Tuesday, 4 November 2008

44th Bowling World Cup

Bandar Hermosillo, Mexico akan menjadi medan pertarungan jaguh-jaguh bowling dunia apabila bandaraya tersebut dipilih menjadi tuan rumah bagi kejohanan bowling Piala Dunia yang akan berlangsung pada 7 – 15 November 2008. Pemain Malaysia yang akan menyahut cabaran Piala Dunia tersebut adalah Zulmazran Zulkifli dan Esther Cheah. Zulmazran bersama jurulatih Holloway Cheah telah pun berlepas ke Mexico pada sabtu yang lalu dan Esther Cheah akan menyusul kemudian dari Amerika Syarikat.

Bandar Hermosillo yang dulunya dikenali sebagai Santisima Trinidad del Pitic (Holy Trinity of Pitic) adalah merupakan bandaraya terbesar di State of Sonora, Mexico dan ianya terletak kira-kira 250km dari sempadan Amerika Syarikat. Venue kejohanan akan diadakan di arena bowling serba baru yang mempunyai 32 lorong. QubicaAMF adalah merupakan pengasas dan penaja untuk Piala Dunia ini.

Malaysia pernah menganjurkan Piala Dunia ini pada tahun 1987 dan pencapaian terbaik Malaysia ialah pada tahun 1983 apabila Micheal Chuah menduduki tempat kedua bagi kategori lelaki yang di adakan di Mexico City. Pada tahun 1996, Shalin Zulkifli menempa sejarah sebagai wanita Malaysia pertama menempatkan diri di tempat kedua bagi kategori wanita yang diadakan di Belfast, Northern Ireland. Kejayaan terus dicipta oleh Shalin pada tahun 1997 dan 1998 apabila beliau menduduki tempat ketiga. Pada tahun 2005 di Ljubljana, Slovenia pula menyaksikan Wendy Chai Berjaya menempatkan diri di tempat ketiga. Sandaran diberikan kepada Zulmazran dan Esther Cheah untuk mencipta sejarah buat Malaysia pada Kejohanan Piala Dunia pada tahun ini. Semoga Zulmazran dapat membuat catatan yang lebih baik dari apa yang dilakukan oleh Micheal Chuah 25 tahun yang lalu. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan buat Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: