Sunday, 31 August 2008

Selamat Berpuasa

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua rakan-rakan di dalam dan luar negara dan bersempena bulan yang mulia ini marilah sama-sama kita memanjat kesyukuran di atas segala kurnian Allah S.W.T dan semoga ibadah yang dilakukan mendapat berkat dari Allah S.W.T.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Girls Open milik Kuala Lumpur

Cheryl Cheong, pemenang pingat emas masters event di Sukma Terengganu telah memastikan penguasaan beliau tidak digugat untuk kategori Girls Open pada perlawanan akhir petang kelmarin. Walaupun ketinggalan pada game yang pertama, beliau telah bangkit untuk menebus dan menumbangkan lawannya Farah Izzazaya dari Pahang 332-322. Terdahulu untuk kategori Girls Graded menyaksikan Nur Shamira tewas kepada Nur Syazana Rusli dari Perak dan menduduki tempat kedua.

Secara keseluruhan, pemain telah memberi prsembahan yang baik di sepanjang kejohanan. agak mengecewakan pemain pilihan Yusof Abd Rauf, pemenang pingat emas individu di Sukma Terengganu gagal menyerlah pada GP Final ini. Pemain kategori Boy Open yang lain Amirrul Afif dan Faliq Aimran juga dianggap berkemampuan untuk menggegarkan arena Megalanes Kuantan. Malangnya serba tak menjadi dan tumbang di pusingan awal. Namum perancangan perlu dilakukan dan saya telah berbincang dengan jurulatih Dzulkarnian berhubung dengan sesi latihan. Saya mencadangkan agar memilih dan mengenalpasti pemain kategori AAA yang berprestasi tinggi dan melatih secara khusus manakala saya akan mengendalikan pemain yang lain dan tumpuan kepada prinsip asas dan pembentukan mental. Saya masih dalam peringkat untuk menyediakan modul bagi latihan mental kepada pemain-pemain dan dimulakan pada sesi yang akan datang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 29 August 2008

Boys Open & Girls Graded

Sebentar tadi keputusan akhir iaitu kedudukan 8 tempat teratas bagi kategori Boys Open dan Girls Graded telah diumumkan. Amat menghampakan apabila tiada seorang pun pemain Kuala Lumpur untuk kategori Boys Open yang layak untuk ke pusingan berikutnya. Amirru Afif, Yusof Abd Raof dan Faliq Aimran gagal menyerlah untuk merebut lapan tempar teratas untuk ke pusingan berikutnya. Namun dua dari tiga pemain untuk kategori Girls Graded telah layak ke pusingan seterusnya iaitu Nur Shamira dan Hanan Fateha. Nur Shamira gagal untuk memperbaiki kedudukan dan seterusnya berada ditangga ke 12.

Petang ini pada jam 2.45 petang akan berlangsung peringkat akhir bawah 12 tahun dan pada jam 4.45 petang Kategori Girls Open dan Boys Graded akan memulakan saingan bagi blok kedua untuk menentukan siapa yang layak dan berada di kelompok 8 tempat teratas.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Pasukan Malaysia masih tercari-cari rentak

Harapan Malaysia untuk mendapatkan pingat di World Mens Championship, Thailand musnah lagi setelah gagal untuk memenangi acara berpasukan. Terdahulu pasukan Malasysia gagal untuk meraih sebarang pingat bagi kategori Beregu dan Trio. Pasukan Amerika Syarikat yang terdiri dari pemain-pemain professional PBA telah berjaya menggondol pingat emas bagi kategori berpasukan ini dan diikuti pasukan dari Korea pingat perak dan seterusnya pingat gangsa oleh pasukan Norway.

Jurulatih Holloway, Foong Tak Meng dan Richard Shockley dari Amerika Syarikat selaku Penasihat Teknikal pasukan Malaysia telah cuba untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun penyelesaian masih belum dicapai dan hari ini Pasukan Malysia akan meneruskan cabaran bagi acara individu menyaksikan keenam-enam pemain negara iaitu Alex Liex, Adrian And Aaron Kong, Daniel Lim, Zulmazran Zulkifli dan Muhd Nur Aiman akan bertarung dalam dua keadaan lane iaitu Long Oil dan Short Oil. Bagi acara All-Event hanya Aaron Kong sahaja yang berada di kelompok 16 iaitu ditangga ke-12. Hanya 16 pemain sahaja yang layak untuk acara Masters. Daniel Lim berada dikedudukan ke-25, Alex Liew ke-32 dan Adrian Ang ditempat ke-40.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 28 August 2008

Kuala Lumpur Terbaik di Semenanjung

Pasukan Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai pasukan terbaik di Semenanjung Malaysia oleh pihak penganjur Sportexcel-Milo-NSC-MTBC Tenpin Bowling Sirkit Remaja Kebangsaan 2008 di majlis makan malam yang diadakan di penginapan rasmi Hotel Grand Continental, Kuantan. Pihak penganjur juga turut menyampaikan sijil penyertaan kepada setiap peserta GP Final dan juga anugerah kepada juara untuk semua kategori. Amirrul Afif dan Nur Diana telah menjuarai bagi kategori Boys Open dan Girls Open.

Sebaik saja selesai jamuan makan malam, saya bersama Dzulkarnain telah mengadakan pertemuan dengan kesemua pemain Kuala Lumpur. Saya telah meminta pemain agar menilai kembali persembahan mereka pada hari ini dan janganlah bersikap sambil lewa. Mereka telah bertungkus lumus di 8 pusingan sirkit untuk layak ke GP Final dan janganlah perjuangan selama ini disia-siakan. Tunjukkan semangat berjuang yang tinggi kerana perlawanan di blok kedua esok amat penting bagi memastikan tempat ke peringkat suku akhir pada hari sabtu nanti.

Sudah pasti setiap pasukan akan berjuang habis-habisan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan. Setiap pemain harus mengatur strategi bagaimana untuk menangani lane yang sukar serta membuat keputusan yang cepat dan tepat.

Pagi esok tepat jam 9.30 am, akan berlangsungnya blok ke-2 kategori Girls Graded dan Boys Open dan pemain akan bermain 6 game yang menjadikannya keseluruhan 12 game untuk kedua-dua blok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

GP Final, Kuantan Pahang

Petang tadi sebaik saja tiba di Kuantan pada jam 2.30 petang, saya bergegas ke Megalanes untuk menyaksikan perlawanan blok pertama kategori Girls Graded dan Boys Open. Di akhir blok Mohd Amirrul Afif menduduki tempat keempat manakala Yusof dan Faliq masing-masing menduduki tempat ke 13 dan 14 daripada 16 pemain. Girls Graded pula menyaksikan Nur Shahira menduduki tempat kedua manakala Hanan Fateha dan Nur Shamira masing-masing menduduki tempat ke-6 dan 13. Terdahulu pada sesi padi kategori Girls Open dan Boys Graded telah dipertandingkan di mana Cheryl Cheong menduduki tempat ke-6 bagi Girls Open. Nur Diana pula menduduki tempat ke-8 dan Nastasya ditempat ke-12. Namun masih ada peluang untuk pemain-pemain mendapatkan tempat dikelompok 8 teratas dan mereka perlulah menunjukkan kesungguhan serta menanam keazaman yang tinggi.

Esok akan berlangsungnya blok kedua bagi setiap kategori dan seramai 15 orang pemain dari pasukan Kuala Lumpur telah melayakkan diri ke GP Final ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Majlis Penyerahan Insentif SUKMA XII 2008


Malam tadi telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Insentif SUKMA XII Terengganu 2008 yang diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan. Ramai pemain-pemain tenpin Bowling Sukma Wilayah Persekutuan tidak dapat hadir kerana berada di Kuantan untuk mengharungi cabaran GP Final. Hanya Hee Kar Yeen dan Nur Najwa yang dapat hadir pada majlis tersebut dan telah mewakili bagi pihak Yusof Abdul Raof dan Cheryl Cheong untuk menerima insentif pingat emas.

Saya dimaklumkan bahawa Majlis Sukan Wilayah Persekutuan telah mula melakuka perancangan untuk menghadapi Sukma ke XIII yang akan di adakan di Melaka pada tahun 2010. Bagi pengurusan bowling juga telah melakukan perancangan dengan mengenalpasti bakat yang ada untuk di asah dan diserapkan di dalam skuad.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 26 August 2008

World Men's Championship 2008

Pasukan Elit Bowling Negara (Lelaki) kini berada di Bangkok bagi mengharungi cabaran Kejohanan Dunia Lelaki 2008. Setakat hari ini belum ada pencapaian yang di lakukan oleh pemain negara yang terdiri dari Alex Liew, Daniel Lim, Zulmazran, Aaron Kong, Adrian Ang dan Muhd Nur Aiman. Selepas 2 kategori dipertandingkan iaitu acara beregu dan trio, anak didik Holloway Cheah masih tercari-cari rentak sebenar di S.F Strike Bowl. Acara beregu lelaki telah dimenangi oleh pemain dari Amerika Syarikat iaitu Rhino Page dan Patrick Allen manakala bagi acara trio pula dimenangi oleh pemain dari Korea iaitu Choi Bok-Eum, Choi Ki-Bong dan Kim Tae-young

Walaubagaimanapun harapan masih ada untuk menyerlah kerana ada beberapa kategori akan dipertandingkan dan kita mengharapkan agar acara berpasukan pada hari ini akan membawa sinar harapan kepada pasukan negara. Blok pertama acara berpasukan akan bermula pada hari ini untuk Long Oil Condition dan blok kedua esok untuk Short Oil Condition dan keputusan dijangka diketahui pada 10.00 malam esok waktu tempatan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 25 August 2008

Malam penutup penuh gemilang


Malam tadi menyaksikan upacara penutupan Sukan Olimpik yang penuh gemilang. Pada majlis tersebut, Datuk Bandar Beijing, Guo Jinlong telah menyerahkan bendera Olimpik kepada Presiden IOC sebelum ianya diserahkan kepada Datuk Bandar London, Boris Johnson. Kotaraya London akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012. Tuan rumah China mengekalkan penguasaannya dari awal hingga ke akhir dengan jumlah 51 emas dan Amerika Syarikat berada ditangga kedua dengan 36 pingat emas diikuti Rusia 23 emas. Malaysia menduduki tempat ke-71 menerusi acara badminton yang memenangi pingat perak.

Persiapan perlu dilakukan dari sekarang bagi mencapai matlamat emas pada sukan Olimpik yang berikutnya. Mungkin Majlis Sukan Negara boleh melancarkan Program Emas Olimpik untuk tempoh 4 tahun ini menjelang 2012 dan tumpuan yang khusus kepada sukan tertentu yang mampu memberi pingat. Saya percaya MSN telah pun mempunyai perancangan yang teliti dan juga badan-badan sukan kebangsaan yang terlibat. Saya percaya sekiranya sukan tenpin bowling , squash dan lain-lain sukan yang menyerlah di peringkat antarabangsa dipertaruhkan di temasya Olimpik, Malaysia mampu meraih banyak pingat dan kemungkinan emas. Harapan kita adalah Harapan menjadi Kejayaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Misbun bakal bergelar Datuk

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Misbun Dato' Sidek yang bakal dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri Melaka. Majlis penganugerahan tersebut akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Istana Melaka pada hari Khamis ini. Pengorbanan serta pencapaian beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sememangnya tidak boleh kita nafikan lagi dan sewajarnya beliau menerima pengiktirafan tersebut. Beliau telah banyak mengharumkan nama negara di dalam sukan badminton.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 24 August 2008

MSKK Kuala Lumpur Golf Challenge




Petang tadi saya meluangkan masa bersama-sama jawatankuasa MSKK berada di Kinrara Golf Club, Puchong bagi menjayakan MSKK Golf Challenge 2008. Penyertaan amat menggalakkan dan jawatankuasa telah berjaya mengumpulkan 30 flight untuk tujuan ini. Pertandingan yang dijadualkan bermula pada jam 1.40 petang terpaksa ditangguhkan sehingga jam 3.00 petang kerana hujan agak lebat. Ketika pertandingan bermula dalam format stableford 36 dan bermula secara short-gun, hujan renyai masih membasahi padang dan ianya berterusan sehingga jam 7.00 malam. Siren dibunyikan pada jam 7.00 malam menandakan tamat permainan walaupun tidak menghabiskan 18 lubang. Saya bersama team flight bermain sehingga 16 lubang sebelum menamatkan permainan.

Acara penyampaian hadiah telah diadakan pada jam 8.00 malam iaitu selepas jamuan makan malam.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 21 August 2008

Penantian belum pasti

Saya agak terkilan dan kecewa apabila dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa format penentuan juara untuk Piala Tunku Imran telah berubah sewaktu Sirkit Peringkat Negeri Melaka. Di saat Kuala Lumpur sedang mendahului dalam pungutuan mata, perubahan ini sememangnya tidak di duga dan walaupun bantahan telah dihantar, Kuala Lumpur terpaksa akur dengan keputusan penganjur. Mengikut format asal Kuala Lumpur sudahpun menjadi juara tetapi dengan format baru ini pula penentuan akan dibuat pada GP Final di Kuantan nanti dan Kuala Lumpur akan tetap berjuang habis-habisan.

Pasukan Kuala Lumpur perlu memastikan persembahan yang terbaik dan membuktikan dengan format baru ini ianya tetap akan menyebelahi pasukan Kuala Lumpur. Saya sangat berharap agar pihak penganjur lebih peka dalam membuat keputusan di masa akan datang kerana kesan dari keputusan tersebut boleh menimbulkan berbagai andaian buruk terhadap penganjur.

Mohd Hisham Mohd Nor.

GP Final 28-30 Ogos, Kuantan, Pahang

Wednesday, 20 August 2008

Gelaran Datuk buat Lee Chong Wei

Tahniah kepada Lee Chong Wei kerana akan dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada 30 Ogos 2008. Ianya merupakan pengiktirafan kepada anak negeri Pulau Pinang yang berjaya merangkul pingat perak di dalam acara individu badminton di Sukan Olimpik, Beijing. Di fahamkan Lee Chong Wei akan menerima ganjaran khas yang dijanjikan sebanyak RM300,000.00 di satu majlis ringkas pada malam ini di Pulau Pinang. Beliau juga akan menerima pencen bulanan sebanyak RM3,000.00 berkuatkuasa September ini.

Pada bulan Julai lalu Nicole David telah di kurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) atas kejayaan cemerlang beliau sebagai pemain squash nombor satu dunia. Sesungguhnya keperihatinan dan sokongan dari kerajaan amat diperlukan bagi menyuntik semangat atlet-atlet negara untuk terus cemerlang di pentas antarabangsa.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Lagenda Bowling

Pada 15 Ogos yang lalu lagenda Bowling negara, Micheal Cheah telah meninggal dunia di Pulau Pinang pada usia 68 tahun. Saya percaya ramai yang tidak mengenali Micheal Chuah, bekas pemain bowling negara di sekitar tahun tahun 1973. Mendiang telah bersara dari sukan Bowling pada tahun 1999, setelah 35 tahun mengharungi pahit manis berkecimpung dalam sukan ini. Banyak pengorbanan dari aspek masa dan kewangan telah di laburkan di sepanjang penglibatan beliau dan telah mewakili negara di Kejohanan AMF World Cup di Jackie Bowl, Singapura pada tahun 1973 dan Kejohanan AMF World Cup di Prados Del Este Bowl, Caracas, Venezuela, Amerika Selatan. Mendiang juga turut menyertai Sukan Sea pada tahun 1975, 1977 dan 1985.

Saya menyanjungi kesungguhan beliau apabila terpaksa berkorban wang dan masa serta menempuh pelbagai cabaran termasuk berlatih sendiri tanpa bimbingan jurulatih. Beliau hanya belajar cara dan teknik Bowling melalui buku-buku dan video tape sahaja. Dengan kesungguhan ini beliau berjaya menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Atas jasa-jasa yang telah disumbangkan, beliau telah menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1984. Semoga semangat dan kesungguhan beliau ini menjadi contoh kepada atlet-atlet pada masa kini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 19 August 2008

Sesi Latihan Siri 7

video

Sesi Latihan Siri 7 telah di adakan petang tadi di ARL Powerbowl, Alamanda. Latihan ini merupakan siri terakhir kerana bulan ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Pada pemerhatian saya, ahli-ahli perlu di terapkan sesi balancing drill, one step drill dan 5 step drill. Insyallah program latihan akan dirombak selepas bulan ramadhan nanti dan program latihan yang lebih tersusun akan dirangka dan diedarkan kepada ahli-ahli. Ada beberapa pemain masih gagal melakukan 'follow-through' pada setiap balingan yang mana ianya menjadi antara perkara asas dalam permainan bowling.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 18 August 2008

Pegawai lebih daripada atlit

Tadi saya terbaca kenyataan pemimpin politik yang meminta kerajaan memberi jawapan segera mengapa kerajaan menghantar pegawai melebihi atlit yang menyertai Sukan Olimpik di Beijing. Di sini suka saya berkongsi pengalaman sebagai pegawai ketika bersama pasukan Bowling Kebangsaan ke Sukan Asia di Doha, Qatar dan Sukan Sea di Bangkok, Thailand. Peranan setiap pegawai adalah amat pentingnya dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan itu dan tidak dinafikan ianya membabitkan wang kerajaan atau wang rakyat. Di fahamkan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik , Beijing adalah terdiri daripada 33 atlit dan 39 pegawai dan ianya cuma membabitkan lebihan 6 orang sahaja.

Sebagai contoh pasukan bowling ke Sukan Sea terdiri dari 12 orang pemain, 1 orang pengurus dan 2 orang penolong serta 2 orang jurulatih. Manakala 1 orang psychologist dan 1 orang messeur pula terpaksa dikongsi dengan beberapa sukan yang lain. Pegawai-pegawai telah dibahagikan tugas untuk memastikan jadual perjalanan atlet berjalan dengan lancar. Sekiranya terdapat 2 sesi yang membabitkan pagi untuk wanita dan petang untuk lelaki, tugasan pegawai terpaksa diagih untuk memastikan ada pegawai menunggu serta mengiringi pemain-pemain dan sebagainya. Makan dan minum para atlet mesti tiba mengikut jadual agar mereka tidak tertunggu-tunggu.

Tugasan pegawai bukanlah mudah seperti yang disangkakan kerana pegawai terpaksa bangun awal pagi dan mereka jugalah orang yang paling lewat tidur. Saya amat tidak setuju jika ada yang mengatakan pegawai pergi melancong kerana waktu begitu terhad. Pernah satu ketika di Sukan Asia di mana blok terakhir yang dijadualkan bermula pada pukul 10.00 malam tertangguh sehingga jam 1.00 pagi dan perlawanan berakhir pada jam 3.30 pagi. Petugas dan wartawan RTM masih sanggup menunggu untuk mewawancara saya pada jam 3.30 pagi. Sewaktu perjalanan pulang ke perkampungan sukan, dalam hati saya berkata, Bowling sukan yang aneh, dikala atlet lain sedang tidur nyenyak merehatkan diri, atlet bowling masih lagi bertarung di gelanggang. Namum inilah pengorbanan pegawai yang ada sesetengah pihak tidak berpeluang melihatnya atau mengetahuinya. Bagi pandangan saya, bilangan pegawai ke Sukan Olimpik Beijing adalah kecil dan kita perlu melihat dari peranan yang dimainkan oleh mereka.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 17 August 2008

Sekadar Perak

Impian negara untuk mencipta sejarah mengutip pingat emas yang pertama di Sukan Olimpik punah apabila Lee Chong Wei ditewaskan mudah oleh Lin Dan dari China, 21-12, 21-8 dalam tempoh 39 minit. Namun ianya adalah pencapaian yang terbaik negara selepas Rashid Sidek yang memenangi pingat gangsa bagi acara perseorangan di Sukan Olimpik di Atlanta 1996. Terdahulu bagi acara menentukan pingat gangsa, Chen Jin dari China telah menewaskan Hyunil dari Korea, 21-16,12-21,21-14 dalam tempoh 79 minit.

Peluang hanya sekali dalam tempoh 4 tahun dan persiapan serta perancangan yang teliti perlu dilakukan dari sekarang samada dari segi teknikal, fizikal mahupun mental. Bermain di peringkat Olimpik bukan sesuatu yang mudah walaupun kita merasakan sudah bersedia untuk berjuang. Suasana di Sukan Olimpik amat berbeza dan sungguh mencabar dan tuan rumah mempunyai kelebihan apabila berhadapan dengan penyokong sendiri. Saya berpendapat sukan-sukan yang berjaya ke peringkat suku akhir perlu diambil perhatian agar persiapan ke Olimpik di London 2012 dapat di perkemaskan lagi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Menuju ke GP Final

Sirkit Remaja Sport-Excel peringkat akhir di Melaka telah berakhir petang tadi. Namun sedikit kekecewaan dengan prestasi pemain Kuala Lumpur yang gagal merangkul tempat pertama bagi semua kategori. Namun demikian, samada keputusan yang telah diambil atau ura-ura pihak penganjur untuk tidak mengambilkira mata yang dipungut sebelum ini untuk Piala Tunku Imran mungkin menjejaskan prestasi pemain-pemain. Secara peribadi saya sangat kecewa dengan tindakan pihak yang tertentu bertindak sedemikian di kala pemain sedang berhempas pulas di pusingan akhir. Di fahamkan pungutan mata akan dikira sewaktu di GP final nanti yang melibatkan Sabah dan Sarawak. Mengapa perkara ini tidak di maklumkan kepada pasukan seawal yang mungkin dan senario inilah yang akan merosakkan sukan negara.

Walaubagaimanapun, pemain yang layak harus memberi tumpuan di peringkat akhir iaitu GP Final nanti dan masalah tersebut akan saya selesaikan dalam masa terdekat ini bersama penganjur. Buktikan yang kecemerlangan Kuala Lumpur.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 16 August 2008

Chong Wei Mara

Syukur alhamdullilah, Perseorangan badminton negara Lee Chong Wei telah melangkah ke perlawanan akhir dengan menewaskan Hyunil dari Korea 21-18, 13-21, 21-13 dalam perlawanan yang mengambil masa 62 minit. Chong Wei akan bertemu Lin Dan dari China, pemain nombor satu dunia di perlawanan akhir nanti yang dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos 2008 (Ahad) jam 20:48 waktu tempatan.

Cuma selangkah lagi untuk Malaysia menggapai pingat emas yang pertama di Sukan Olimpik dan kita mengharapkan agar lagu negaraku akan berkumandang dan jalur gemilang berkibaran di Beijing University Technology Gymnasium di mana berlangsungnya acara akhir badminton perseorangan lelaki pada hari ahad ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Majlis Sepetang Bersama Penasihat







Petang kelmarin Kelab Bowling Kastam Putrajaya telah menganjurkan sesi Sepetang Bersama Penasihat. Walaupun Penasihat Kelab, Tuan Azis Yacub tidak dapat hadir kerana ada urusan rasmi, majlis tetap diadakan dan Penasihat Biro Ekonomi, Puan Rosaini Mohamad telah meluangkan masa untuk hadir pada majlis tersebut. Tujuan majlis tersebut adalah untuk mengenali ahli-ahli dengan lebih dekat serta menggalakkan ahli untuk terus menglibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti kelab. Pada majlis yang tersebut telah disampaikan kad keahlian kepada Puan Rosaini dan juga ahli-ahli. Di dalam ucapan saya telah menerangkan maksud serta halatuju kelab serta perancangan 6 bulan kehadapan. Sokongan ahli-ahli amat diperlukan untuk menggerakkan aktiviti kelab.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 15 August 2008

Harapan pada Chong Wei

Harapan Negara untuk meraih pingat emas pertama negara masih terbuka apabila Lee Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir kelmarin menewaskan Sonny Dwi Koncoro dari Indonesia. Kekalahan beregu Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong di tangan Kido Markis dan Setiawan Hendra dari Indonesia sedikit memberi kekecewaan buat pasukan badminton negara. Perjuangan tetap diteruskan dan Chong Wei terpaksa memerah keringat yang ada demi untuk merealisasikan impian negara untuk mencapai pingat emas yang pertama.

Sama-samalah kita memberi sokongan kepada Chong Wei dan perlawanan separuh akhir kedua itu menyaksikan Lee Chong Wei akan menentang Lee Hyunil dari Korea. Perlawanan dijangka bermula pada jam 1830 waktu tempatan. Perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan Lin Dan dari China menentang rakan senegaranya Chen Jin.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Peringkat Akhir Memanah Wanita

Memanah sering dikaitkan dengan aktiviti memburu pada zaman silam. Ini dapat kita lihat di dalam cerita-cerita lama di Eropah dan England khususnya pada zaman Robin Hood. Ianya juga digunakan sebagai senjata di dalam peperangan sewaktu zaman tersebut. Kini memanah telah menjadi sukan yang diiktiraf di peringkat dunia.

Semalam saya sempat menyaksikan perlawanan akhir memanah wanita. Ini merupakan pertama kali bagi saya menyaksikan perlawanan akhir sukan memanah dan tertarik dengan permainan tersebut. Perlawanan adalah di antara Park Sung-Hyun dari Korea dengan Zhang Juan Juan dari China (Gambar atas). Pengiraan dalam sukan ini adalah mudah apabila peserta di beri 12 arrow untuk mengutip mata. Peserta yang mengutip mata tertinggi akan dikira sebagai pemenang. Di dalam pertemuan tersebut persaingan amat sengit apabila Park Sung-Hyun telah mendahului Zhang pada 6 arrow yang pertama dan akhirnya Zhang Juan Juan berjaya menewaskan Park Sung-Hyun 110-109 dan seterusnya merangkul pingat emas. Terdahulu di peringkat separuh akhir, Zhang telah menewaskan pemain nombor satu dunia Yun Ok-hee dari Korea 115-109.

Sukan ini mempunyai potensi yang baik untuk atlet di negara kita kerana ianya tidak memerlukan fizikal yang besar atau bertubuh sasa seperti sesetengah sukan . Kekuatan mental memainkan peranan yang penting bagi menentukan kejayaan. Saya fikir kita mampu pergi jauh sekiranya tumpuan khusus dari aspek pembangunan di peringkat akar umbi lagi serta menggalakkan ramai pelajar-pelajar menceburi sukan ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 13 August 2008

Masih Menanti

Malaysia masih menanti kilauan emas yang pertama di Sukan Olimpik. Bukan mudah untuk menggapai kilauan emas terutama di peringkat Sukan Olimpik ini. Esok perseorangan lelaki badminton negara Lee Chong Wei akan menentang Sony Dwi Koncoro dari Indonesia pada jam 11.30 di peringkat suku akhir. Harapan yang diletakkan dibahu Chong Wei memanglah tinggi dan di harap beliau mampu untuk melakukan yang terbaik. Skuad Trio memanah negara hanya mampu ke peringkat separuh akhir sahaja. Pemain Korea mendominasi bagi acara memanah dan permainan ini memerlukan tumpuan atau fokus yang tinggi.

Kedudukan pingat memperlihatkan China menguasai pungutan emas iaitu 17 pingat diikuti Amerika Syarikat 10 pingat. Kedudukan mungkin akan berubah apabila acara olahraga bermula pada hari jumaat ini di National Stadium (Stadium Sarang Burung).

Sekiranya acara tenpin bowling, bowling padang dan squash dipertandingkan di Sukan Olimpik, saya berpendapat Malaysia mempunyai peluang yang amat cerah untuk meraih pingat emas berdasarkan pencapaiannya di peringkat antarabangsa. Tidak dinafikan lagi Malaysia memiliki pemain nombor satu dunia bagi squash wanita dan pemain-pemain bowling yang telah mengegarkan dunia. Kita tetap berusaha dan menanti sukan-sukan ini akan dipertandingan di temasya olimpik pada satu hari nanti, insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 9 August 2008

Pasukan Memanah Kebangsaan

Pasukan Memanah Kebangsaan ke Sukan Olimpik di ketuai oleh Pengurus Pasukan Yg. Bhg. Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalib yang juga merupakan Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia. Sesungguhnya pasukan memanah Malaysia amat bertuah kerana memiliki pengurus yang berwawasan serta berpandangan jauh. Kali terakhir saya bertemu Yg. Bhg Tan Sri Halil adalah sewaktu majlis penyerahan bendera kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Thailand tahun lepas. Beliau merupakan bekas Ketua Pengarah Kastam Malaysia 2000 sehingga 2005.

Tiga atlet memanah Malaysia Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Khalmizan Wan Abd Aziz, akan menjadi peserta Malaysia yang paling awal membuka cabaran di Sukan Olimpik Beijing yang dibuka dengan rasminya, malam tadi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 8 August 2008

8.8.08

Ramai yang ternanti-nantikan tarikh ini iaitu 8.8.08. Bagi kepercayaan masyarakat cina nombor 8 memberi tuah atau ong. Tarikh ini juga menjadi sejarah buat negara China apabila Majlis Perasmian Olimpik di adakan pada hari ini. Sebanyak 205 kontinjen akan berarak masuk ke Stadium Olimpik atau dikenali sebagai Sarang Burung. Malaysia menghantar 33 athlet dan 39 orang pegawai dan difahamkam negara Brunei Darulsalam menarik diri dari menyertai sukan Olimpik ini. Negara China adalah merupakan negara ketiga di Asia yang yang menjadi tuanrumah selepas Jepun dan Korea Selatan.

Dari pemerhatian saya melalui laman web rasmi sukan olimpik http://en.beijing2008.cn, persiapan yang dilakukan oleh China sungguh hebat. Perkampungan sukan yang disediakan merupakan yang paling canggih dan terbaik pernah disediakan di sepanjang sejarah sukan olimpik dan ini mengingatkan saya kembali dengan perkampungan sukan sewaktu Sukan Asia ke-15 di Doha, Qatar. Semua kemudahan disediakan dari air mineral dan isotonik percuma di lobi apartment, mesin basuh, serbuk sabun membasuh kain, kemudahan telefon, kemudahan internet, pejabat pos, klinik, cafe yang beroperasi 20 jam, mini panggung wayang dan banyak lagi yang tidak mungkin akan membosankan para atlet sewaktu kelapangan. Sama-samalah kita saksikan Sukan Olimpik yang diadakan 4 tahun sekali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 7 August 2008

Mesyuarat JSM

Pagi kelmarin saya telah menghadiri mesyuarat jurulatih sambilan (JSM) dan jurulatih Sepenuh Masa (JPM) di Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) di Menara PjH, Precint 2, Putrajaya. Mesyuarat tersebut dihadiri semua jurulatih sukan-sukan di bawah sukan prestasi tinggi negeri (dulu di kenali sebagai unit sukan teras negeri). Melalui penstrukturan semula ini, unit ini diletakkan dibawah MSWP yang dulunya berpejabat di Majlis Sukan Negara. Mesyuarat telah di pengerusikan oleh Encik M. Nor Azman, Pengarah MSWP dan taklimat telah disampaikan oleh Mohd Hazriq selaku Ketua Unit. Tidak banyak perubahan melainkan jawatan Ketua Jurulatih untuk setiap sukan telah ditukar nama kepada jurulatih sepenuh masa (JPM). Pegawai Pembangunan Sukan yang dulunya menyelaras satu jenis sukan, kini terpaksa menyelaras 4 ke 5 jenis sukan.

Apa yang saya harapkan melalui pelaksanaan program latihan pelapis negeri ini adalah ianya dapat diurus dengan lebih cekap. Pemilihan pemain dilakukan dengan lebih teliti serta menitikberatkan kualiti dari kuantiti. Adalah sukar bagi seorang jurulatih untuk melatih 18 ke 20 orang pemain pada satu-satu masa. Jika dilihat dari struktur baru, seorang jurulatih hanya mengendalikan 10 pemain sahaja dan diharapnya akan menjadi kenyataan.

Mohd Hisham Mohd Nor

Tewas di Separuh Akhir

Impian Ratu Bowling negara Shalin Zulkifli untuk ke peringkat akhir di 2008 U.S Women's Open berakhir malam tadi (waktu tempatan) apabila ditewaskan oleh Treisha Reid dari Columbus, Ohio 237-180. Namum ianya merupakan detik permulaan bagi beliau yang memasuki era professional di Amerika Syarikat. Diharap banyak lagi kejayaan yang akan dikecapi beliau kelak.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 6 August 2008

Melangkah Gagah

Shalin Zulkifli meneruskan kemaraan dengan melangkah ke peringkat separuh akhir pada Kejohanan 2008 U.S Women's Open. Beliau menewaskan Jodi Woessner dari Oregon 266-194. Pada perlawanan pertama Shalin menewaskan Tennelle Milligan 192-178. Esok adalah penentuan bagi peringkat separuh akhir dan akhir. Keadaan lorong pada peringkat ini ialah Cheetah (36 feet)

Sama-samalah kita mendoakan kejayaan beliau dan seterusnya menempa sejarah pasukan Malaysia buat pertama kalinya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 5 August 2008

Semakin Hampir

Pasukan Remaja Kuala Lumpur yang menyertai Sirkit Remaja Kebangsaan melebarkan jurang mata bagi merebut Piala Tunku Imran dari pencabar terdekat iaitu Perak. Kuala Lumpur mendahului dengan kelebihan 420 mata selepas 7 pusingan. Pusingan terakhir akan diadakan di Melaka pada 15-17 Ogos 2008 bagi menentukan juara piala tersebut serta pemain yang layak ke GP Final di Kuantan, Pahang pada 28-30 Ogos 2008.

STATES
Leg 1
Leg 2
Leg 3
Leg 4Leg 5
Leg 6
Leg 7
Points
K.LUMPUR
935835480780840930
865
5665
PERAK
775
1220
1070
430
590
445
715
5245
SELANGOR
1175
95
495
245
170
430
530
3140
KEDAH
-
480
305
85
305
305
95
1575

Shalin Mencipta Sejarah

Sejarah tercipta pada pagi ini apabila Ratu Bowling Negara, Shalin Zulkifli menempa sejarah sebagai pemain Malaysia yang pertama layak ke suku akhir pada 2008 U.S Women's Open. Beliau telah menempatkan diri di tangga ke-6 dengan purata permainan (game Average) 210.63. Hanya 16 pemain terbaik layak untuk ke pusingan separuh akhir esok dan 14 daripadanya adalah pemain professional Amerika Syarikat. Carolyn Dorin-Ballard dari North Richland Texas menduduki tempat pertama dengan purata permainan 217.59. Penyandang juara yang lalu Liz Johnson sekadar menduduki tempat ke-23.

Mereka telah bermain selama 4 hari (8 game sehari) dengan 4 keadaan lane yang berbeza iaitu Viper (38Feet), Chameleon (40 Feet), Scorpion (42 Feet) dan Shark (44 Feet). Semoga Jalur Gemilang berkibar dengan gagahnya di bumi Amerika.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 4 August 2008

Mohd Sahiar Juara Individu

Tahniah kepada Mohd Sahiar kerana berjaya menawan Kejohanan Tenpin Bowling Makswip dengan merangkul gelaran Juara Individu. Kejayaan beliau merupakan sejarah kerana menjadi warga Kastam yang pertama menjuarai kategori individu. Beliau yang bermain konsisten sejak awal permainan berjaya memperolehi purata permainan 208 pin. Beliau bermain di dalam pasukan Kastam Putrajaya B yang terdiri dari Mohd Sobri, Nadzri Che Ani dan Mohd Hisham. Kejayaan tersebut melayakkan beliau terpilih di dalam pasukan Makswip mewakili Wilayah Persekutuan ke Sukan Maksak yang akan diadakan di Kedah pada bulan ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Amirrul Afif Juara 'Boys Open'

Kategori Boys open dikuasai oleh pemain-pemain Kuala Lumpur apabila Amirrul Afif bertembung rakan sepasukan Yusof Abdul Raof di 'knock-out' perlawanan akhir. Terdahulu Amirrul Afif telah menewaskan rakan sepasukan Faliq Aimran dengan kelebihan 61 pin. Amirrul Afif telah berjaya menewaskan Yusof Abdul Raof yang juga juara pusingan Negeri Sembilan dengan kelebihan 34 pin. Kategori Girls Open pula menyaksikan Cheryl Cheong tewas kepada Syaidatul Afifah dari Perak di perlawanan akhir.

Bagi kategori Boys Graded dan Girls Graded pula, tiada seorang pun yang layak ke perlawanan akhir dan hanya Nur Shahira Abdul Manaf berjaya ke peringkat separuh akhir. 'Post-Mortem' akan dilakukan bagi mengenalpasti kelemahan terutama bagi kategori Boys Graded. Jurulatih Ali selaku tenaga pengajar yang bertanggungjawab akan cuba mengenalpasti kelemahan dan seterusnya memperbaiki mana-mana kelemahan sebelum ke pusingan yang terakhir di Melaka iaitu pada 15-17 Ogos ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Peranan Jurulatih

Saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh seorang pembaca blog saya tempohari berhubung dengan peranan jurulatih. Malangnya beliau tidak memberi pengenalan diri dan saya berharap memperkenalkan diri agar saya mengenali pemberi komen berkenaan. Saya sangat bersetuju dengan pandangan yang diberikan dan saya tidak mengatakan jurulatih tidak perlu membantu. Apa yang saya jelaskan adalah peranan jurulatih sewaktu pertandingan yang sedang berlangsung.

Kita perlu membezakan peranan jurulatih sewaktu latihan dan sewaktu pertandingan. Jurulatih mempunyai tugas yang berat bagi kedua-dua situasi. Sewaktu latihan aspek teknikal perlu diambil berat dan pemain perlu memahami secara jelas tentang teknik yang diajar. Manakala sewaktu pertandingan peranan jurulatih lebih kepada aspek menguatkan mental serta memberi semangat kepada pemain.

Saya juga telah menjelaskan agar sentiasa memberi semangat kepada pemain bila mereka di dalam keadaan tertekan dan bukannya meninggalkan pemain apabila permainan mereka merudum atau teruk. Secara umumnya pemain-pemain mempunyai kebolehan untuk berfikir dan kata-kata perangsang dari jurulatih akan menguatkan lagi semangat pemain-pemain.

Mohd Hisham Mohd Nor.

JTi International Golf Invitational 2008

Pagi Sabtu yang lalu saya telah meluangkan masa untuk mengambil bahagian pada Pertandingan Golf Jemputan anjuran JTi International yang berlangsung di Tropicana Golf Resort. Seramai 26 pemain dari Ibu Pejabat telah hadir untuk memeriahkan lagi pertandingan tersebut dari 150 orang yang mengambil bahagian. Turut serta bersama saya ialah Saudara Noor Amran Abdullah, Bendahari Kelab Bowling Kastam Putrajaya serta beberapa rakan santai yang lain. Pertandingan bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada 1.30 petang. Saya bersyukur kerana dapat menamatkan permainan 18 lubang kerana terpaksa bergegas menghadiri kuliah pada jam 3.00 petang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

2008 U.S Women Open

Hari Sabtu yang lalu saya dihubungi melalui skype oleh Saudara B.C Cheah, Pengurus Pasukan Malaysia yang kini berada di Illinois, Amerika Syarikat bersama-sama pemain-pemain bowling wanita negara yang beraksi di kejohanan 2008 U.S Women’s Open yang berlangsung pada 31 Julai sehingga 6 Ogos 2008 di Brunswick Zone XL, Romeoville, Illinois. Wilayah Illinois merupakan sebuah daerah yang dipimpin oleh calon Presiden Amerika iaitu Senator Barack Obama dan ianya kira-kira sejam perjalanan dari Chicago. Kejohanan ini merupakan kejohanan yang berprestij dan telah bermula sejak tahun 1949 ketika itu dikenali sebagai BPAA Women’s All Star dan ditukar nama kepada U.S Women’s Open pada tahun 1971. Puteri-puteri negara yang menyertai kejohanan ini adalah Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Zandra Aziela dan Wendy Chai. Mereka akan bermain di pusingan awal selama 4 hari iaitu 8 game sehari menjadikan jumlah keseluruhan 32 game untuk pusingan awal ini.

Kejohanan ini merupakan pendedahan yang sangat berharga buat pemain-pemain negara kerana mereka akan berentap bersama-sama pemain professional Amerika Syarikat. Di harap agar kejayaan pemain lelaki yang memenangi 2 pingat emas bagi acara masters dan berpasukan di World Youth Championship di Orlando minggu lalu dijadikan sebagai penyuntik semangat kepada mereka dan sama-samalah kita doakan agar mereka berjaya di pentas dunia. Saya akan terus mengikuti perkembangan dan menghubungi pengurus pasukan B.C Cheah bagi mendapatkan keputusan-keputusan terkini.

Mohd Hisham Mohd Nor.