Tuesday, 29 December 2009

Terima kasih Y.B Menteri

Catatan saya kelmarin memberi pandangan berhubung dengan cukai rokok yang dicadangkan untuk disalurkan kepada sukan bolasepak. Persoalannya mengapa sukan bolasepak yang mendapat manfaat dan bagaimana dengan sukan-sukan yang lain. Mereka juga berhak dan ada diantaranya telah mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berjanji akan menggunakan dana Tabung Pembangunan Bolesepak yang diperoleh daripada cukai rokok untuk disalurkan ke sukan lain, terutama yang berpotensi untuk menyerlah serta aktiviti belia.

Saya amat menyambut baik dan percaya kerajaan juga adil serta perihatin dengan sukan-sukan lain. Sukan tenpin bowling misalannya telah banyak mengharumkan negara terutama di kejohanan di peringkat dunia. Dana yang disalurkan tidaklah semewah sukan-sukan yang lain dan tenpin bowling masih mampu menggegarkan dunia dengan kejayaan-kejayaan diperingkat dunia. Disamping itu skuad tenpin bowling masih menggunakan khidmat jurulatih tempatan dan bukan jurulatih import seperti sukan yang lain. Semoga dana yang bakal diberi ini akan dapat membangunkan lagi sukan bowling.

Dana yang disalurkan nanti diharap akan dapat digunakan untuk tujuan pembangunan. Program Sukan Teras yang pernah diasaskan oleh Y.B Dato Azalina (Menteri Belia dan Sukan ketika itu) adalah satu program yang baik. Malangnya ia tidak diteruskan kerana beberapa masalah yang tidak dapat saya pastikan. Program mencungkil bakat di peringkat akar umbi itu perlu kerana ianya dapat memastikan kesinanbungan kejayaan sukan tersebut.

Melalui program Sukan Teras, Pelatih-pelatih yang berusia 12 tahun ke bawah diberi latihan 3 kali seminggu untuk tempoh 10 bulan dalam setahun. Mereka ini dilatih oleh jurulatih yang bertauliah serta diiktirafkan oleh Majlis Sukan Negara dan Badan Induk Sukan Kebangsaan. Program yang tersusun sebegini akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bertaraf dunia pada satu hari nanti.

Syabas sekali lagi kepada Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan atas keperihatinan beliau terhadap sukan lain yang memerlukan bantuan. Semoga dana yang disalurkan nanti akan digunakan sebaik-baiknya untuk kemajuan atlet-atlet tanahair.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: