Tuesday, 23 November 2010

Alex pelengkap sasaran

Tahniah buat Alex Liew, pemain senior dalam skuad bowling negara kerana berjaya mengutip emas kedua buat tenpin bowling melalui acara All-Event dan sekaligus melengkapkan sasaran 2 emas untuk sukan tenpin bowling.

Harapan untuk mendapatkan 2 emas melalui acara 5 berpasukan lelaki dan wanita lebur apabila sekadar mendapat perak bagi 5 berpasukan lelaki dan 5 berpasukan wanita hanya sekadar pingat gangsa. Agak terkilan buat pasukan lelaki kerana mereka hanya ketinggalan 75 pin dibelakang Korea.

Untuk rekod, skuad tenpin bowling negara meraih 3 pingat emas dan 3 perak sewaktu Sukan Asia di Doha, Qatar dan sudah pasti skuad bowling negara bersandarkan kepada Alex Liew untuk meraih emas ketiga melalui acara Masters bagi menyamai rekod tersebut. Chief de Mission, Dato’ Zolkeples Embong sudah pasti mengharapkan emas ‘tambahan’ dari tenpin bowling kerana beberapa sukan yang diharapkan untuk menyumbangkan emas gagal berbuat demikian.

Skuad tenpin bowling wanita agak muram sejak awal kejohanan dan gagal mencari rentak untuk menguasai lorong. Keputusan kali ini lebih memihak kepada pasukan lelaki dan ianya amat berbeza sekali kerana pasukan wanita adalah yang paling menyerlah sewaktu di Sukan Asia yang lalu.

Namun pujian harus diberi kepada semua pemain kerana telah bertungkus lumus untuk menjulang nama negara. Saya amat memahami perasaan mereka sewaktu di perkampungan sukan dahulu, dimana setiap malam perbincangan diadakan dan tiada siapa yang mahukan kegagalan dan segala usaha telah dicurahkan. Adat bersukan, bila usaha telah dilakukan, hasilnya ada yang memihak kepada kita dan sebaliknya.

Walaubagaimanapun, syabas buat Alex dan semoga tuah memihak kepada beliau dalam acara Masters nanti. Insyaallah.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

No comments: