Monday, 18 August 2008

Pegawai lebih daripada atlit

Tadi saya terbaca kenyataan pemimpin politik yang meminta kerajaan memberi jawapan segera mengapa kerajaan menghantar pegawai melebihi atlit yang menyertai Sukan Olimpik di Beijing. Di sini suka saya berkongsi pengalaman sebagai pegawai ketika bersama pasukan Bowling Kebangsaan ke Sukan Asia di Doha, Qatar dan Sukan Sea di Bangkok, Thailand. Peranan setiap pegawai adalah amat pentingnya dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan itu dan tidak dinafikan ianya membabitkan wang kerajaan atau wang rakyat. Di fahamkan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik , Beijing adalah terdiri daripada 33 atlit dan 39 pegawai dan ianya cuma membabitkan lebihan 6 orang sahaja.

Sebagai contoh pasukan bowling ke Sukan Sea terdiri dari 12 orang pemain, 1 orang pengurus dan 2 orang penolong serta 2 orang jurulatih. Manakala 1 orang psychologist dan 1 orang messeur pula terpaksa dikongsi dengan beberapa sukan yang lain. Pegawai-pegawai telah dibahagikan tugas untuk memastikan jadual perjalanan atlet berjalan dengan lancar. Sekiranya terdapat 2 sesi yang membabitkan pagi untuk wanita dan petang untuk lelaki, tugasan pegawai terpaksa diagih untuk memastikan ada pegawai menunggu serta mengiringi pemain-pemain dan sebagainya. Makan dan minum para atlet mesti tiba mengikut jadual agar mereka tidak tertunggu-tunggu.

Tugasan pegawai bukanlah mudah seperti yang disangkakan kerana pegawai terpaksa bangun awal pagi dan mereka jugalah orang yang paling lewat tidur. Saya amat tidak setuju jika ada yang mengatakan pegawai pergi melancong kerana waktu begitu terhad. Pernah satu ketika di Sukan Asia di mana blok terakhir yang dijadualkan bermula pada pukul 10.00 malam tertangguh sehingga jam 1.00 pagi dan perlawanan berakhir pada jam 3.30 pagi. Petugas dan wartawan RTM masih sanggup menunggu untuk mewawancara saya pada jam 3.30 pagi. Sewaktu perjalanan pulang ke perkampungan sukan, dalam hati saya berkata, Bowling sukan yang aneh, dikala atlet lain sedang tidur nyenyak merehatkan diri, atlet bowling masih lagi bertarung di gelanggang. Namum inilah pengorbanan pegawai yang ada sesetengah pihak tidak berpeluang melihatnya atau mengetahuinya. Bagi pandangan saya, bilangan pegawai ke Sukan Olimpik Beijing adalah kecil dan kita perlu melihat dari peranan yang dimainkan oleh mereka.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: