Monday, 22 December 2008

Penutupan Kejohanan Asean University Games ke-14

Penutupan Kejohanan Sukan Universiti Asean ke-14 telah dijalankan dengan gilang-gemilang semalam dan syabas kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) kerana telah menganjurkan dengan jayanya. Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bendera rasmi kejohanan kepada Thailand yang akan menjadi tuan rumah pada tahun 2010. Matlamat untuk menghimpunkan atlet-atlet universiti di kalangan negara Asean tercapai dan diharap ianya akan mengeratkan hubungan antara negara Asean.

Artikel sukan dari akhbar tempatan menarik perhatian saya untuk memberi pandangan berhubung dengan isu pingat emas yang dimenangi negara diraih tanpa saingan yang kuat, dalam erti kata yang lain dimenangi dengan mudah. Saya berpandangan ianya tidak menjadi isu malah kita perlu memberi sokongan serta pandangan yang positif. Berjaya atau gagal sekalipun, akan ada pihak-pihak yang akan memberi pandangan negatif. Pihak-pihak yang tertentu tidak pernah memberi pandangan yang positif dan ada saja isu yang ditimbulkan. Dalam keadaan sebegini bagaimana sukan di negara kita akan maju sejauh negara-negara di barat.

Para atlet di universiti hanya mampu untuk mewakili negara pada kejohanan ini setakat 2 kali sahaja di sepanjang tempoh pengajian mereka (tempoh pengajian sekitar 4-5 tahun). Selepas itu akan muncul atlet-atlet baru dan negara yang menguasai sesuatu acara itu berkemungkinan akan bertukar tangan. Jadi tidak timbul isu menang mudah atau lawan yang rapuh.

Isu insentif juga disentuh dan wajarkah atlet pada kejohanan ini menerima insentif. Menurut pihak yang tertentu, sukan ini adalah lebih kepada persahabatan dan bukannya pingat. Walaubagaimanapun saya berpandangan mereka yang beraksi dan telah berjaya mengharumkan nama negara wajar diberi pengiktirafan. Jika tak banyak sedikit pun tak mengapa dan mereka akan tetap menghargai usaha dan keringat mereka bertarung di peringkat antarabangsa. Mereka ini telah mengorbankan banyak masa serta meninggalkan penggajian buat seketika untuk memberi tumpuan pada sukan yang berprestij di peringkat universiti Asean ini.

Diharap semangat dan pencapaian 90 emas ini akan diteruskan apabila mereka beraksi di Tahilan pada tahun 2010 nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: