Wednesday, 3 November 2010

Masih tidak berubah… janji tidak tertunai

Perkara yang menarik untuk saya komen pada perlawanan akhir Piala Malaysia minggu lalu di antara Negeri Sembilan dan Kelantan adalah tahap keselamatan yang dijanjikan oleh pihak penganjur. dalam stadium. Keadaan tidak seperti yang dijanjikan oleh pihak penganjur yang mana keselamatan akan ditingkatkan dan sebarang objek larangan tidak akan dibenarkan dibawa masuk kedalam stadium. Apa  yang kelihatan pada malam tersebut adalah percikan bunga api dan dentuman bunyi mercun yang masih lagi tidak terkawal. Letupan mercun masih lagi kedengaran dan pihak penguatkuasa masih gagal untuk mengatasi masalah ini.

Keadaan sedemikian tidaklah seteruk kejadian seperti tahun lalu seperti insiden membakar tempat duduk dan sebagainya dan ia mungkin kerana pasukan Kelantan telah menang dan  menjuarai Piala Malaysia.

Botol-botol air bertaburan di atas trek dan ada yang melepasi kawasan padang sehingga pemain terpaksa membuangnya ketepi. Mentaliti apakah mereka ini? Bagaimana kita hendak mendidik rakyat Malaysia menjadi rakyat yang berpengetahuan serta mempunyai prinsip akhlak yang mulia.

Jika kerajaan mencadangkan mewajibkan mata pelajaran sejarah sebagai wajib untuk lulus, maka perlu juga diwujudkan dan diwajibkan matapelajaran yang berasaskan kesedaran sivik. Bagaimana negara Malaysia hendak menuju kearah negara maju jika rakyatnya masih tidak maju. Rakyat perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum kita bersedia kearah negara maju.

Pemerhatian saya terhadap negara maju adalah mereka telah mendidik rakyat mereka begitu lama dan apabila mereka bersedia kearah negara maju, rakyatnya sudah bersedia. Contoh terdekat adalah Singapura di mana rakyatnya diajar atau dilatih dengan ilmu serta kesedaran sivik yang tinggi. Mereka tahu menjaga kebersihan bandar dan tidak dinafikan penguatkuasaan yang tegas juga memainkan peranan yang penting.

Kawalan serta pemeriksaan yang ketat perlu dilakukan keatas penonton dan seharusnya tidak membenarkan membawa apa-apa bag masuk ke dalam stadium. Oleh yang demikian, rakyat di negara ini perlu mempunyai sikap yang lebih bertanggungjawab untuk kebaikan semua pihak.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

No comments: