Friday, 22 October 2010

Harapan Skuad Tenpin Bowling di Sukan Asia, Guangzhaou 2010

Skuad tenpin bowling ke Sukan Asia pada tahun ini menyaksikan sebahagian besarnya terdiri dari pemain yang pernah beraksi di Sukan Asia di Doha, Qatar. Ianya merupakan gandingan pemain senior dan junior hasil didikan jurulatih berpengalaman Holloway Cheah.

Muka-muka lama yang akan beraksi adalah Alex Liew, Aaron Kong dan Zulmazran bagi skuad lelaki manakala skuad wanita pula terdiri dari Shalin Zulkifli, Sharon Koh, Ester Cheah, dan Zandra Aziela. Mereka yang bakal beraksi buat pertama kalinya di Sukan Asia adalah Adrian Ang, Muhd Shafiq Ridhwan dan Muhd Nur Aiman untuk skuad lelaki manakala skuad wanita pula terdiri dari Zatil Iman dan Sin Li Jane.

Pada Sukan Asia yang lalu, Esther Cheah iaitu anak kepada jurulatih negara Holloway Cheah telah berjaya mengutip pingat melalui acara perseorangan wanita dan sekaligus memecah rekod Sukan Asia dengan jatuhan pin tertinggi. Mampukah beliau mempertahankan emas dalam acara individu wanita? Dari sudut prestasi semasa beliau, ianya boleh dikatakan memberangsangkan dan pada kejohanan Terbuka Hong Kong yang lalu beliau telah melakukan jatuhan sempurna 300 atau perfect game. Namun semuanya akan terjawab bila tiba waktunya nanti dan yang pasti suasana serta sekitaran sewaktu Sukan Asia amat berbeda dengan suasana semasa Kejohanan Terbuka.

Muhd Nur Aiman merupakan pemain paling junior dalam skuad elit negara berbanding Muhd Shafiq Ridhwan yang pernah beraksi pada Sukan Sea di Korat, Thailand pada tahun 2007. Namun semangat serta kesungguhan beliau telah banyak membantu untuk meningkatkan permainannya pada ketika ini.

Saya difahamkan bahawa Majlis Sukan Negara(MSN) telah menetapkan sasaran 3 emas untuk skuad tenpin bowling iaitu jumlah yang berjaya dikutip sewaktu Sukan Asia di Doha dahulu. Bagi skuad tenpin bowling kebangsaan, untuk mengutip 3 pingat tanpa mengira warna adalah mudah tetapi untuk mengutip 3 pingat emas adalah merupakan satu cabaran atau tugasan yang berat. Malaysia akan menghadapi negara-negara yang hebat ketika ini iaitu Korea dan Singapura. Saya berkeyakinan gandingan pemain senior dan junior mampu menghasilkan kejayaan buat skuad tenpin bowling kebangsaan.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

No comments: