Sunday, 27 December 2009

Universiti Sukan

Kelmarin saya memberi pandangan berhubung dengan Sekolah Bolasepak dan hari ini saya terpanggil untuk membincangkan atau memberi pandangan tentang Universiti Sukan.

Cadangan mewujudkan Universiti sukan ini telah dibangkitkan sewaktu Konvensyen Sukan Kebangsaan 2008 lagi. Namun sewaktu Konvensyen Sukan Kebangsaan beberapa hari yang lalu, Kementeraian Pengajian Tinggi telah menolak cadangan tersebut. Sebaliknya kementerian menggangap penubuhan lebih banyak fakulti sukan di 10 universiti sedia ada sudah cukup untuk memenuhi keperluan negara.

Kita perlu melihat objektif penubuhan sesebuah universiti tersebut. Sebagai contohnya, mengapa universiti tentera atau Universiti Pertahanan Nasional Malaysia diwujudkan atau mengapa universiti multimedia diwujudkan, begitu juga dengan universiti yang lain mengkhususkan bidang-bidang tertentu.

Sekiranya penubuhan Sekolah Sukan adalah untuk menghasilkan atlet berpotensi serta bertaraf dunia, begitu juga dengan Universiti Sukan. Keadaan ini memerlukan satu kesinambungan di mana pelajar-pelajar yang berjaya atau cemerlang di Sekolah Sukan akan melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Sukan. Modul atau kurikulumnya pula ditambahbaik atau dipertingkatkan sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah universiti.

Universiti Sukan ini perlu kerana ianya dapat melahirkan para atlet yang berpendidikan tinggi serta berpengetahuan. Ianya dapat menyatukan semua atlet-atlet dalam pelbagai bidang dibawah satu bumbung dan mereka ini dapat bertukar pandangan demi untuk memajukan sukan negara.

Difahamkan Kementerian Pengajian Tinggi mengkhusus sukan-sukan tertentu di setiap universiti di Malaysia. Universiti Malaysia misalannya akan di jadikan pusat untuk sukan bola jaring, Universiti Putra sukan ragbi, UUM sukan golf, Universiti Teknologi Malaysia sukan bolasepak, Universiti Malaysia Sabah sukan Taekwando, Universiti Sains Malaysia sukan renang dan beberapa sukan lagi di beberapa buah universiti.

Keadaan sebegini tidak dapat memusatkan kesemua sukan ini dibawah satu pengurusan.  Sekiranya Universiti Sukan diwujudkan, ianya dapat memantau prestasi atlet dalam pendidikan dan juga sukan. Program-program motivasi atau brainstroming di kalangan semua atlet dalam pelbagai sukan dapat diadakan. Seperti yang saya cadangkan tadi, mereka dapat bertukar pandangan sesama atlet demi untuk memajukan sukan negara. Atlet di peringkat universiti mempunyai idea serta pandangan yang luas sebagai mahasisawa dan sudah pastinya idea mereka ini akan dapat membantu membangunkan sukan negara.

Modul latihan juga boleh dirangka bagi memenuhi jadual pertandingan atlet untuk mewakili negeri atau negara agar jadual pembelajaran mereka tidak terjejas. Keseragaman modul pembelajaran juga penting kerana setiap universiti mempunyai dasar atau polisi yang tersendiri. Oleh itu, mereka di universiti yang tertentu mungkin mendapat pembelajaran yang berbeza.

Kesimpulannya disini, Universiti sukan dapat memainkan peranan yang penting untuk pembangunan sukan negara. Banyak kajian-kajian yang khusus dalam bidang sukan dapat dilakukan dan hasil dari kajian dan penyelidikan tersebut akan dapat memberi impak kepada mutu sukan negara. Keadaan ini terbukti dinegara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang mewujudkan Universiti Sukan dan hasilnya begitu memberangsangkan. Kita tidak boleh bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN) sahaja kerana kedua-dua badan ini mempunyai skop yang luas dalam bidang sukan. Dalam konteks ini kajian yang dijalankan di peringkat universiti adalah penting sekali dan saya percaya ianya akan memberi kesan yang begitu signifikan. Insyaallah saya akan memberi pandangan berhubung kajian-kajian sukan serta kesan terhadap mutu pencapaian atlet.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: