Wednesday, 10 June 2009

Tahniah buat Yap Sai Mun dan Ian Tan

Saya mengucapkan tahniah dan syabas buat Yap Sai Mun dan Ian Tan diatas kejayaan mereka mendapat pingat perak dalam acara beregu di Sukan Wilayah Persekutuan. Sesungguhnya ia amat bermakna buat diri saya kerana pemain ini telah menunjukkan mereka mampu menumbangkan jaguh-jaguh Wilayah Persekutuan yang lain.

Saya amat terharu dengan kejayaan ini kerana ia merupakan kejayaan buat semua yang berada dalam program di bawah kendalian saya. Mereka turun sebagai underdog dan berjaya berada di podium.

Kejayaan ini adalah hasil dari kerjasama ibu-bapa, pemain dan jurulatih. Tanpa kerjasama dari ketiga-tiga pihak ini, kejayaan tidak dapat dikecapi. Dengan tidak mengamalkan 'favouritism' atau pilih kasih adalah kunci kejayaan pemain. Ibarat satu keluarga besar, adik dan abang serta kakak, mereka ini bekerjasama di dalam satu pasukan.

Syabas dan teruskan usaha kerana perjuangan masih belum selesai. Saya amat terkilan kerana tidak bersama mereka kerana ada tugasan penting yang perlu dilaksanakan. Insyaallah saya akan mengikuti perkembangan mereka.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 1 June 2009

Jawatankuasa OCM 2009/2011

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon-calon yang dipilih serta menang tanpa bertanding pada pemilihan OCM yang lalu. Hampir kesemua jawtankuasa adalah dari barisan yang lalu kecuali Datuk Sani yang menang bagi jawatan Naib Presiden dengan jumlah undi yang tertinggi. Walaupun beliau cuti selama sepenggal, namun populariti beliau tetap utuh dan sentiasa diingati dikalangan perwakilan-perwakilan.

Sewaktu beliau bertanyakan kepada saya, perlukah saya bertanding? Saya tanpa memikir panjang mengatakan Datuk sewajarnya bertanding dari dulu lagi. Setelah mendapat pandangan beberapa pihak, beliau membuat keputusan untuk bertanding dan nyata ianya membuahkan hasil.

Saya berharap barisan jawatankuasa ini akan berkhidmat dengan lebih aktif serta membantu persatuan-persatuan sukan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Mesyuarat Agong OCM

Sudah pasti ramai yang telah membaca berita berhubung dengan keputusan pemilihan OCM pada hari Sabtu yang lalu. Ianya merupakan pengalaman yang baik buat diri saya apabila pertama kali bertanding pada pemilihan OCM dan ianya cukup gementar apabila berdepan dengan tokoh-tokoh sukan yang terkemuka. Saya diberi peluang selama 2 mainit sahaja untuk memperkenalkan diri yang mana ianya amat singkat dan tidak cukup untuk menceritakan latarbelakang sepenuhnya. Namun waktu yang singkat ini telah digunakan sebaiknya.

Mujurlah sebelum mesyuarat bermula, rakan-rakan telah mengedarkan pamplet tentang diri saya serta pencapaian dalam akademik dan juga sukan. Sekurang-kurangnya ia memberi panduan kepada perwakilan untuk membuat pemilihan.

Saya amat bersyukur dengan keputusan yang diterima apabila menduduki tempat kedua dari 4 orang calon yang bertanding. Penyandang jawatan Ramly mendapat 51 undi, saya mendapat 23 undi, Ramesh 18 dan Lawrence 3 undi. Sebagai seorang insan yang baru dalam sukan kebangsaan, ianya merupakan pencapaian yang baik buat diri saya kerana penglibatan bersama OCM amat terhad.

Insyallah, saya akan bergiat dengan lebih aktif lagi bersama OCM dalam tempoh 2 tahun ini agar dapat memberi sumbangan yang labih baik.

Mohd Hisham Mohd Nor.