Tuesday, 15 December 2009

Rakan-rakan baru di Doha…

Qatar adalah merupakan sebuah negara kecil di benua Arab serta berjiran dengan Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Bahrain, Kuwait serta Oman. Ia mempunyai penduduk kurang dari 1,000,000.00 orang dan Doha adalah ibu negara bagi Qatar. Qatar yang di bawah pemerintahan Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani adalah merupakan negara yang kaya dengan petrolium dan gas.

Apa yang menarik untuk saya berkongsi pengalaman adalah apabila saya bertemu dengan rakan-rakan kita dari Malaysia yang mencari rezeki di Qatar ini. Malam tadi saya sempat bertemu dengan seorang warga Malaysia yang bernama Zawawi ketika beliau menyaksikan pemain Malaysia beraksi di Qatar Bowling Center. Zawawi ketika ini bertugas dengan Qatar Gas dan tinggal bersama keluarga di sini sejak setahun yang lalu.

Saya masih ingat ketika berada di Doha 3 tahun yang lalu sewaktu temasya Sukan Asia 2006. Ketika itu saya bertemu dengan beberapa orang rakyat Malaysia yang bekerja di Qatar pada majlis meraikan kontinjen Malaysia di Kedutaan Malaysia dan  mereka menyatakan ketika itu rakyat Malaysia yang bekerja di Qatar adalah sekitar 80 ke 100 orang sahaja. Kebanyakkan mereka bekerja dalam sektor petrolium yang mana sebahagian besar adalah bekas kakitangan syarikat petrolium di Malaysia. Mereka yang bekerja di Qatar pertrolium adalah sebaga jurutera, juruteknik serta lain-lain jawatan.

Tetapi pada hari ini, saya difahamkan jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di sini telah meningkat lebih dari sekali ganda dan mereka bekerja dalam pelbagai sektor termasuk gas, perbankan serta lain-lain bidang profesional. Kelmarin juga saya bertemu dengan rakyat Malaysia bernama Razman yang kini bekerja di QTEl, satu-satunya syarikat telekomunikasi di Qatar.

Difahamkan mereka yang berkhidmat di Qatar Gas dan petrolium ini mendapat imbuhan yang tinggi iaitu 3 kali gaji dibandingkan di Malaysia. Ada yang bekerja di bidang perbankan menerima gaji sehingga USD15,000.00(RM50,000.00) sebulan. Apa yang memeranjatkan saya adalah mereka ditawarkan jawatan bertaraf tetap dan bukannya secara kontrak. Sebahagian besar rakyat Malaysia yang bekerja di Syarikat Petrolium dan Gas ini diberikan jawatan bertaraf tetap serta kemudahan-kemudahan lain seperti rumah, air, elektrik dan sebagainya. Sebahagian besar rakyat Malaysia yang bekerja disini adalah dalam kategori professional.

Untuk rekod, Qatar adalah merupakan pengeluar gas yang terbesar dan saya difahamkan reserve atau simpanan gas di perut bumi Qatar boleh bertahan sehingga 200 tahun. Bayangkan betapa bahagianya rakyat mereka yang menikmati hasil kekayaan petrolium dan gas ini.

Saya berasa pelik apabila mendapati ramai rakyat Malaysia yang mencurahkan pengalaman mereka disini serta sanggup meletakkan jawatan di syarikat petrolium di negara sendiri. Mungkin syarikat petrolium di Malaysia hanya membayar gaji yang tinggi kepada ex-patriate yang bekerja secara kontrak. Dalam waktu yang sama rakyat Malaysia yang berhijrah serta diperlukan di Qatar ini, mendapat gaji yang tinggi serta jawatan bertaraf tetap di sini. Tidak hairan jika gaji mereka lebih tinggi dari ex-patriate yang bekerja di Malaysia. Saya berpandangan sekiranya mereka mendapat imbuhan yang tinggi di Malaysia, kemungkinan mereka akan kekal dan tidak berhijrah. Bak kata orang hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. 

Suka saya menceritakan bahawa Qatar juga berkembang pesat seperti Dubai tetapi mereka tidak bergantung kepada sektor pelancongan. Ketika ini kerajaan menumpukan kepada aktiviti pendidikan serta membangunkan sukan. Walaupun Qatar tewas dalam pengundian untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, kini mereka bekerja keras untuk melobi menjadi penganjur Bolasepak Piala Dunia. Mereka mempunyai kemudahan sukan yang bertaraf antarabangsa serta sedia menganjurkan pelbagai acara.

Saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia disini yang banyak membantu kami dan hampir kesemua yang ditemui amat mudah untuk didekati. Secara tidak langsung dapat menambahkan bilangan rakan-rakan. Mungkin kerana saya serta pasukan sentiasa memakai pakaian rasmi pasukan iatu pakaian harimau(tiger shirt) serta nama Malaysia yang terpampang besar dibahagian belakang baju. Saya mendokan supaya mereka terus berjaya disini serta menimba banyak pengalaman-pengalaman baru yang boleh dibawa pulang ke Malaysia satu hari nanti. Rakyat Malaysia mendapat reputasi baik serta dihormati disini dan semoga ianya terus dihormati.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Doha, Qatar.

1 comment:

sina.harun said...

Input yang bernas dan bermenafaat dan hasil tulisan yang baik. Teruskan menulis dan berkongsi pengalaman yang didapati di sana. Adakah terbuka hati anda untuk berhijrah ke sana?