Tuesday, 26 October 2010

Tingkatkan tahap keselamatan

Debaran Piala Malaysia semakin hangat dirasai terutamanya kepada penyokong Negeri Sembilan dan Kelantan. Apatah lagi kedua-dua pasukan akan bertemu buat kali kedua di perlawanan akhir secara berturut-turut. Berita baik pasti menanti buat penyokong dan pemain Kelantan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) menangguhkan seketika penggantungan jurulatih mereka iaitu B. Sathianathan. Sathia tidak lagi memberi arahan melalui walkie-talkie seperti beliau lakukan sewaktu Kelantan menentang Kedah minggu lalu.

Saya menyambut baik dengan keputusan FAM untuk meningkatkan tahap keselamatan di Stadium Bukit Jalil yang merupakan venue perlawanan akhir. Pada perlawanan akhir nanti, dijangka seramai 80,000 orang penyokong dari kedua-dua pasukan akan membanjiri stadium Bukit Jalil.

Dalam entri saya yang lalu, ada disebut tentang faktor keselamatan di stadium dan hari ini difahamkan bagi memastikan tahap keselamatan yang tinggi, setiap penonton akan  menjalani pemeriksaan badan dan penonton wanita juga tidak terkecuali dari menjalani prosidur ini. Ianya untuk memastikan penonton tidak membawa mercun serta objek terlarang seperti yang berlaku pada tahun lalu.

Saya berharap agar pihak keselamatan dapat melaksanakan proses ini dengan tegas bagi memastikan perjalanan perlawanan akhir akan berjalan lancar. Saya begitu memuji penganjuran sukan di luar negara kerana apabila penonton hendak memasuki sesuatu venue, pemeriksaan yang rapi dilakukan termasuk melakukan scan keatas barangan yang dibawa. Pegawai dan atlet juga tidak terkecuali dari menjalani proses pemeriksaan ini. Oleh itu kita berharap agar tiada kedengaran letupan serta percikan bunga api sewaktu perlawanan sedang berlangsung.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

No comments: