan seterusnya menjadi johan keseluruhan Sukma ke 12 ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: