Saturday, 26 December 2009

Sekolah Bolasepak

Di Malaysia, se-ingatan saya belum ada lagi Sekolah Bolasepak yang mengkhususkan sukan bolasepak. Pada ketika ini, kita mempunyai sekolah sukan di Bukit Jalil dan Bandar Penawar di Johor. Sekolah-sekolah tersebut tidak mengkhususkan sukan-sukan tertentu tetapi ianya meliputi hampir kesemua sukan di Malaysia.

Saya tertarik dengan cadangan Dato Wira Syed Ali Al-Habshee, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras supaya kerajaan membuat pelaburan jangka panjang dengan mewujudkan sekolah bolasepak diluar negara. Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan memilih 20-30 pelajar yang berbakat dan berusia 12 tahun menyertai sekolah ini.

Mewujudkan sekolah bolasepak di luar negara memerlukan belanja yang sangat besar dari segi kemudahan padang, gymnasium, tempat tinggal, persekolahan pelatih, pengangkutan, jurulatih serta banyak lagi logistik serta keperluan yang perlu dipertimbangkan.

Disamping belanja yang besar, kerajaan pula perlu menanggung kos pengaliran wang keluar negara dan sudah pasti kosnya akan mencecah jutaan ringgit dan sudah tentu ianya tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Saya berpandangan sekolah sukan sememangnya perlu diwujudkan untuk tujuan pembangunan bolasepak negara. Ianya memadai jika diwujudkan dalam negara kerana kita boleh mendapatkan sebidang tanah yang sesuai untuk dijadikan kompleks sekolah bolasepak. Kosnya pula mungkin tidak sebesar kos dilaksanakan diluar negara.

Persatuan-persatuan sukan bolasepak di setiap negeri juga boleh mewujudkan sekolah bolasepak negeri dan kerajaan negeri disarankan agar membantu sekolah bolasepak ini. Oleh itu usaha ini sepatutnya tidak dibebankan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) sahaja. Banyak pihak yang perlu terlibat jika benar-benar serius untuk melaksanakan sekolah bolasepak ini.

FAM dan persatuan bolasepak negeri perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan serta agensi-agensi berkaitan agar ianya dapat direalisasikan. Begitu juga dengan syarikat korporat yang berminat dapat sama-sama menjayakan program sekolah sukan ini.

Satu kurikulum yang khusus juga perlu dirangka dan ianya fleksibal serta dapat disesuaikan dengan latihan bolasepak. Jurulatih atau Pengarah Teknikal yang terlatih atau mempunyai kebolehan atau pengalaman yang luas perlu dilantik bagi menjamin prestasi dan kualiti pemain. Sekolah bolasepak juga perlu menjadualkan perlawanan bolasepak bagi memberi pendedahan kepada mereka dan jika perlu, mereka diberi pendedahan untuk perlawanan persahabatan dengan negara-negara ASEAN sebagai permulaan.

Aspek disiplin perlu ditekankan kerana pada usia yang muda, mereka perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni serta disiplin diri yang tinggi sebagai seorang atlet. Latihan fizikal yang agresif serta sistem pemakanan yang betul juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pemain-pemain ini benar-benar cergas. Saya masih ingat pada satu ketika, pernah disiarkan dalam akhbar bahawa pemain bolasepak negara tidak mencapai tahap kecergasan yang diperlukan. Keadaan ini mungkin dapat diatasi sekiranya modul yang komprehensif serta menyeluruh dapat diwujudkan dalam sekolah bolasepak.

Pemain-pemain yang mengikuti sekolah bolasepak perlu dinilai pada setiap bulan supaya memastikan adanya peningkatan dikalangan mereka. Saya tertarik melihat sistem latihan diluar negara kerana mereka mempunyai sistem yang teratur terutama sekali dalam pengumpulan data-data prestasi pemain. Dengan adanya sistem yang teratur dalam pengambilan data prestasi pemain maka ianya dapat dijadikan panduan pemilihan untuk pemain menyertai skuad kesebelasan utama.

Secara keseluruhannya, saya berpandangan sekolah bolasepak ini adalah baik serta mampu meningkatkan tahap serta mutu bolasepak di negara kita sekiranya ia dilaksanakan dengan teratur serta menyeluruh. Sekolah bolasepak tersebut memadai jika ia diwujudkan dalam negara sahaja kerana kita mempunyai pelbagai infrastruktur serta kemudahan. Pemain boleh dihantar keluar negara untuk sesuatu tempoh bagi mendapatkan pendedahan. Sistem latihan memainkan peranan yang penting disamping disiplin pemain itu sendiri.

Kita lihat bagaimana Vietnam boleh bangkit serta maju dalam bolasepak dikalangan negara ASEAN. Sistem latihan yang dibawa oleh jurulatih dari luar negara serta disiplin pemain telah membawa mereka ke puncak kejayaan. Oleh itu ianya tidak mustahil dapat dilakukan oleh pemain-pemain kita jika dibentuk pada usia yang muda.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: