Tuesday, 23 November 2010

Alex pelengkap sasaran

Tahniah buat Alex Liew, pemain senior dalam skuad bowling negara kerana berjaya mengutip emas kedua buat tenpin bowling melalui acara All-Event dan sekaligus melengkapkan sasaran 2 emas untuk sukan tenpin bowling.

Harapan untuk mendapatkan 2 emas melalui acara 5 berpasukan lelaki dan wanita lebur apabila sekadar mendapat perak bagi 5 berpasukan lelaki dan 5 berpasukan wanita hanya sekadar pingat gangsa. Agak terkilan buat pasukan lelaki kerana mereka hanya ketinggalan 75 pin dibelakang Korea.

Untuk rekod, skuad tenpin bowling negara meraih 3 pingat emas dan 3 perak sewaktu Sukan Asia di Doha, Qatar dan sudah pasti skuad bowling negara bersandarkan kepada Alex Liew untuk meraih emas ketiga melalui acara Masters bagi menyamai rekod tersebut. Chief de Mission, Dato’ Zolkeples Embong sudah pasti mengharapkan emas ‘tambahan’ dari tenpin bowling kerana beberapa sukan yang diharapkan untuk menyumbangkan emas gagal berbuat demikian.

Skuad tenpin bowling wanita agak muram sejak awal kejohanan dan gagal mencari rentak untuk menguasai lorong. Keputusan kali ini lebih memihak kepada pasukan lelaki dan ianya amat berbeza sekali kerana pasukan wanita adalah yang paling menyerlah sewaktu di Sukan Asia yang lalu.

Namun pujian harus diberi kepada semua pemain kerana telah bertungkus lumus untuk menjulang nama negara. Saya amat memahami perasaan mereka sewaktu di perkampungan sukan dahulu, dimana setiap malam perbincangan diadakan dan tiada siapa yang mahukan kegagalan dan segala usaha telah dicurahkan. Adat bersukan, bila usaha telah dilakukan, hasilnya ada yang memihak kepada kita dan sebaliknya.

Walaubagaimanapun, syabas buat Alex dan semoga tuah memihak kepada beliau dalam acara Masters nanti. Insyaallah.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Friday, 19 November 2010

Sandaran buat Trio

Salam sejahtera kepada semua rakan-rakan blogger dan lebih dari seminggu saya tidak membuat catatan pada blog ini. Kecederaan di bahu kanan memaksa saya untuk menghadkan dari melakukan pergerakan tangan dan setelah mendapat rawatan, alhamdullilah ianya semakin beransur pulih. Keadaan ini juga memaksa saya berehat panjang dari bersukan terutamanya bermain golf. Kesakitan yang yang alami adalah merupakan kesakitan lama yang mungkin kesan dari aktiviti bermain bowling satu ketika dulu.

Namun begitu, saya tetap melihat dan mengikuti perkembangan Sukan Asia ke-16 di Ghuangzhao. Hari ini acara trio lelaki dan wanita. Syabas dan tahniah buat Alex dan Adrian yang berjaya memunggut pingat emas bagi acara beregu pada hari Rabu yang lalu. Skuad tenpin bowling negara masih lagi ‘kekeringan’ emas dan perjalanan telah berada di pertengahan. Acara 5 berpasukan merupakan acara yang diharapkan untuk menyapu pingat emas lelaki dan wanita.

Acara individu wanita gagal untuk meraih sebarang pingat serta mengulangi kecemerlangan di Sukan Asia di Doha, Qatar apabila Esther Cheah muncul pemenang pingat emas individu serta memecah rekod kejohanan. Sasaran yang disandarkan 2 emas dari tenpin bowling sememangnya realistik dan skuad tenpin negara mampu meraih lebih dari itu sekirannya pemain menunjukkan kemampuan sebenar.

Bagi acara trio pada hari ini, saya menjangkakan Alex dan Adrian akan diletakkan dalam satu kumpulan yang sama, dan samada Zul atau Syafiq akan menyertai kumpulan trio tersebut. Saya berpendapat, acara trio ini merupakan peluang yang terbaik untuk memunggut pingat emas terutamanya Alex dan Adrian yang masih segar dengan kejayaan 2 hari yang lalu. Jika kedua mereka dapat mengekalkan rentak serta semangat permainan seperti yang dipamirkan pada kemenangan yang lalu, pasti emas dalam gengaman kita. Skuad tenpin bowling memerlukan 1 emas untuk melepasi sasaran yang ditetapkan oleh MSN.

Sama-sama kita mendoakan skuad tenpin negara, semoga ianya membuahkan kejayaan.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Friday, 5 November 2010

Misi memburu 9 emas bermula…

Hari ini sebahagian kontinjen negara berlepas ke Guangzhaou, China untuk misi memburu 9 emas di temasya Sukan Asia ke-16. Skuad bolasepak negara yang dibimbing oleh K. Rajagopal berlepas pagi tadi untuk mengharungi cabaran perlawanan pertama pada 8 November ini. Skuad papan layar juga turut berlepas dengan menghantar barisan atlet yang terbesar.

Skuad tenpin bowling negara dijangka berlepas pada 9 November 2010. Namun begitu, pemain hanya berpeluang untuk berlatih digelanggang pada 13 dan 14 November di mana penganjur memulakan sesi latihan rasmi.

Keadaan ini sememangnya menjadi ‘tradisi’ di dalam sukan tenpin bowling dan seperti yang berlaku di temasya Sukan Asia ke-15 di Doha Qatar yang lalu, pemain tidak dibenarkan masuk ke dalam arena bowling dan ianya hanya dibuka pada sesi latihan rasmi sahaja iaitu 2 hari sebelum kejohanan. Peluang pemain untuk mencuba lorong dengan keadaan minyak pada lorong yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan adalah begitu terhad sekali.

Pemain perlu mencuba beberapa biji bola yang mana sesuai mengikut keadaan lorong. Pada kebiasaannya seorang pemain akan membawa antara 6 hingga ke 8 biji bola ke temasya berkenaan. Esther Cheah, pemenang pingat emas perseorangan di Sukan Asia Qatar, membawa 10 biji bola bagi memastikan bola yang dibawa sesuai untuk keadaan lorong semasa kejohanan berlangsung.

Pada Sukan Asia ini, pemain akan diuji dalam dua keadaan lorong iaitu short oil dan long oil. Kedua-dua keadaan lorong memerlukan corak balingan yang berbeza sekali dan juga kesesuaian bola memainkan peranan yang penting.

Menurut Holloway Cheah, jurulatih kebangsaan saingan negara adalah Korea Selatan dan Singapura. Korea Selatan merupakan juara keseluruhan pada temasya yang lalu dan mereka mempunyai barisan pemain yang mempunyai semangat kental dan dilatih seperti ala tentera. Saya sendiri pernah melihat bagaimana pemainnya dimarahi oleh jurulatih mereka dan saya kira, jurulatih kita tidak tergamak untuk melakukan sedemikian. Namun para pemainnya begitu hormat dengan jurulatih mereka dan hasilnya mereka dapat memberi satu keputusan yang baik.

Singapura juga sedang bangkit dan bakal menjadi kuasa besar Asia dalam tenpin bowling dan mereka mempunyai barisan pemain wanita yang handal. Apa yang saya perhatikan mereka mula mengadakan program pembangunan dan mereka telah menggunakan khidmat serta kepakaran Sid Allen dari Australia. Sid Allen pernah melatih pemain kebangsaan negara pada tahun 1990an dan beliau saya anggap sebagai arkitek bowling negara kerana telah mewujudkan program pembangunan serta pelan jangka pangka panjang sukan bowling negara.

Untuk rekod, pada sukan Asia di Busan pada 2002, Malaysia membawa pulang 2 emas, 1 perak dan 1 gangsa manakala di Doha Qatar, membawa pulang 3 emas dan 3 perak. Pada sukan Asia 1998 di Bangkok hanya sekadar sebutir gangsa menerusi Sarah Yap dalam acara perseorangan. Jika dilihat rentetan kejayaan pasukan negara, kejayaan yang lebih besar perlu dicapai serta mengatasi pungutuan di Doha Qatar.

Saya percaya pasukan telah bersiap sedia dan barisan yang ada mampu untuk menggalas cabaran negara apabila bermulanya acara pertama iaitu perseorangan pada 15 November nanti. Insyallah saya akan mengikuti perkembangan skuad tenpin negara dan berhubung terus dengan BC Cheah, pengurus pasukan negara.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Wednesday, 3 November 2010

Masih tidak berubah… janji tidak tertunai

Perkara yang menarik untuk saya komen pada perlawanan akhir Piala Malaysia minggu lalu di antara Negeri Sembilan dan Kelantan adalah tahap keselamatan yang dijanjikan oleh pihak penganjur. dalam stadium. Keadaan tidak seperti yang dijanjikan oleh pihak penganjur yang mana keselamatan akan ditingkatkan dan sebarang objek larangan tidak akan dibenarkan dibawa masuk kedalam stadium. Apa  yang kelihatan pada malam tersebut adalah percikan bunga api dan dentuman bunyi mercun yang masih lagi tidak terkawal. Letupan mercun masih lagi kedengaran dan pihak penguatkuasa masih gagal untuk mengatasi masalah ini.

Keadaan sedemikian tidaklah seteruk kejadian seperti tahun lalu seperti insiden membakar tempat duduk dan sebagainya dan ia mungkin kerana pasukan Kelantan telah menang dan  menjuarai Piala Malaysia.

Botol-botol air bertaburan di atas trek dan ada yang melepasi kawasan padang sehingga pemain terpaksa membuangnya ketepi. Mentaliti apakah mereka ini? Bagaimana kita hendak mendidik rakyat Malaysia menjadi rakyat yang berpengetahuan serta mempunyai prinsip akhlak yang mulia.

Jika kerajaan mencadangkan mewajibkan mata pelajaran sejarah sebagai wajib untuk lulus, maka perlu juga diwujudkan dan diwajibkan matapelajaran yang berasaskan kesedaran sivik. Bagaimana negara Malaysia hendak menuju kearah negara maju jika rakyatnya masih tidak maju. Rakyat perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum kita bersedia kearah negara maju.

Pemerhatian saya terhadap negara maju adalah mereka telah mendidik rakyat mereka begitu lama dan apabila mereka bersedia kearah negara maju, rakyatnya sudah bersedia. Contoh terdekat adalah Singapura di mana rakyatnya diajar atau dilatih dengan ilmu serta kesedaran sivik yang tinggi. Mereka tahu menjaga kebersihan bandar dan tidak dinafikan penguatkuasaan yang tegas juga memainkan peranan yang penting.

Kawalan serta pemeriksaan yang ketat perlu dilakukan keatas penonton dan seharusnya tidak membenarkan membawa apa-apa bag masuk ke dalam stadium. Oleh yang demikian, rakyat di negara ini perlu mempunyai sikap yang lebih bertanggungjawab untuk kebaikan semua pihak.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Tuesday, 2 November 2010

Tahniah buat Kelantan

Mungkin belum terlewat untuk saya ucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan dan juga penyokongnya kerana berjaya menjadi juara Piala Malaysia dengan menumpaskan penyandang juara pasukan Negeri Sembilan 2-1.

Ternyata pasukan Kelantan mempamerkan permainan yang baik serta melakukan serangan bertubi-tubi ke kawasan Negeri Sembilan. Corak permainan Negeri Sembilan pula agak rapuh dengan ketumpulan di bahagian serangan sehingga menyebabkan Negeri Sembilan seolah-olah bermain untuk bertahan.

Ianya berbeza dengan permaian Negeri Sembilan sewaktu final Piala Malaysia 2009, di mana NS bermain dengan begitu pantas hingga berjaya memperolehi gol awal. Walaupun pada final yang lalu NS mengulangi sejarah memperoleh gol awal, namun ianya gagal dimanfaatkan oleh pemain.

Nampaknya seolah-olah benar teori yang diperkatakan ramai peminat bolasepak iaitu sewaktu NS menjurai Piala Malaysia 2009, ianya hadiah buat Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawirt yang baru dilantik sebagai pemerintah negeri dan kali ini tibalah pula giliran pasukan Kelantan untuk menghadiahkan kemenangan kepada Sultan Muhammad V yang baru diistiharkan sebagai Sultan Kelantan.

Walaupun tewas, saya berharap agar NS dapat memperbaiki kelemahan yang ada serta bersedia menghadapi cabaran untuk tahun hadapan. Pasukan NS juga harus mengekalkan prestasi sebagai salah sebuah pasukan yang disegani dalam kancah persaingan Piala Malaysia.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.