Wednesday, 27 May 2009

Menjelang Pemilihan Jawatan Kuasa MOM

Pada 30 Mei 2009, bersamaan hari Sabtu ini merupakan tarikh penting di dalam kalender Majlis Olimpik Malaysia kerana pemilihan Jawatankuasa MOM 2009/2011 akan diadakan di Wisma OCM. Saya turut merasakan bahang pemilihan kerana turut tidak ketinggalan untuk bertanding bagi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat MOM. Dato Sieh Kok Chi sudah pasti berasa lega dan boleh terus memikir apakah yang perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun akan datang apabila menang tanpa bertanding.

Bagi diri saya ini merupakan satu pengiktirafan kerana ia merupakan jawatan yang tertinggi ditandingi di dalam badan sukan yang bertaraf dunia. Saya berjanji tidak akan mensia-siakan amanah serta kepercayaan yang diberikan oleh Kongress Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) apabila mencalonkan saya bertanding untuk jawatan Penolong Setiausaha.

Kepercayaan serta sokongan semua pihak termasuk rakan-rakan telah menguatkan semangat saya untuk bertanding dan sekiranya saya diberi peluang untuk menyertai jawatankuasa MOM, saya berjanji akan terus komited dalam memajukan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sudah pasti, OCM memerlukan suntikan idea-idea baru serta tenaga yang agresif dalam menjayakan agenda sukan negara. Sukan Malaysia kini berada di tahap yang sangat membanggakan dan ianya memerlukan komitmen yang cukup mantap bagi memastikan ianya terus cemerlang di persada antarabangsa.

Saya yakin dengan berbekalkan pengalaman diperingkat jabatan, badan sukan negeri serta kebangsaan, saya mampu untuk memikul tugas dan tanggungjawab selaku Penolong Setiausaha Kehormat MOM. Pengalaman di dalam pengurusan seperti mengendalikan majlis rasmi, menganjurkan persidangan, menguruskan sukan serta mentadbir badan sukan akan menjadi kekuatan buat saya untuk terus menyumbang tenaga ke peringkat yang lebih tinggi. Saya akan berkerjasama erat dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang lain bagi memastikan kecemerlangan sukan negara terus berkembang.

Saya berharap agar mendapat sokongan dari perwakilan-perwakilan yang akan mengundi supaya memberi peluang kepada saya untuk menyumbangkan tenaga sebagai Penolong Setiausaha MOM. Insyallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: