Sunday, 16 May 2010

Demam Piala Dunia 2010

image

Piala Dunia 2010 semakin hampir dan tinggal 26 hari saja lagi temasya sukan bolasepak ini akan diadakan pada 9 Jun hingga 9 Julai 2010 di Afrika Selatan. Kejohanan 4 tahun sekali ini sememangnya dinantikan oleh peminat bolasepak dunia dan peminat-peminat bolasepak di Malaysia juga tidak ketinggalan menanti kehadiran Piala Dunia ini.

Kejohanan kali ini menyaksikan 32 pasukan akan bertanding yang dibahagikan kepada 8 kumpulan. Perlawanan pembukaan adalah pada 9 Jun 2010, iaitu Afrika Selatan menentang Mexico pada jam 5.00 petang(waktu tempatan). Perlawanan pembukaan ini akan berlangsung di Soccer City Stadium yang boleh menampung sehingga 90,000 penonton.

Demam Piala Dunia ini akan dirasai di Malaysia dan sudah pasti restoran-restoran mamak akan menjadi markas peminat-peminat bolasepak berkumpul bersama rakan-rakan untuk menyaksikan perlawanan yang bakal berlangsung kelak.

Situasi yang membimbangkan adalah kepada mereka yang bekerja kerana siaran langsung bakal ke udara tengah malam dan ini akan menjejaskan produktiviti dalam tempoh sebulan. Sudah pasti ada yang mengantuk untuk ke pejabat dan mungkin ada yang tertidur ketika mesyuarat dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan apabila tidak boleh bangun keesokan harinya. Saya punyai rakan yang sanggup cuti selama 1 bulan untuk menyaksikan Piala Dunia dan beliau menyaksikan kesemua perlawanan yang berlangsung. Sememangnya percutian beliau itu berbaloi dan ianya tidak menggangu tugas di pejabat.

Gejala tidak sihat seperti pertaruhan haram juga mengundang pelbagai implikasi kepada masyarakat dan peminjam wang haram pula akan mengambil kesempatan dalam kesempitan mereka yang memerlukan dana untuk ‘pelaburan’ judi ini.

Semoga peminat bolasepak tanahair bijak dalam menangani isu-isu seperti dibangkitkan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: