Monday, 31 January 2011

Chong Wei dan Lin Dan…

Datuk Lee Chong Wei sekali lagi tewas ditangan juara dunia dari China iaitu Lin Dan pada perlawanan akhir Terbuka Korea yang menawarkan hadiah keseluruhan paling lumayan iaitu sebanyak AS$1.2 juta (RM3.8 juta).

Walaubagaimanapun, Lin Dan terpaksa berhempas pulas selama 1 jam 15 minit sebelum dapat menundukkan Chong Wei dengan mata 19-21, 21-14, 16-21. Permainan akhir tersebut amat menarik serta menghiburkan dan Chong Wei membawa pulang AS$45,600(RM140,000.00) selaku naib juara. Walaupun tewas dan menduduki tempat kedua, hadiah yang dimenanginya adalah besar jika dibandingkan dengan hadiah ketika beliau menjadi juara Terbuka Malaysia pada minggu yang lalu.

Syabas dan tahniah kepada penganjur dan sukan badminton semakin mendapat perhatian di mata dunia. Saya percaya, satu hari nanti sukan badminton akan setaraf dengan sukan-sukan yang lain seperti tenis dan golf yang telah lama menawar hadiah yang lumayan.

Namun persoalannya disini, bukannya hadiah lumayan yang ditawarkan kepada pemain atau pemenang kejohanan. Chong Wei selaku pemain nombor satu dunia mengikut ranking BWF, masih belum mampu menewaskan Lin Dan dari China. Apakah rahsia kekuatan Lin Dan ataupun apakah rahsia strategi permainan yang diamalkan oleh Lin Dan. Chong Wei tumpas ditangan Lin Dan pada dua kejohanan besar dunia iaitu Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan terbaru Sukan Asia 2010 di Guangzhaou. Adakah kerana kedua-dua kejohanan besar itu diadakan di negara tembok besar yang telah menghimpunkan ramai penyokong ketika perlawanan di stadium.

Mengikut ranking terkini, Lin Dan menduduki ranking ke-empat di dunia selepas rakan senegara Long Chen dan Taufik Hidayat dari Indonesia. Chong Wei mungkin rasa terkilan pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang lalu apabila Lin Dan menarik diri pada perlawanan separuh akhir kerana pada kejohanan tersebut adalah peluang terbaik buat Chong Wei untuk menewaskan Lin Dan di hadapan penyokong sendiri.

Walaubagaimanapun, kita tidak tahu apakah muslihat Lin Dan menarik diri pada perlawanan separuh akhir hingga menimbulkan tanda tanya dikalangan peminat sukan badminton. Tidak kurang cemuhan dan kritikan dari pelbagai pihak dan ada yang meminta agar Lin Dan dikenakan hukuman atau denda.

Perletakan jawatan jurulatih Datuk Misbun Hj. Sidek tidak mematahkan semangat Chong Wei untuk bertanding pada 3 kejohanan pada bulan Januari iaitu Super Series Taiwan, Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea. Malah kehadiran mengejut Datuk Misbun Hj. Sidek pada Terbuka Malaysia telah memberi kejutan buat Chong Wei, malah ianya turut dirasai oleh peminat yang hadir pada perlawanan tersebut dengan memberi temukan yang gemuruh buat Misbun.

Namun dihati Chong Wei, beliau masih memerlukan sentuhan Lagenda Badminton Negara itu yang mempunyai pengalaman yang luas. Adakah Chong Wei mampu menumpaskan Lin Dan pada Kejohanan Terbuka Korea sekiranya Misbun berada di bangku jurulatih pada ketika itu. Persoalan ini sukar dijawab kerana perkiraan atas kertas seolah-olah masih memihak kepada Lin Dan.

Adalah diharap, tahun 2011 ini akan memberi kecemerlangan buat Chong Wei dalam arena badminton dunia. Selepas ini, beliau dijangka menyertai Kejohanan berprestij dan tertua dunia iaitu Kejohanan All-England. Peminat serta rakyat Malaysia menantikan kejayaan badminton negara bukan hanya dari Chong Wei tetapi dari seluruh skuad badminton negara.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: