Monday, 14 December 2009

Kenali Pasukan Bowling Kebangsaan

IMG_0767 Ketika catatan ini dibuat, saya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi. Penerbangan Etihad Airways tiba di LTAAD pada jam 12.15am waktu tempatan (4.15 waktu Malaysia). Pasukan Malaysia transit disini dan akan meneruskan perjalanan ke Doha, Qatar pada jam 3.00am waktu tempatan. Perjalanan ke Doha, Qatar mengambil 1 jam dan perbezaan waktu antara Doha dan Abu Dhabi adalah 1 jam.

Ramai dikalangan peminat tempatan baik sewaktu di KLIA mahupun di dalam pesawat tertanya-tanya tentang ketiadaan pemain wanita di dalam skuad pada kali ini. Seperti yang saya catatkan sebelum ini, pemain-pemain terdiri dari Alex Liew, Daniel Lim, Zulmazran, Aaron Kong dan Shafiq Ridhwan. Ianya merupakan pertama kali bagi saya memimpin pasukan yang terdiri dari pemain lelaki sahaja. Keputusan telah dibuat oleh jawatankuasa pengurusan MTBC untuk menghantar jumlah pemain yang perlu menyertai kejohanan pada kali ini.

Apa yang menarik, perjalanan kali menemukan ramai peminat yang bertanya dengan anak-anak buah yang berpakaian baju sang harimau atau lebih kami kenali sebagai tiger shirt. Dari petugas di kaunter check-in di KLIA, penumpang-penumpang, hinggalah ke peramugari yang bertugas di pesawat. Keadaan ini berlaku kerana tidak ramai yang mengenali pemain-pemain lelaki kebangsaan. Tidak seperti pemain wanita, siapa tak kenal Shalin Zulkifli, Siti Safiyah serta Wendy Chai. Pelancong asing juga tidak ketinggalan bertanyakan kepada kami pasukan apakah ini. Ramai yang meneka kami pasukan bolasepak, mungkin kerana kami terdiri dari skuad lelaki sahaja.

Skuad lelaki ini adalah dari skuad elit dan kesemua dari mereka pernah menjuarai kejohanan terbuka antarabangsa. Mereka juga pernah memenangi pingat pada Sukan Sea, Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel.  Kekurangan publisiti mereka diperingkat antarabangsa mungkin membuatkan ramai yang tidak mengenali mereka.

Saya berharap pemain bowling ini mendapat liputan yang meluas pada masa hadapan kerana mereka juga berjuang untuk mengharumkan nama negara. Ada sukan-sukan yang tidak menyerlah, tetapi pemainnya mendapat publisiti yang hangat. Saya juga mencadangkan agar website Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) menyediakan satu halaman untuk pengenalan pemain-pemain bowling negara. Ini akan dapat memberi ruang kepada peminat mengenali pemain-pemain kebangsaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Abu Dhabi, UAE

No comments: