Monday, 25 October 2010

Tahniah Negeri Sembilan…

Tahniah dan syabas kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan kerana berjaya menumpaskan pasukan Johor FC di stadium JCorp dengan kemenangan agregat 2-1 dan seterusnya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut.

Perlawanan akhir hujung minggu ini ibarat perlawanan ulangan Piala Malaysia tahun lalu apabila Negeri Sembilan akan bertembung dengan pasukan dari pantai timur iaitu Kelantan yang telah berjaya menewaskan Kedah dengan agregat 1-0 di stadium Kota Bharu.

Ramai dikalangan pemerhati sukan meramalkan Kelantan akan menjuarai Piala Malaysia pada kali ini, namun saya pasti Wan Jamak Wan Hassan selaku jurulatih yang membimbing pasukan Negeri Sembilan akan lebih berhati-hati dalam mengatur strategi serta menyuntik semangat para pemain untuk melakar kejayaan buat kali kedua.

Negeri Sembilan dan Kelantan adalah merupakan di antara negeri yang mempunyai pengurusan sukan yang begitu baik serta mereka memiliki pemain yang semangat berpasukan tinggi. Kedua-dua pasukan diterajui oleh tokoh sukan yang sangat berpengalaman iaitu Y.B Dato’ Seri Mohamad bin Hassan dan Y.Bhg. Tan Sri Annuar Musa. Prestasi persatuan sukan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sukan kerana ianya dapat menentukan kejayaan halatuju sesebuah pasukan tersebut. Sekiranya sesebuah persatuan itu bermasalah dan kebajikan pemain tidak diambil perhatian serta gaji pemain yang tertunggak akan menjejaskan prestasi sesebuah pasukan itu.

Saya berharap agar perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun ini tidak akan mencetuskan sebarang kekecohan oleh penonton dan penyokong. Pihak berkuasa pula diminta mengenakan kawalan yang ketat dipintu masuk Stadium agar barangan larangan seperti mercun tidak bolos memasuki stadium.

Semoga perlawanan akhir tahun ini akan berlangsung dengan tenteram dan aman serta pemain di kedua pihak bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

No comments: