Sunday, 31 January 2010

Jurulatih Asing

Saya begitu tertarik dengan catatan atau pandangan Saudara Mirnawan Nawawi, bekas pemain hoki kebangsaan yang menggesa agar Persatuan Hoki Malaysia (PHM) mengambil jurulatih dari luar untuk membimbing skuad kebangsaan.

Sejauhmanakah peranan jurulatih asing dalam membimbing skuad kebangsaan membawa kejayaan? Isu ini begitu subjektif dan ianya sering ditimbulkan apabila sesebuah pasukan yang dibimbing oleh jurulatih asing itu gagal mempamerkan persembahan yang menarik dan gagal dalam sesuatu kejohanan.

Secara peribadi, saya berpandangan jurulatih asing ini perlu bagi sesebuah pasukan yang mempunyai wawasan atau halatuju yang jauh dalam mencapai kejayaan. Seseorang jurulatih yang diambil pula perlulah mempunyai kepakaran yang tertentu dan ianya tidak dimiliki oleh jurulatih tempatan. Selain dari itu, pengalaman membimbing pasukan lain hingga membawa kejayaan juga menjadi kayu pengukur dalam menentukan jurulatih. Sebagai contohnya, jurulatih yang dicadangkan oleh Saudara Minarwan iaitu Roelant Oltmans dari Belanda mempunyai pengalaman membimbing skuad hoki Belanda menjuarai Piala Dunia 1998 serta pingat emas di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Dalam sukan tenpin bowling misalannya, terdapat beberapa jurulatih tempatan tidak bersetuju dengan kehadiran jurulatih dari luar. Alasan yang diberi adalah jurulatih dari luar tidak memberi tumpuan sepenuhnya dan kehadiran mereka lebih kepada memasarkan diri mereka kepada negara-negara lain. Jelas mereka lagi, apabila pasukan kalah, pemain sering dipersalahkan dan jurulatih itu betul tindakannya.

Pada hakikatnya kehadiran beberapa jurulatih luar telah memberi banyak kejayaan kepada pasukan negara. Sebagai contohnya, Sid Allen yang menjadi jurulatih pasukan bowling negara pada tahun 1990an telah banyak melahirkan bintang-bintang dunia seperti Shalin Zulkifli, Alex Liew, Zulmazran serta beberapa pemain lain. Walaupun kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi, hasilnya begitu berbaloi.

Begitu juga dengan Bill Rowe, merupakan pakar dalam bola bowling telah bersama pasukan kebangsaan dalam beberapa siri kejohanan penting seperti World Mens Championship di Korea serta Sukan Asia di Doha. Dalam bidang kejurulatihan juga, tidak ketinggalan bagi saya menyebut Joe Slowinski yang berada di Malaysia selama 2 tahun untuk merangka program pembangunan bowling serta melatih lebih 100 orang jurulatih di Malaysia. Saya merupakan salah seorang yang dapat memanafaatkan dari pengalaman yang beliau miliki.

Jurulatih asing terutama dari barat ini mempunyai kepakaran yang tertentu dalam sukan yang berkaitan. Saya mengatakan begitu kerana hasil dari pandangan serta kajian yang dilakukan, jurulatih dari luar ini banyak melakukan study serta kajian dalam melaksanakan tugas jurulatih. Mereka mempunyai perancangan serta program yang tersusun dalam membentuk pasukan yang mantap. Disamping itu pengambilan data sering dilakukan bagi memantu prestasi para pemain atau pelatih.

Perkara ini tidak begitu kelihatan dikalangan jurulatih tempatan terutama di peringkat negeri atau bawahan. Ada yang saya perhatikan, jurulatih datang melatih dan pulang tanpa mengambil data pemain dan sebagainya.

Oleh itu saya berpandangan pengambilan jurulatih yang berpengalaman adalah penting kerana mereka ini mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa serta pernah mengecapi kejayaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: