Saturday, 11 July 2009

Sirkit Remaja Peringkat Negeri Selangor

1. Pusingan terakhir Sirkit Remaja Kebangsaan akan diadakan pada 24-26 Julai di Megalanes Sunway. Selangor akan menjadi tuanrumah untuk pusingan yang terakhir ini sebelum GP Final pada pertengahan bulan Ogos yang bakal akan berlangsung di tempat yang sama.

2. Persembahan pemain-pemain Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur terutamanya pemain untuk program pembangunan yang ditaja oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan sungguh mengecewakan saya kerana mereka tidak menampakkan kesungguhan serta semangat untuk bertanding. Program latihan akan dirangka semula dan sesi latihan mental akan dipertingkatkan lagi supaya pemain-pemain benar-benar bersedia untuk menangani situasi pada kejohanan.

3. Sesi latihan mental yang telah diadakan pada 27 Jun yang lalu, saya memberi penekanan kepada prinsip asas persediaan mental pemain seperti latihan imagery/bayangan, self-talk/kata kendiri, relaxation serta beberapa teknik dalam persediaan mental.

4. Insyaalah, menjelang Sirkit di Selangor ini, saya akan cuba memberi sedikit pendedahan berhubung dengan konsep Fokus/Concentration. Apa yang saya dapati sewaktu di Seremban, pemain tidak begitu fokus dengan permainan dan mudah hilang tumpuan hingga menyebabkan permainan mereka merudum dengan mudah. Keadaan ini akan cuba kita atasi agar pemain dapat menumpukan permainan dari awal hingga akhir.

5. Diperingkat permulaan, fokus ketika latihan amat penting kerana dan ini akan diberi perhatian yang serius kepada setiap pemain-pemain. Saya telah memberi amaran sewaktu taklimat Isnin yang lalu, sekiranya pemain tidak bersedia jangan sertai Sirkit Selangor. Dan sekiranya bersedia, berjanji pada diri sendiri untuk melakukan yang terbaik.

6. Pemain-pemain menyatakan persetujuan mereka dan saya akan berusaha memperbaiki kelemahan pemain dalam waktu yang terdekat ini. Saya sangat percaya, mereka ini mampu melakukan yang terbaik, malah lebih baik dari pemain-pemain senior sekiranya mereka memberikan tumpuan yang sepenuhnya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: