Saturday, 5 February 2011

Kebersihan Bandaraya Kuala Lumpur

Saya tertarik pada artikel bertajuk Isu kebersihan, kemudahan asas fokus utama Kuala Lumpur yang ditulis oleh Sdr. Razak Rashid Ghows di Berita Harian pada 1 Februari 2010. Entri saya pada hari sebelumnya bertajuk Salam warga kota ada menyentuh isu berkaitan kebersihan di bandaraya Kuala Lumpur khususnya kebersihan sungai Klang dan sungai Gombak.

Penulis berkenaan telah membincangkan isu kebersihan khususnya di gerai makan di ibukota serta tandas-tandas awam. Begitu juga dengan tahap kebersihan di kawasan perumahan serta jalan-jalan yang berlubang dan tidak diturap hingga mengundang kecelakaan kepada penunggang motosikal.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah disambut pada setiap tahun dan telah mencapai ke 37 tahun. Setiap tahun, isu yang sama iaitu kebersihan bandaraya dibangkitkan oleh penduduk warga kota dan juga pelancong yang mengunjungi Kuala Lumpur.

Tanggungjawab kebersihan ini bukan hanya terletak di bahu penguatkuasa atau dalam situasi ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Penghuni warga kota juga memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga kebersihan di Bandar.

Ketika mengunjungi kebeberapa buah negara yang maju seperti Korea, Australia dan Singapura, saya amat kagum dengan keindahan serta kebersihan bandaraya berkenaan. Sydney, Australia merupakan ibukota terbesar di Australia yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 4 juta orang. Namun kepesatan penduduk bandaraya tersebut tidak menjejaskan tahap kebersihan bandar Sydney yang saya fikir ianya begitu bersih dan selesa sekali.

Kesesakan lalulintas juga amat jarang berlaku terutama di kawasan Bandar yang sempit seperti di sekitar kawasan George Street dan Pitt Street. Kawasan tersebut padat dengan bangunan serta kedai dan juga hotel. Di waktu puncak, perjalanan kenderaan begitu lancar sekali walaupun jumlah kenderaan yang banyak melalui kawasan tersebut. Saya dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa, kadar bayaran letak kereta adalah mahal di Sydney dan ianya mencecah sehingga lebih AUS$10 sehari (RM30.00). Pihak berkuasa telah menyediakan kawasan letak kereta bertingkat yang amat luas di satu kawasan berhampiran Bandar. Keluasannya boleh membuatkan pemandu lupa, dimana kenderaannya diletakkan.

Kawalan yang ketat oleh kerajaan Australia ketika memasuki negara tersebut tidak menghalang pelancong dari luar untuk mengunjung Australia yang menyediakan banyak produk pelancongan. Tahap kebersihan di Bandar begitu diambil perhatian dan kemudahan awam seperti tandas begitu bersih serta menyenangkan. Tandas-tandas disediakan secara percuma untuk kemudahan orang ramai.

Persoalannya, mengapa Kuala Lumpur masih lagi ketinggalan dalam isu kebersihan. Di sini pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan penting serta mengambil tindakan yang tegas keatas warga kota yang mengotori bandaraya ini. Kuala Lumpur perlu mengambil contoh bagaimana bandar-bandar di negara maju seperti Sydney atau Singapura menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga kebersihan. Seperti di Singapura, kerajaannya mengharamkan gula-gula getah kerana ianya akan menyebabkan kotoran kekal di tempat awam dan juga dalam pengangkutan awam. Denda yang tinggi atau hukuman menjalani khidmat masyarakat seperti membersihkan sampah di bandaraya adalah jalan terbaik bagi mendidik warga kota untuk menjaga kebersihan.

Saya amat setuju dengan pandangan penulis yang mana pemimpin atasan perlu meninjau sendiri serta turun padang. Laporan yang diterima dalam mesyuarat tidak mencerminkan keadaan sebenar. Pemimpin perlu turun serta melihat keadaan dan kemudiannya membuat keputusan dengan segera. Kesungguhan pemimpin akan memberi keyakinan kepada rakyat.

Bandaraya Kuala Lumpur akan bersih sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing. Jadilah warga kota yang bertanggungjawab keatas kebersihan di Bandar.

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: