Monday, 28 December 2009

Cukai rokok untuk bolasepak

Kejayaan pasukan bolasepak Malaysia mengutip pingat emas pada Sukan Sea di Laos baru-baru ini memberi harapan baru kepada sukan bolasepak di Malaysia. Segala kritikan pedas serta hentaman-hentaman yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan terhenti seketika. Muncul suara-suara yang memuji kehebatan skuad bolasepak kebangsaan dan secara tidak langsung skuad bolasepak meraih populariti sebagai sukan nombor satu Malaysia.

Kejayaan anak buah Rajagobal sememangnya perlu diberi pengiktirafan kerana pemain telah bertungkus lumus dengan penat dan keringat yang tidak terhingga. Pemain-pemain gigih dalam menghadapi cabaran di peringkat kumpulan untuk menghadapi pasukan-pasukan yang handal. Walaupun tewas kepada Vietnam di peringkat kumpulan, ianya tidak melemahkan semangat pemain untuk bangkit semula apabila bertemu Vietnam pada perlawanan akhir.

Kelmarin Kementerian Belia dan Sukan akan mencadangkan kepada kabinet agar sebahagian daripada hasil kutipan cukai rokok disalurkan untuk pembangunan bolasepak.

Persoalan yang ingin saya kongsi pandangan adalah pertamanya mengapa cukai rokok untuk membangunkan bolasepak dan keduanya mengapa penumpuan diberi kepada pembangunan bolasepak sahaja.

Sememangnya cadangan tersebut baik serta mampu memajukan bolasepak. Dana atau sumber kewangan yang kukuh memainkan peranan yang penting dalam pembangunan bolasepak. Ini dapat dilihat dinegara barat dan Eropah dimana wang yang besar dilaburkan dalam bolasepak dan ianya menjadi sebuah industri yang besar.

Saya berpandangan semua cukai yang dikutip oleh kerajaan akan disatukan dibawah satu tabung dan saya tidak faham mengapa ianya dikaitkan dengan cukai rokok. Jika dahulu syarikat rokok diberi pengecualian cukai apabila menaja sesebuah pasukan sukan. Pengecualian cukai ini pula bukannya cukai rokok tetapi cukai korporat. Oleh yang demikian mengapa cukai rokok semata-mata dicadangkan untuk tujuan bolasepak.

Apabila satu ketika dahulu Dunhill menaja hampir RM30 juta kepada FAM untuk tujuan bolasepak khususnya, ianya bukanlah sumber dari cukai rokok tetapi cukai korporat.

Ianya merupakan dua cukai yang berbeza kerana cukai rokok yang terdiri daripada cukai jualan dan duti eksais  dipungut oleh Kastam Diraja Malaysia. Ianya bermaksud duti eksais dikenakan keatas tembakau manakala cukai jualan dikenakan keatas pengilangan membuat rokok. Cukai korporat pula dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari pendapatan tahunan yang diperolehi oleh syarikat. Namun kedua-duanya akan digabung dalam satu dana perbendaharaan.

Oleh yang demikian saya berpandangan tiada cukai yang khusus perlu digunakan untuk tujuan bolasepak kerana cukai-cukai tersebut akan digabung dibawah satu dana.

Saya juga kurang memahami mengapa sukan bolasepak sahaja perlu diberi perhatian dan diberi bantuan. Sukan-sukan lain yang lebih berjaya serta banyak mengharumkan nama negara juga jangan dipinggirkan.

Sukan seperti squash, tenpin bowling, lawn bowl, lumba basikal, badminton serta beberapa sukan lagi juga perlu diberi perhatian kerana sukan-sukan ini telah banyak mengharumkan nama negara dipersada antarabangsa. Oleh yang demikian sukan-sukan lain juga perlu diberi bantuan untuk tujuan pembangunan. Dalam konteks ini juga, syarikat swasta perlu memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sukan negara.

Sebagai perbandingan di beberapa negara, ada kerajaan yang tidak memberi bantuan kepada badan-badan sukan. Sebagai contoh di Singapura, saya difahamkan di dalam sukan tenpin bowling apabila pemain mereka memenangi pingat emas dalam pada sukan Asia, syarikat korporat yang menghulurkan insentif kepada pemain yang berjaya. Begitu juga di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan negara yang kaya dengan minyak, sukan dibiayai oleh pedagang-pedagang tempatan yang meminati sukan-sukan tertentu. 

Kesimpulannya beban kewangan untuk memajukan sukan bukan terletak dibahu kerajaan. Syaraikat swasta perlu tampil memberi bantuan dalam memajukan sukan negara. Syarikat-syarikat besar ini mendapat kontrak dari kerajaan dan tiba masanya untuk menunaikan tanggungjawab membantu kerajaan dalam memajukan sukan.

Mengapa cukai rokok untuk sukan bolasepak, tidak dapat dipastikan dan sama-sama kita lihat perkembangan yang seterusnya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: