Saturday, 26 July 2008

Bowling di Sukan Olympic

Ramai rakan-rakan yang bertanya tentang penglibatan saya pada temasya olimpik di Beijing, China pada 8-24 Ogos 2008. Untuk makluman rakan-rakan sekelian, sukan bowling tidak dipertandingkan pada temasya olimpik. Sebanyak 28 jenis sukan di pertandingkan pada temasya olimpik pada kali ini yang melibatkan hampir 10,500 atlit. Badan Bowling dunia telah berusaha hampir dua dekad untuk melayakkan bowling ke Sukan Olimpik. Malangnya usaha-usaha tersebut telah menemui jalan buntu. Seolah-olah ada harapan bagi bowling apabila ia dipertandingkan sebagai pertunjukkan di temasya Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan. Namun tiada keputusan yang positif diperolehi selepas itu. Menurut pandangan beberapa tokoh bowling di Amerika Syarikat, sukan bowling sememangnya layak untuk di pertandingkan di Olimpik kerana 100 juta orang di dunia ini bermain bowling yang melibatkan lebih 100 negara.

Mengikut syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), untuk melayakkan sesuatu sukan ke olimpik, ianya mestilah sukan yang dimainkan secara meluas oleh lelaki sekurang-kurangnya di 75 negara dan di 4 benua dan dimainkan oleh wanita sekurang-kurangnya di 40 negara dan di 3 benua. Alasan yang sering diberi oleh IOC adalah sukan yang di pertandingkan telah mencukupi dan padat. Apa yang diharapkan selepas ini ialah usaha-usaha yang lebih agresif di laksanakan bagi membolehkan sukan bowling bertanding di Olimpik. Pemain-pemain bowling negara sememangnya sudah bersedia untuk bersaing di peringkat dunia dan sangat bersedia untuk ke temasya sukan yang terbesar di dunia.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: