Saturday, 28 November 2009

Sharon Olahragawati Wilayah Persekutuan 2008

25112009(001)

25112009033

Setinggi-tinggi tahniah buat Sharon Koh diatas kejayaan beliau dinobatkan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2008. Majlis anugerah sukan Wilayah Persekutuan 2008 telah berlangsung pada 25 November 2009 yang lalu bertempat di De’ Seri Hendon Puspanitapuri, Putrajaya.

Selain Sharon yang juga merupakan pemain elit negara, Shafiq Ridhwan A. Malik turut dicalonkan bagi anugerah olahragawan Wilayah Persekutuan. Namun Melvin Chua dari sukan renang telah meraih anugerah Olahragawan Wilayah Persekutuan.

Wakil dari tenpin bowling yang turut menerima pencalonan adalah Steven Teng untuk kategori Pegawai Sukan Terbaik dan Dzulkarnian Sapian untuk kategori Jurulatih Terbaik. Namun kedua-duanya tewas kepada Thiagu a/l Ponniyah (karate-Do) untuk Pegawai Sukan Terbaik dan Junaidi bin Bakir (Memanah) bagi Jurulatih terbaik.

Saya sungguh berbangga kerana anugerah ini baru tahun kedua diperkenalkan dan pasukan tenpin bowling berjaya merebut satu tempat bagi anugerah yang dipertandingkan. Untuk rekod tahun lalu Y.Bhg. Tan Sri Mohamed Noor bin Abdul Rahim, Presiden Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berjaya meraih anugerah Tokoh Sukan 2007.

Insyaallah tenpin bowling akan cuba mencalonkan pemain-pemain yang berpotensi dan berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 19 November 2009

Syabas Zul dan Safi

Mara dan terus mara ke hadapan.. Syabas kepada Zulmazran dan Siti Safiyah kerana melayakkan diri ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Bowling Piala Dunia AMF Qubica di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka. Zulmazran yang ketinggalan di hari pertama telah bangkit di hari kedua dan seterusnya mempamerkan permainan konsisten.

Saya mendoakan semoga mereka berjaya ke peringkat separuh akhir. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 9 November 2009

Sukar dikekang

Walau apapun, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Bowling JKDM ke Sukan Kewangan kerana menduduki tempat kedua di kejohanan bowling Pesta Sukan Kewangan yang berlangsung di ARL Powerbowl, Alamanda.

Pasukan JKDM  dibawah pimpinan Saudara Nadzri Che Ani sekali lagi gagal mengekang penguasaan KWSP yang rata-rata dibarisi pemain-pemain yang berpengalaman seperti Rosli Malek, Amir, Yusri dan beberapa pemain yang aktif dalam sukan tenpin bowling sejak tahun 2000 lagi.

Pada satu ketika LHDN merupakan saingan buat KWSP dan dua pasukan ini sering berentap merebut tempat pertama. Namun apa yang dilihat, pasukan LHDN agak merudum sejak kebelakangan ini dan mungkin disebabkan ketandusan pemain-pemain senior di dalam pasukan mereka.

Namun begitu, tempat kedua adalah merupakan pencapaian yang terbaik dan sewaktu saya memimpin pasukan pada tahun 2002, JKDM mendapat tempat kedua dibelakang KWSP dengan perbezaan hanya 50 pin. Apa pun cuba lagi ditahun hadapan, moga-moga mendapat kejuaraan sulung buat JKDM.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 8 November 2009

Tahniah buat Negeri Sembilan

Tahniah buat pasukan Negeri Sembilan kerana menjuarai Piala Malaysia setelah penantian yang lama sejak 1948 untuk menjulang piala yang berprestij itu. Cubaan 2 kali di final Piala Malaysia iaitu 2000 dan 2006 akhirnya membawa tuah buat anak-anak buah Wan Jamak selaku jurulatih Negeri Sembilan.

Tahniah juga kepada Presiden PBNS, Dato' Mohammad Hassan kerana memimpin badan sukan itu dengan cemerlang. Piala disampaikan oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 7 November 2009

Tahniah Siti Zulaikha

Siti Zulaikha

Sekalung tahniah buat Siti Nurzulaikha Ismail kerana menerima bantuan RM1000 dari SportExcel diatas kecemerlangan yang telah dipamerkan sepanjang penglibatan beliau dalam sukan tenpin bowling. Bantuan atau geran tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar pada hari Selasa yang lalu. Siti yang baru berusia 11 tahun telah mengecapi banyak kejuaraan tempatan dan merupakan harapan negara pada masa depan.

Saya secara peribadi amat berbangga dengan pencapaian tersebut kerana pernah melatih Siti ketika berusia 8 tahun apabila beliau mengikuti program Sukan Teras bawah 12 tahun pada tahun 2006. Pada tahun ini saya berpeluang untuk melatih beliau semula di dalam program pembangunan remaja tajaan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP). Beliau mempunyai perjalanan yang jauh lagi serta mampu menjadi permata bowling negara pada satu hari nanti. Banyak aspek yang perlu dipelajari dan pengalaman yang perlu ditimba oleh Siti untuk menggapai kecemerlangan dan sukan bowling.

Mohd Hisham Mohd Nor

Sunday, 1 November 2009

Kunjungan Pasukan Bowling PKN Terenganu ke Putrajaya



KBKPj mengalu-alukan kunjungan Pasukan Bowling PKN Terengganu ke Putrajaya pada 30 Oktober yang lalu. Sehubungan dengan itu satu perlawanan persahabatan telah diadakan pada 30 Oktober 2009 bertempat di ARL Powerbowl, Alamanda. Turut memeriahkan pertandingan ialah Y.Bhg. Dato' Hassan Ibrahim, Penasihat KBKPj, Y.Bhg. Dato' Azis Yacub, Presiden Kehormat KBKPj yang juga PKN Terengganu serta Datin Rosaini, Penasihat KBKPj.

Seramai 40 peserta dari Putrajaya dan Terengganu telah mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan ini dan acara pasukan dimenangi oleh pasukan KBKPj. Acara penyampaian hadiah diadakan pada jamuan makan malam di Putra Executive Lounge, Putrajaya.

Saya amat gembira kerana program ini berjalan dengan jayanya dan diharap ianya akan diadakan dimasa akan datang. Pada ucapan aluan, saya mencadangkan supaya satu perlawanan persahabatan Pasukan Bowling KBKPj dengan negeri-negeri PAKAT(Kelantan, Terengganu dan Pahang) di adakan pada tahun hadapan.

Mohd Hisham Mohd Nor.