Friday, 25 December 2009

Salur berdasarkan prestasi

Setiap persatuan sukan kebangsaan menerima bantuan kewangan setiap tahun dan difahamkan bantuan ini akan dikurangkan beberapa peratus pada tahun hadapan memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak sihat serta langkah berjimat cermat kerajaan berbelanja.

Kenyataan Dato Zolkples Embong bahawa peruntukan kewangan tahunan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan dikurangkan ekoran kegagalan pasukan sepaktakraw Malaysia pada Sukan Sea di Laos minggu lalu mengundang pelbagai reaksi dari peminat-peminat sukan.

Saya amat tertarik dengan cadangan ini kerana wang yang disalurkan kepada badan-badan sukan kebangsaan adalah wang rakyat yang di kutip dari dari cukai-cukai seperti cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan sebagainya. Wang yang disalurkan perlu digunakan dengan sebaik-baiknya kerana rakyat sebagai pembayar cukai perlu tahu kemana wang tersebut disalurkan dan memastikan ianya disalurkan dengan betul.

Badan-badan sukan kebangsaan memperolehi pendapatan atau geran tahunan melalui Majlis Sukan Negara(MSN) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukan di semua peringkat. Ada badan-badan sukan yang mendapat tajaan dari syarikat korporat bagi menampung kos serta menjalankan aktiviti kerana geran yang diperolehi dari MSN adalah terhad.

Cadangan supaya geran atau peruntukan kewangan kepada persatuan sukan berdasarkan prestasi perlu dilihat secara positif kerana langkah tersebut dapat memastikan kejayaan sukan di negara ini. Persatuan sukan perlu membuktikan serta bekerja keras bagi memastikan sukan sebut berjaya ke peringkat antarabangsa serta mendapat pengiktirafan. Dengan cara ini mereka bukan sahaja mendapat kepercayaan dari MSN yang akan sanggup memberi bantuan tanpa ragu-ragu, malah mendapat kepercayaan dari syarikat swasta yang sanggup menaja persatuan sukan tersebut. Sebagai contohnya, sukan squash mendapat penajaan dari CIMB, sukan tenpin bowling ditaja oleh Canon, sukan badminton ditaja oleh Proton serta beberapa sukan yang lain yang berjaya mendapat endorsement dari syarikat swasta.

Rakyat selaku pembayar cukai serta media akan mengecam jika sesuatu sukan itu gagal mencapai tahap yang diharapkan. Saya berasa hairan mengapa apabila pasukan bolasepak kita gagal dalam sesuatu kejohanan, mereka dikecam dengan hebat. Tetapi apabila pasukan lain seperti sepak takraw, olahraga dan sebagainya gagal di peringkat antarabangsa, mereka tidak dikecam sehebat bolasepak. Sememangnya diketahui bahawa bolasepak merupakan sukan nombor satu negara, tetapi pulangan dari sukan yang lain adalah sama kerana mereka juga mendapat peruntukan dari sumber yang sama. Namun bola sepak bernasib baik kerana berjaya membuktikan kepada negara dengan membawa pulang pingat emas.

Secara kesimpulannya, cadangan oleh Ketua Pengarah MSN itu perlu dilihat dari sudut yang lebih luas demi membangunkan sukan negara. Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk membangunkan sukan negara dan rakyat ingin melihat pulangannya dengan memberikan kejayaan yang membanggakan. Hanya beberapa sukan sahaja yang telah membuktikan dengan melakarkan kejayaan-kejayaan. Mereka ini perlu dibantu lagi agar pulangan yang lebih besar serta berjaya keperingkat dunia serta mengharumkan nama Malaysia. Sekiranya mereka inginkan bantuan yang lebih besar, maka mereka perlu membuktikan dahulu pencapaiannya. Dengan keputusan yang cemerlang, rakyat Malaysia akan berkongsi kegembiraan kerana wang yang dibelanjakan tidak dipersia-siakan.

Mohd Hisham Mohd Nor.




No comments: