Monday, 31 January 2011

Salam Warga Kota

Salam sejahtera kepada semua rakan kota. Selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2011. Walaupun sambutan tersebut telah diadakan lebih awal, namun tarikh 1 Februari tetap diingati pada setiap tahun.

Wilayah Persekutuan kini meliputi 3 buah wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Kuala Lumpur ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL), Labuan pula ditadbir oleh Perbadanan Labuan manakala Putrajaya pula ditadbir oleh Perbadanan Putrajaya.

Ketiga-tiga bandaraya dan bandar ini diletakkan dibawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai keluasan 243km persegi serta jumlah penduduk seramai 1.6 juta orang menjadikan bandar terbesar di Malaysia. Bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi ibu negara Malaysia telah berjaya menarik minat ramai anak muda dari desa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Banyak peluang pekerjaan disediakan, malah peluang untuk berniaga turut menjadi saingan dikalangan peniaga. Kuala Lumpur pada satu ketika dahulu merupakan pusat perniagaan yang pesat sejak zaman sebelum merdeka. Kaum-kaum Cina yang berhijrah telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat perniagaan mereka. Saya masih ingat keadaan Pasar Kuala Lumpur pada tahun 1970an dimana peniaga-peniaga Cina begitu sibuk menjual ikan dan sayur. Pada tahun 1986 bangunan pasar satu tingkat itu telah diubahsuai dan dinamakan sebagai Pasar Seni (Central Market).

Seperkara yang masih belum terlaksana di Kuala Lumpur adalah keadaan 2 buah sungai iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak yang masih kotor dan keruh. Saya amat memuji langkah kerajaan Melaka yang membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memulihkan sungai Melaka. Hasilnya, sungai Melaka menjadi bersih serta menjadi satu produk pelancongan apabila diperkenalkan river cruise.

Ketika bercuti ke negeri Hang Tuah pada Disember yang lepas, saya sempat mennyusuri sungai Melaka dengan menaiki river cruise. Difahamkan premis disekitar sungai akan dikenakan denda atau saman kepada pemilik premis yang membuang sampah ke sungai dan juga menggantung pakaian pada penyidai di belakang premis. Pihak berkuasa tempatan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan kepada mereka yang melakukan kesalahan. Kaedah ini perlu dicontohi dan saya pasti kerajaan Melaka telah melakukan banyak kajian serta benchmarking di negara-negara maju.

Bandaraya Seoul di Korea Selatan merupakan contoh terbaik. Terusan Cheong Gyecheon pada satu ketika dahulu amat menjijikkan sehingga ia terpaksa ditutup. Namun pada tahun 2003, kerajaan telah mengambil tindakan untuk memulihkan terusan tersebut dan sebanyak AS281 juta telah dibelanjakan untuk kerja-kerja tersebut. Hasilnya dalam tempoh dua tahun terusan tersebut telah dibersihkan dan sekaligus merubah wajah bandaraya Seoul. Saya tertarik apabila melihat rakyat Seoul bersiar dan berjogging di sepanjang terusan Cheong Gyecheon pada musim luruh. Wajah kesekitaran inilah yang boleh kita panggil sebagai Kesejahteraan Bandar disamping bandaraya yang bersih serta kemudahan tandas awam percuma dimana-mana di sekitar bandar.

Sebagai warga kota yang telah tinggal serta membesar di Ibu Kota Kuala Lumpur, saya mengharapkan agar ada usaha-usaha yang gigih dari kerajaan khususnya DBKL untuk membersih serta memulihkan sungai Klang dan Sungai Gombak. Saya percaya dengan tindakan tegas keatas mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah serta mengotorkan sungai, kebersihan sungai di bandaraya dapat dipertingkatkan.

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2011.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: