Monday, 1 February 2010

Selamat Hari Wilayah Persekutuan

Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meraikan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2010. Sambutan ini diadakan pada setiap tahun bagi memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan pada ketika itu hanya merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkembang dengan pesat dan maju dari pelbagai sudut. Saya melihat dari sudut sukan serta pencapaiannya dan dalam tempoh 36 tahun, banyak kejayaan di gapai dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Sukan Bowling Wilayah Persekutuan tidak ketinggalan dalam usaha memajukan sukan bowling di Wilayah Persekutuan. Sepanjang tempoh saya memegang jawatan Setiausaha Kehormat, Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2004, memperlihatkan banyak kemajuan yang dicapai di peringkat kebangsaan.

Ramai pemain-pemain dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diserapkan ke dalam skuad remaja kebangsaan dan ada di antaranya menempatkan diri di dalam skuad elit kebangsaan. Penyertaan mereka diperingkat kebangsaan menyaksikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak pernah sepi berada di podium dalam setiap acara yang disertainya.

Kini pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempersiapkan diri untuk berdepan dengan temasya terbesar negara iaitu Sukan Malaysia atau SUKMA 2010 yang akan berlangsung di Melaka pada bulan Mei nanti. Pada Sukma 2008 di Terengganu, pasukan tenpin bowling Wilayah Persekutuan berjaya mendapat 2 pingat emas, 3 perak. Sudah pasti harapan yang menggunung disandarkan kepada kepada pemain-pemain yang bakal beraksi nanti.

Harapan serta azam saya pada Hari Wilayah Persekutuan adalah untuk memastikan lebih ramai pemain-pemain remaja atau pelapis berjaya di peringkat kebangsaan dan seterus mewakili negara. Semoga usaha yang berterusan oleh barisan kepimpinan Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan ini akan melahirkan lebih ramai bintang-bintang sukan bowling. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: