Saturday, 25 April 2009

JTi Walk A Hunt 2009




Pagi tadi saya bersama rakan-rakan iaitu Haizam dan Razif telah berkesempatan untuk menyertai JTi Walk A Hunt 2009 yang diadakan di Le Meridien, KL Sentral. Ramai rakan-rakan dari agensi lain seperti Bomba, Agensi Atom, MITI, MIDA dan Polis turut serta menjayakan aktiviti ini. Ianya merupakan kali kedua aktiviti ini diadakan dan jika anda semua ingat, saya ada melaporkan aktiviti ini pada 5 April 2008 yang mana ianya diadakan di KLCC.

Kali ini ianya berbeza sedikit di mana para peserta bersarapan seawal jam 7.30 pagi di Le Meridien dan mula bergerak dengan menaiki LRT KL Sentral menuju ke stesen Masjid Jamek. Starting Point bermula di OCBC Stesen Masjid Jamek dan para peserta berjalan sehingga ke Mid Point iaitu di Stesen Monorail Medan Tuanku yang bersebelahan dengan Hotel Sheraton. Dari sana peserta dibekalkan dengan soalan pusingan kedua dan berjalan sehingga ke Stesen LRT Masjid Jamek melalui sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari jawapan. Keseluruhannya mengambil masa 3 jam dan perlu sampai semula ke Le Meridien pada atau sebelum 12.15 tgh.

Secara keseluruhannya saya bersama ahli pasukan yang terdiri dari Haizam dan Razif merasakan cabaran yang amat hebat pada tahun ini kerana soalan yang dikemukakan amat mengelirukan dan kami terpaksa mengambil masa yang agak lama. Perjalanan agak jauh dan sangat letih. Saya merasakan ianya sangat letih dari bermain golf 9 lubang dengan berjalan kaki. Namun segalanya dapat diatasi dengan kerjasama dan semangat berpasukan dikalangan kami semua. Soalan yang dikemukakan pada tahun lalu agak mudah dan mengambil masa yang singkat untuk dihabiskan. Namun ini yang dinamakan cabaran dan ianya menguji ketahan mental dan fizikal.

Diakhir pertandingan semuanya menikmati jamuan makan tengahhari di Le Meridien. Tiada satu pun pasukan dari KDRM yang menduduki 3 tempat teratas. Namun masing-masing telah menanamkan azam untuk mencuba lagi di tahun akan datang. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Thursday, 23 April 2009

Sukan Wilayah Persekutuan

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Sukan Wilayah Persekutuan (SWiP) pada bulan Jun ini. Beberapa sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma 2010 dijangka akan dipertandingkan pada SWiP nanti. Ini merupakan kali kedua SWiP dianjurkan dan kali pertama adalah pada tahun 2007.

Acara Tenpin Bowling tidak ketinggalan dalam Sukan SWiP pada kali ini dan ianya bakal akan dilangsungkan pada 10-13 Jun di Megalanes Endah Parade. Sebanyak lebih 15 pasukan akan bertanding pada pertandingan kali ini dan ianya terdiri dari pasukan Remaja Kebangsaan yang terdiri dari pemain asal Kuala Lumpur, pemain program sukan prestasi tinggi MSN dan MSWP serta pemain dari program Megalanes Kuala Lumpur. Pasukan Wilayah Persekutuan Labuan juga telah mengesahkan untuk turut serta pada kejohanan kali ini.

Saya juga turut mempersiapkan 2 pasukan lelaki dan 1 pasukan wanita dari program sukan prestasi tinggi Wilayah Persekutuan. SWiP adalah merupakan landasan bagi menyaksikan serta menilai tahap prestasi pemain sebelum mereka terpilih untuk menyertai sesi latihan Sukma 2010. Secara peribadi saya merasakan prestasi pemain Wilayah Persekutuan semakin matang dan mereka semakin menunjukkan peningkatan dalam permainan. Ini adalah kerana banyak pendedahan yang telah diberikan kepada pemain termasuk menyertai kejohanan yang bertaraf kebangsaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 2 April 2009

Sesi Latihan USPTN

Malam tadi saya memulakan sesi latihan yang pertama bagi pelatih-pelatih Sukan Prestasi Tinggi Negeri (dahulunya dikenali sebagai Sukan Teras). Saya rasa bersyukur kerana pada kali ini saya mengendalikan pelatih-pelatih di dalam kumpulan yang lebih kecil dari sebelumnya. Seramai 10 orang pelatih dari 12 orang kesemuanya telah melaporkan diri semalam di Pusat Latihan di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade.

Sesi dimulakan dengan sesi pengenalan para pelatih yang mana ianya adalah gabungan pemain baru dan lama. Ada diantaranya pernah mendapat bimbingan dari saya sewaktu mereka di dalam program Sukan Teras bawah 12 tahun dan mereka ialah Atiq Bazil, Siti Zulaikha dan Amirul Radzi.

Program ini tidak berbeza dengan program AA dan AAA yang telah bermula pada bulan Mac. Kedua-duanya dikendalikan secara bersama oleh KLTBA dan MSWP dan yang bezanya program yang dikendalikan oleh saya dibiayai oleh MSWP dan AA dan AAA dibiayai oleh MSN. Sesi latihan ini diadakan 2 kali seminggu iaitu pada hari Rabu jam 8.00 malam dan Ahad 6.00 petang. Program ini akan berjalan sehingga bulan November 2009.

Modul dan corak latihan adalah sama dan mengikut kehendak atau ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara dan yang bezanya adalah pendekatan yang akan saya ketengahkan pada musim ini. Saya cuba membuat beberapa perubahan dan ianya perlu dilakukan pada peringkat awal ini bagi mendisiplinkan para pelatih. Jika dulu tumpuan hanya pada skill pemain tetapi kini saya cuba memberi pendedahan kepada pemain dalam aspek persediaan mental. Saya akan cuba memberi input serta teknik ketahanan mental kepada pemain pada musim ini dan diharap dengan gabungan skill, teknik serta mental, para pelatih akan lebih bersedia menghadapi sebarang kejohanan.

Perbincangan dengan ibu-bapa turut diadakan semalam bagi mendapat maklumbalas berhung dengan program ini dan saya turut menjelaskan tentang modul yang akan saya ketengahkan dan rata-rata memberi sokongan. Saya berharap agar sokongan dari ibu-bapa serta pelatih-pelatih akan memberi satu suntikan baru kepada saya untuk bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan kecemerlangan pemain. Saya juga menasihat pemain agar memanafaatkan tempoh 6 bulan ini untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh agar hasilnya nanti kan dapat mengembirakan semua pihak.

Mohd Hisham Mohd Nor.