Sunday, 30 May 2010

Mengurang dan memansuhkan subsidi. Kesan kepada rakyat.

Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Datuk Seri Idris Jala telah mengemukakan beberapa cadangan agar subsidi yang dinikmati oleh rakyat sejak  sekian lama  dikurangkan dan dimansuhkan untuk beberapa barangan dan perkhidmatan yang tertentu.

Cadangan ini di sambut baik oleh sesetengah pihak dan tidak kurang juga yang membantah cadangan tersebut kerana ianya akan membebankan rakyat.

Secara peribadi, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya rakyat di negara ini tidak bergantung sepenuhnya kepada subsidi. Subsidi tidak baik untuk ekonomi negara bagi jangka panjang dan negara tidak dapat bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global.

Amalan subsidi di negara ini bukannya di nikmati oleh golongan miskin malah yang kaya juga turut menikmatinya dan yang paling ‘menyakitkan’ adalah apabila rakyat asing atau rakyat negara jiran juga turut dapat ‘menjamah’ subsidi yang sepatutnya dinikmati hanya kepada rakyat Malaysia. Subsidi adalah wang rakyat dan pada ketika ini kaya dan miskin dapat menikmati secara bersama.

Cadangan memberikan diskaun dan rebet kepada golongan yang sewajarnya perlu disambut baik dan ianya dapat disalurkan dengan tepat. Keadaan ini dapat menyekat subsidi diberikan kepada golongan yang tidak sepatutnya seperti warganegara asing. Rakyat dikampung-kampung perlu diberi keutamaan dalam pemberian diskaun dan rebet.

Harga barang dikawasan luar bandar masih di paras yang rendah dan apabila saya ke Kuala Perlis, agak terkejut apabila sebotol air drinking water 500ml yang dibeli dari kedai runcit berharga 50 sen. Begitu juga makan di warong kedai kopi dan sebagainya. Sekiranya rebet dan diskaun yang dicadangkan sampai ke golongan sasar, maka ianya dapat mencapai matlamat kerajaan.

Rakyat juga perlu melakukan perubahan atau transformasi kerana usaha secara bersama perlu dilakukan seiring dengan inisiatif kerajaan. Kerjasama Ini akan dapat mempercepatkan misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Sekiranya kerajaan berusaha melakukan transformasi tanpa sokongan serta usaha dari rakyat sendiri maka hasrat tersebut tidak akan tercapai.

Golongan yang berkemampuan perlu mengubah cara hidup dengan kehidupan tanpa subsidi. Sebagai contohnya jika harga gula menjadi mahal apabila subsidi ditarik atau dikurangkan maka kurangkan pengambilan gula kerana ia baik untuk kesihatan. Sekiranya tarif elektrik dan air dinaikkan maka berjimat dalam penggunaan seharian kerana kajian yang buat mendapati rakyat banyak melakukan pembaziran.

Saya percaya setiap rakyat mampu melakukan perubahan kerana yang perit itu hanya seketika sahaja dan mereka pasti mampu menyesuaikan keadaan dalam waktu yang terdekat. Sebagai contohnya apabila harga minyak dinaikkan secara mendadak pada tahun 2008, ramai yang menggunakan perkhidmatan LRT atau pengangkutan awam yang lain untuk ke pejabat dan penggunaan pengangkutan ini telah meningkat di waktu puncak. Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat mampu melakukan perubahan dalam satu jangka waktu.

Apabila subsidi dimansuh atau dikurangkan, kerajaan dapat menyusun semula struktur kewangan dan sekaligus ianya dapat meningkatkan pendapatan negara serta mengurangkan defisit. Banyak pembangunan dapat dijalankan seperti pembinaan sekolah, hospital serta pengangkutan awam yang cekap untuk kemakmuran rakyat.

Namun, semuanya hanya cadangan dan kerajaan sedia menerima pandangan dari rakyat sebelum melaksanakan cadangan ini dan di harap agar rakyat dapat menilai kesan jangka panjang kepada negara sebelum membuat sesuatu keputusan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 29 May 2010

Berita Harian Online | Krisis kewangan Greece patut jadi teladan elak negara muflis

Berita Harian Online | Krisis kewangan Greece patut jadi teladan elak negara muflis

Pasukan Pilihan - Brazil

Pasukan Brazil merupakan pasukan pilihan saya sejak Piala Dunia 1982 di Sepanyol. Ketika itu bintang-bintang terkemuka Brazil seperti Zico, Socrates, Oscar, Serginho, Falcao serta beberapa yang lain beraksi di Piala Dunia di Sepanyol.

Bintang-bintang yang sezaman dari pasukan lain seperti Paolo Rossi dari Itali yang menjadi penjaring gol terbanyak, Kevin Keegan, Glenn Hoddle dan Trevor Francis dari England, Harald Schmacher dan Karl Heinz Rummenigge dari Jerman Barat serta Diego Maradona dari Argentina telah mewarnai suasana meriah pada kejohanan Piala Dunia ketika itu.

Lagenda Pele juga menarik perhatian kepada pasukan ini kerana keajaiban yang ditunjukkan sehingga menjadi ikon bolasepak dunia hingga ke hari ini.

Pasukan Brazil merupakan negara yang terawal yang tiba Afrika Selatan bersama pasukan Australia dalam menghadapi cabaran Piala Dunia kali ini dan merupakan satu-satunya pasukan yang memburu kejuaraan ke-6 dalam edisi Piala Dunia ini. Pasukan Brazil pernah memenangi Piala Dunia sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1958, 1962 dan 1970,  telah membawa pulang terus Piala Jules Rimet dan di gantikan dengan Piala Dunia sekarang ini.

Hanya Brazil pasukan tunggal yang memenangi Piala Dunia sebanyak 5 kali diikuti Itali sebanyak 4 kali dan Jerman sebanyak 3 kali manakala Uruguay dan Argentina masing-masing 2 kali. England dan Perancis pula masing-masing pernah memenangi sekali Piala Dunia ini.

Walaupun kita tunggu dan lihat perkembangan Piala Dunia selama 1 bulan dan harapan agar Brazil dapat merangkul kejuaraan buat kali ke-6.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 28 May 2010

Selamat Hari Wesak

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua rakan-rakan yang menganut agama Budha di seluruh Malaysia. Semoga perayaan ini disambut dengan kegembiraan bersama keluarga yang disayangi.

Sambutan ini juga diharapkan akan memupuk semangat 1 Malaysia dikalangan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 24 May 2010

Sukan Kewangan 2010

Sekali lagi sukan kewangan mengamit kenangan sewaktu saya menguruskan pasukan JKDM pada tahun 2002 hingga 2004. Pemilihan pemain akan diadakan pada 29 Mei ini di Ampang Superbowl, Summit USJ.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Saudara Nadzri Che Ani yang sekali lagi dipertanggungjawabkan menjadi pengurus pasukan JKDM. Walaupun beliau meminta saya untuk meluangkan masa untuk melatih pasukan wanita, kekangan masa tidak mengizinkan saya untuk menyumbang tenaga bagi memperkuatkan barisan pemain wanita JKDM.

Untuk makluman , saya terpaksa memberi komitmen untuk Kejohanan Asian School Tenpin Bowling Championships 2010 yang akan berlangsung pada 5-12 Julai nanti. Komitmen awal telah diberi sejak bulan Mac lagi dan telah diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Kejohanan. Disamping itu tugas hakiki yang padat hanya membenarkan saya untuk aktif dalam kejohanan yang tertentu sahaja.

Disamping itu juga saya akan bersama pasukan tenpin bowling Wilayah Persekutuan pada temasya Sukma 2010 di Melaka pada bulan Jun nanti.

Walau apa sekalipun, saya mendoakan pasukan JKDM bermain dengan lebih cemerlang pada temasya Sukan Kewangan kali ini dan bagi pasukan bowling, tempat kedua adalah kedudukan yang terbaik setakat ini. Harapan untuk melihat pasukan JKDM melompat ke tempat yang pertama adalah tinggi dan saya mendoakan kejayaan memihak kepada pasukan JKDM.

Sekali lagi, pemain yang terpilih pada sabtu ini akan bekerja dengan lebih gigih lagi agar sejarah tercipta buat kali pertamanya.

Mohd Hisham Mohd Nor

Sunday, 23 May 2010

12th Asian School Tenpin Bowling Championship 2010

Buat julung kalinya Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan 12th Asian School Tenpin Bowling pada 5 hingga 12 Julai 2010 bertempat di Mega Lanes, Endah Parade, Seri Petaling Kuala Lumpur.

Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur(KLTBA) telah diberi kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf Asia ini. Pada tahun lepas kejohanan ini telah dihoskan oleh Hong Kong dan tahun ini giliran Malaysia untuk menjadi penganjur dan KLTBA akan memikul tanggungjawab ini serta memastikan persiapan berjalan dengan lancar.

Pada jumaat malam kelmarin, mesyuarat jawatankuasa penganjur telah diadakan di Bangsar dan ianya dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Noor bin Abdul Rahim selaku Presiden KLTBA merangkap Timbalan Presiden Kongres Tenpin Bowling Malaysia(MTBC).

Saya selaku Setiausaha Kehormat KLTBA telah dilantik sebagai Setiausaha Kejohanan dan akan memikul tugasan yang berat bagi memastikan seluruh jentera pengurusan kejohanan berjalan dengan lancar. Kejohanan ini mendapat kerjasama dari Kongres Tenpin Bowling Malaysia dari aspek teknikal.

Sebanyak 10 negara termasuk Malaysia telah mengesahkan penyertaan yang melibatkan 30 buah pasukan dan ianya merupakan penyertaan yang terbesar sejak tahun 2000. Negara yang menyertai adalah Australia, Kuwait, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Setiap pasukan terdiri dari 2 pemain lelaki dan 2 pemain perempuan(Boys & Girls). Kelayakan had umur adalah maksimum 18 tahun dan mestilah seorang pelajar yang masih bersekolah atau di pusat pengajian.

Moga-moga penganjuran dapat dijalankan dengan baik serta mendapat kerjasama dari agensi-agensi yang berkaitan. Insyaallah saya akan menyebarkan lebih banyak maklumat berhubung dengan kejohanan ini dari masa ke semasa.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 16 May 2010

Demam Piala Dunia 2010

image

Piala Dunia 2010 semakin hampir dan tinggal 26 hari saja lagi temasya sukan bolasepak ini akan diadakan pada 9 Jun hingga 9 Julai 2010 di Afrika Selatan. Kejohanan 4 tahun sekali ini sememangnya dinantikan oleh peminat bolasepak dunia dan peminat-peminat bolasepak di Malaysia juga tidak ketinggalan menanti kehadiran Piala Dunia ini.

Kejohanan kali ini menyaksikan 32 pasukan akan bertanding yang dibahagikan kepada 8 kumpulan. Perlawanan pembukaan adalah pada 9 Jun 2010, iaitu Afrika Selatan menentang Mexico pada jam 5.00 petang(waktu tempatan). Perlawanan pembukaan ini akan berlangsung di Soccer City Stadium yang boleh menampung sehingga 90,000 penonton.

Demam Piala Dunia ini akan dirasai di Malaysia dan sudah pasti restoran-restoran mamak akan menjadi markas peminat-peminat bolasepak berkumpul bersama rakan-rakan untuk menyaksikan perlawanan yang bakal berlangsung kelak.

Situasi yang membimbangkan adalah kepada mereka yang bekerja kerana siaran langsung bakal ke udara tengah malam dan ini akan menjejaskan produktiviti dalam tempoh sebulan. Sudah pasti ada yang mengantuk untuk ke pejabat dan mungkin ada yang tertidur ketika mesyuarat dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan apabila tidak boleh bangun keesokan harinya. Saya punyai rakan yang sanggup cuti selama 1 bulan untuk menyaksikan Piala Dunia dan beliau menyaksikan kesemua perlawanan yang berlangsung. Sememangnya percutian beliau itu berbaloi dan ianya tidak menggangu tugas di pejabat.

Gejala tidak sihat seperti pertaruhan haram juga mengundang pelbagai implikasi kepada masyarakat dan peminjam wang haram pula akan mengambil kesempatan dalam kesempitan mereka yang memerlukan dana untuk ‘pelaburan’ judi ini.

Semoga peminat bolasepak tanahair bijak dalam menangani isu-isu seperti dibangkitkan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 14 May 2010

Selamat Hari Guru 2010

“Guru Pembina Negara Bangsa” merupakan tema Hari Guru tahun 2010. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh negara serta guru-guru yang pernah membimbing saya samada masih berkhidmat atau telah bersara.

Peranan Guru amat besar dalam membimbing pelajar serta membentuk mereka menjadi warga dan bangsa yang berguna. Selari dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa”, peranan guru juga begitu penting dalam pembinaan perpaduan dan integriti.

Guru merupakan pendidik di peringkat asas dan mereka ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mendidik pelajar di peringkat sekolah rendah agar bangsa yang berakhlak tinggi dan mulia dapat di lahirkan.

Semoga Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini, akan menjadi penyuntik semangat kepada Guru-guru untuk terus memberi sumbangan sebagai pendidik kepada bangsa dan negara.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 9 May 2010

Thomas & Uber Cup Finals 2010

Perlawanan akhir Proton-BWF, Thomas & Uber Cup 2010 akan berlangsung pada hari ini. Kejohanan ini berlangsung selama seminggu iaitu dari 9 hingga 16 Mei 2010. Malaysia menjadi tuanrumah untuk kejohanan pada kali ini dan sudah pasti ianya menjadi impian pasukan negara untuk merampas Piala Thomas yang menjadi gengaman pasukan China.

Sejak Piala Thomas diperkenalkan pada tahun 1948, hanya 3 buah negara iaitu China, Indonesia dan Malaysia pernah menjuarai piala yang berprestij itu. Pasukan China telah menggengam Piala Thomas sejak tahun 2004 di Jakarta, Jepun pada 2006 dan Jakarta pada 2008.

Persoalannya mampukah pasukan negara merampas Piala Thomas dari China yang mana kali terakhir negara memenanginya pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Selepas itu Malaysia mampu bertahan di tempat kedua iaitu pada tahun 1998 di Hong Kong dan 2002 di Guangzhou, China.

Kemelut BAM serta isu H1N1 menjadi cabaran kepada pasukan negara untuk menongkah cabaran Piala Thomas pada kali ini. Namun BAM mengambil langkah pantas dalam menanggani isu latihan di Stadium Putra Bukit Jalil yang menjadi venue perlawanan akhir Piala Thomas dan Uber tahun ini. Pemain diberi peluang untuk mendapatkan feel bermain di gelanggang tersebut yang merupakan advantage kepada pasukan tuanrumah.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei telah bersedia mengharungi cabaran negara dan Lin Dan pemain nombor 2 dunia adalah musuh utama beliau pada kejohanan kali ini. Beliau mempunyai rekod yang baik apabila menentang Lin Dan di bumi sendiri dan harapan agar beliau dapat mengekalkan kecemerlangan itu.

Malaysia akan memulakan cabaran pertama menentang Nigeria pada hari ini. Saya mengucapkan Selamat Berjuang buat pasukan negara yang bakal mengharungi cabaran Piala Thomas dan Piala Uber.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 8 May 2010

Perhimpunan Hari Pekerja 2010

IMG_0417IMG_0500

Sambutan Hari Pekerja 2010 telah berlangsung di MIECC, Mines pada 8 Mei 2010 jam 9.00 pagi. Para peserta telah hadir sewal jam 7.00 pagi lagi. Acara kemuncak bermula pada jam 9.30 pagi denga ketibaan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Tema hari pekerja pada ini adalah Pekerja Berinovasi, Pemacu Transformasi. Ianya merupakan tema yang paling tepat sekali kerana YAB Perdana Menteri telah melancarkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan menggerakkan 6 NKRA bagi melaksanakan usaha tersebut.

Pekerja dikalangan kakitangan kerajaan dan swasta perlu berganding bahu dalam melaksanakan agenda yang diusahakan oleh kerajaan bagi memastikan matlamat NKRA tercapai. Transformasi amat perlu bagi memastikan hala tuju negara ke arah negara maju serta rakyat berpendapatan tinggi selari dengan negara-negara maju.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Kejohanan Tenpin Bowling Antara Bahagian JKDM Ibu Pejabat

Saya ingin merakamkan selamat bertanding pada kejohanan tenpin bowling antara bahagian yang berlangsung pada 8 Mei 2008 di Mines Wonderbowl jam 10.00 pagi. Semoga kejohanan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan serta ikatan antara pemain dikalangan bahagian yang berlainan.

Mohon maaf, kerana tidak dapat menghadirkan diri kerana beberapa jadual telah dirancang pada tarikh tersebut. Saya pasti sekiranya ianya berlangsung pada tarikh yang lain akan mengundang lebih ramai lagi warga jabatan secara keseluruhannya terutama pegawai kanan.

Mohd Hisham Mohd Nor.