Monday, 4 January 2010

Hari Tanpa Bag Plastik

Setiap hari apabila kita membeli barang di kedai runcit atau pun di pasaraya, pembeli akan diberi bag plastik untuk diisi barang yang telah dibeli. Setiap hari juga bag plastik bertebaran di merata tempat apabila ianya tidak digunakan lagi. Keadaan ini boleh mengundang kepada pencemaran alam sekitar. Tambah buruk apabila bag plastik itu tadi dibuang kedalam sungai. Ianya akan menyebabkan hidupan seperti ikan tersangkut dan mati di dalamnya. Banyak kesan negatif yang terdapat pada bag plastik ini dan ada kajian membuktikan ianya boleh mengundang pelbagai penyakit kepada manusia.

Beberapa negara maju di dunia telah mengharamkan penggunaan bag plastik sebagai langkah untuk memelihara alam sekitar. China dan Amerika Syarikat merupakan negara yang telah mengharamkan penggunaan bag plastik dan pengguna dikehendaki membawa bag sendiri ke kedai atau pasaraya kerana mereka tidak dibekalkan plastik. Sebaliknya mereka terpaksa membayar sejumlah wang sekiranya ingin dibekalkan plastik.

Saya menyambut baik langkah kerajaan negeri Selangor yang melancarkan ‘Hari Tanpa Bag Plastik’ bermula 1 Januari 2010 untuk tempoh enam bulan. Difahamkan kempen ini mendapat sambutan dari peruncit-peruncit utama di Selangor. Apa tidaknya, situasi ini dapat mengurangkan kos operasi syarikat apabila tidak membekalkan bag plastik kepada pengguna.

Petang tadi saya terlihat notis pada sebuah gedung membeli belah di Selangor, yang tercatat mulai 9 Januari 2010 dan setiap hari Sabtu yang berikutnya, pembeli tidak akan dibekalkan dengan bag plastik. Sebaliknya pembeli akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen sekiranya memerlukan bag plastik. Pembeli-pembeli digalakkan membawa bag ketika membeli belah di pasaraya berkenaan. Ini bagi mendidik pengguna tentang kepentingan untuk mengurangkan penggunaan bag plastik.

Saya masih tertanya-tanya, di peringkat Kementerian Alam Sekitar atau lebih tepatnya kerajaan pusat, bilakah kempen yang agresif hendak dilaksanakan. Walaupun kempen ini dianggap kecil, tetapi ianya mampu memberi kesan yang positif di masa akan datang.

Disamping itu, sebagai pengguna kita juga perlu lebih bertanggungjawab serta bergerak setapak kehadapan untuk melaksanakan kempen ini dan tidak perlu menunggu kerajaan melancarkan kempen kesedaran baru memulakannya.

Kerjasama dari semua pihak akan dapat memastikan kempen ini berjaya dilaksanakan. Kita nantikan bersama selepas enam bulan nanti, apakah kesan yang diperolehi oleh kerajaan negeri Selangor selepas kempen ini dilaksanakan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: