Sunday, 30 May 2010

Mengurang dan memansuhkan subsidi. Kesan kepada rakyat.

Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Datuk Seri Idris Jala telah mengemukakan beberapa cadangan agar subsidi yang dinikmati oleh rakyat sejak  sekian lama  dikurangkan dan dimansuhkan untuk beberapa barangan dan perkhidmatan yang tertentu.

Cadangan ini di sambut baik oleh sesetengah pihak dan tidak kurang juga yang membantah cadangan tersebut kerana ianya akan membebankan rakyat.

Secara peribadi, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya rakyat di negara ini tidak bergantung sepenuhnya kepada subsidi. Subsidi tidak baik untuk ekonomi negara bagi jangka panjang dan negara tidak dapat bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global.

Amalan subsidi di negara ini bukannya di nikmati oleh golongan miskin malah yang kaya juga turut menikmatinya dan yang paling ‘menyakitkan’ adalah apabila rakyat asing atau rakyat negara jiran juga turut dapat ‘menjamah’ subsidi yang sepatutnya dinikmati hanya kepada rakyat Malaysia. Subsidi adalah wang rakyat dan pada ketika ini kaya dan miskin dapat menikmati secara bersama.

Cadangan memberikan diskaun dan rebet kepada golongan yang sewajarnya perlu disambut baik dan ianya dapat disalurkan dengan tepat. Keadaan ini dapat menyekat subsidi diberikan kepada golongan yang tidak sepatutnya seperti warganegara asing. Rakyat dikampung-kampung perlu diberi keutamaan dalam pemberian diskaun dan rebet.

Harga barang dikawasan luar bandar masih di paras yang rendah dan apabila saya ke Kuala Perlis, agak terkejut apabila sebotol air drinking water 500ml yang dibeli dari kedai runcit berharga 50 sen. Begitu juga makan di warong kedai kopi dan sebagainya. Sekiranya rebet dan diskaun yang dicadangkan sampai ke golongan sasar, maka ianya dapat mencapai matlamat kerajaan.

Rakyat juga perlu melakukan perubahan atau transformasi kerana usaha secara bersama perlu dilakukan seiring dengan inisiatif kerajaan. Kerjasama Ini akan dapat mempercepatkan misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Sekiranya kerajaan berusaha melakukan transformasi tanpa sokongan serta usaha dari rakyat sendiri maka hasrat tersebut tidak akan tercapai.

Golongan yang berkemampuan perlu mengubah cara hidup dengan kehidupan tanpa subsidi. Sebagai contohnya jika harga gula menjadi mahal apabila subsidi ditarik atau dikurangkan maka kurangkan pengambilan gula kerana ia baik untuk kesihatan. Sekiranya tarif elektrik dan air dinaikkan maka berjimat dalam penggunaan seharian kerana kajian yang buat mendapati rakyat banyak melakukan pembaziran.

Saya percaya setiap rakyat mampu melakukan perubahan kerana yang perit itu hanya seketika sahaja dan mereka pasti mampu menyesuaikan keadaan dalam waktu yang terdekat. Sebagai contohnya apabila harga minyak dinaikkan secara mendadak pada tahun 2008, ramai yang menggunakan perkhidmatan LRT atau pengangkutan awam yang lain untuk ke pejabat dan penggunaan pengangkutan ini telah meningkat di waktu puncak. Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat mampu melakukan perubahan dalam satu jangka waktu.

Apabila subsidi dimansuh atau dikurangkan, kerajaan dapat menyusun semula struktur kewangan dan sekaligus ianya dapat meningkatkan pendapatan negara serta mengurangkan defisit. Banyak pembangunan dapat dijalankan seperti pembinaan sekolah, hospital serta pengangkutan awam yang cekap untuk kemakmuran rakyat.

Namun, semuanya hanya cadangan dan kerajaan sedia menerima pandangan dari rakyat sebelum melaksanakan cadangan ini dan di harap agar rakyat dapat menilai kesan jangka panjang kepada negara sebelum membuat sesuatu keputusan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: