Tuesday, 6 January 2009

Dilema Sukan Sea Laos

Bandaraya Vientiane, Laos akan menjadi tuan rumah Sukan Sea yang ke-25 pada tahun ini. Ianya merupakan kali pertama buat negara Laos menganjurkan kejohanan dwi-tahunan ini. Di fahamkan persiapan telahpun berjalan sejak awal tahun 2008 dan pada kali ini hanya 25 sukan dipertandingkan. Berbeza dengan penganjuran yang lalu yang diadakan di Korat, Thailand yang mana sebanyak 40 acara telah dipertandingkan. Mungkin kekurangan infrastruktur atau kemudahan sukan menyebabkan tuan rumah menghadkan acara pada penganjuran kali ini.

Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, tuanrumah telah menggugurkan beberapa acara yang dianggap 'lubuk emas' kepada skuad Malaysia seperti Tenpin Bowling, Berbasikal(trek) dan squash. Sukan-sukan yang memberi kelebihan kepada mereka seperti renang sirip dan sepak bulu ayam talah dimasukkan di dalam jadual kejohanan.

Penghantaran skuad atau kontinjen Malaysia menjadi topik hangat apabila Menteri Belia dan Sukan Y.B Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar atlet pelapis di hantar ke temasya sukan tersebut. Manakala di pihak persatuan pula kebanyakkannya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ianya tidak sesuai untuk dijadikan gelanggang pendedahan pemain kerana Sukan Sea merupakan sukan yang kompetitif.

Walaubagaimanapun belum ada kata putus yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan dan juga Majlis Sukan Negara. Namun saya berpendapat ada pro dan kontra berhubung dengan isu ini. Apa yang dibangkitkan oleh Y.B Menteri Belia dan Sukan iaitu tumpuan harus diberikan untuk Sukan Asia dan Olimpik itu ada asasnya dari segi perbelanjaan yang tinggi perlu dilaburkan. Jika kita lihat dari segi penganjuran Sukan Sea kali ini, ianya seolah-olah seperti 'melepaskan batuk ditangga' dengan menyenaraikan sukan-sukan tradisional dan sebagainya. Oleh yang demikian lebih baik wang atau peruntukan yang ada digunakan untuk persiapan Sukan Asia 2010 dan Sukan Olimpik 2012 yang mana ianya sangat kompetitif dan bertaraf dunia. Tidak seperti penganjuran Sukan Sea 2007 di Korat, Thailand yang mana banyak sukan-sukan 'bertaraf olimpik' dipertandingkan.

Di harap apa jua keputusan yang dibuat nanti akan memberi manafaat kepada atlet dan negara kerana Kontinjen negara mempunyai misi pada setiap kejohanan yang disertai. Semoga keputusan yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara akan mendapat sokongan dari semua pihak terutamanya badan-badan sukan kebangsaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: