Friday, 5 November 2010

Misi memburu 9 emas bermula…

Hari ini sebahagian kontinjen negara berlepas ke Guangzhaou, China untuk misi memburu 9 emas di temasya Sukan Asia ke-16. Skuad bolasepak negara yang dibimbing oleh K. Rajagopal berlepas pagi tadi untuk mengharungi cabaran perlawanan pertama pada 8 November ini. Skuad papan layar juga turut berlepas dengan menghantar barisan atlet yang terbesar.

Skuad tenpin bowling negara dijangka berlepas pada 9 November 2010. Namun begitu, pemain hanya berpeluang untuk berlatih digelanggang pada 13 dan 14 November di mana penganjur memulakan sesi latihan rasmi.

Keadaan ini sememangnya menjadi ‘tradisi’ di dalam sukan tenpin bowling dan seperti yang berlaku di temasya Sukan Asia ke-15 di Doha Qatar yang lalu, pemain tidak dibenarkan masuk ke dalam arena bowling dan ianya hanya dibuka pada sesi latihan rasmi sahaja iaitu 2 hari sebelum kejohanan. Peluang pemain untuk mencuba lorong dengan keadaan minyak pada lorong yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan adalah begitu terhad sekali.

Pemain perlu mencuba beberapa biji bola yang mana sesuai mengikut keadaan lorong. Pada kebiasaannya seorang pemain akan membawa antara 6 hingga ke 8 biji bola ke temasya berkenaan. Esther Cheah, pemenang pingat emas perseorangan di Sukan Asia Qatar, membawa 10 biji bola bagi memastikan bola yang dibawa sesuai untuk keadaan lorong semasa kejohanan berlangsung.

Pada Sukan Asia ini, pemain akan diuji dalam dua keadaan lorong iaitu short oil dan long oil. Kedua-dua keadaan lorong memerlukan corak balingan yang berbeza sekali dan juga kesesuaian bola memainkan peranan yang penting.

Menurut Holloway Cheah, jurulatih kebangsaan saingan negara adalah Korea Selatan dan Singapura. Korea Selatan merupakan juara keseluruhan pada temasya yang lalu dan mereka mempunyai barisan pemain yang mempunyai semangat kental dan dilatih seperti ala tentera. Saya sendiri pernah melihat bagaimana pemainnya dimarahi oleh jurulatih mereka dan saya kira, jurulatih kita tidak tergamak untuk melakukan sedemikian. Namun para pemainnya begitu hormat dengan jurulatih mereka dan hasilnya mereka dapat memberi satu keputusan yang baik.

Singapura juga sedang bangkit dan bakal menjadi kuasa besar Asia dalam tenpin bowling dan mereka mempunyai barisan pemain wanita yang handal. Apa yang saya perhatikan mereka mula mengadakan program pembangunan dan mereka telah menggunakan khidmat serta kepakaran Sid Allen dari Australia. Sid Allen pernah melatih pemain kebangsaan negara pada tahun 1990an dan beliau saya anggap sebagai arkitek bowling negara kerana telah mewujudkan program pembangunan serta pelan jangka pangka panjang sukan bowling negara.

Untuk rekod, pada sukan Asia di Busan pada 2002, Malaysia membawa pulang 2 emas, 1 perak dan 1 gangsa manakala di Doha Qatar, membawa pulang 3 emas dan 3 perak. Pada sukan Asia 1998 di Bangkok hanya sekadar sebutir gangsa menerusi Sarah Yap dalam acara perseorangan. Jika dilihat rentetan kejayaan pasukan negara, kejayaan yang lebih besar perlu dicapai serta mengatasi pungutuan di Doha Qatar.

Saya percaya pasukan telah bersiap sedia dan barisan yang ada mampu untuk menggalas cabaran negara apabila bermulanya acara pertama iaitu perseorangan pada 15 November nanti. Insyallah saya akan mengikuti perkembangan skuad tenpin negara dan berhubung terus dengan BC Cheah, pengurus pasukan negara.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

No comments: