Friday, 16 September 2011

Salam Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011

Marilah kita sama-sama menyambut hari kemerdekaan ke-54 dan hari penubuhan Malaysia ke-48 dengan rasa penuh kesyukuran diatas segala limpah kurnia illahi di bumi bertuah Malaysia ini. Rakyat Malaysia yang terdiri dari pelabagai bangsa, kaum, keturunan dan agama telah sekian lama hidup bersama dalam suasana aman dan makmur. Suasana dan semangat yang sebegini perlu bajai sepanjang masa agar ia terus mekar hingga ke akhir zaman.

Kemakmuran yang sebegini perlu dipertahankan dan anak-anak bangsa perlu dididik dengan semangat keharmonian ini agar mereka yang bakal menjadi pemimpin masa akan datang dapat mewarisi apa yang dinikmati pada hari ini.Justeru itu, semangat 1Malaysia perlu dijiwai sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum demi memastikan masa depan Malaysia terus makmur, maju dan berjaya.

Warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) juga bekerja di dalam satu kelompok berbilang kaum, bangsa dan agama sejak sekian lama. Kerjasama erat dikalangan pegawai kanan tanpa membezakan bangsa dan agama telah membawa jabatan sebagai sebuah agensi pemungut cukai yang terpenting di dlam negara. Sejak dari zaman kemerdekaan hinggalah ke hari ini, JKDM telah melalui perjalanan yang penuh warna-warni dalam menongkah arus perubahan. Kerjasama yang erat serta semangat berpasukan dalam setiap apa jua yang dilakukan telah membawa JKDM kearah kecemerlangan.

Membelek helaian-helaian tawarikh, sistem pentadbiran cukai telah wujud sejak zaman sebelum kedatangan penjajah Barat iaitu di zaman Kerajaan Melayu Melaka dan semasa pemerintahan Kerajaan Johor Riau. Jabatan Kastam dan Eksais pula telah wujud sejak sebelum kemerdekaan negara lagi dan ketika itu ia diketuai oleh pegawai-pegawai British. Kendatipun begitu, apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, perubahan demi perubahan telah berlaku dan jabatan hari ini telah melangkah lebih jauh dan memainkan peranan yang penting dalam mengawal pintu masuk negara serta memungut cukai-cukai tidak langsung yang mana hasil cukai itu digunakan untuk pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Peranan yang dimainkan oleh JKDM sebagai agensi pemunggut cukai negara begitu signifikan apabila JKDM berjaya menggutip cukai sebanyak lebih RM26 Billion sejak tahun 2000. Ini merupakan hasil dari penat lelah serta jerih payah warga JKDM yang bekerja keras sepanjang masa dalam melaksanakan amanah rakyat dan negara.

Hasil dari kutipan itulah digunakan untuk pembangunan negara serta memberi kemudahan kepada rakyat seperti membina sekolah, hospital, jalanraya dan sebagainya. Wawasan pemimpin jabatan yang lalu ingin melihat peranan JKDM penting sebagai agensi pemunggut cukai telah menjadi realitinya dan peranan yang dimainkan pada masa ini tidak perlu disangkal oleh mana-mana pihak.

Slogan atau tema Hari Kebangsaan iaitu Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera merupakan satu tema serta hala tuju yang jelas buat seluruh rakyat Malaysia. Di dalam maksudnya terungkap kata-kata, kitalah pemangkin transformasi negara. Maka sebagai warga jabatan dan pegawai kanan khususnya, marilah sama-sama kita mencorakkan halatuju serta masa depan kita dan bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemulian.

Ayuhlah kita sama-sama merealisasikan impian dan wawasan jabatan untuk menjadikan perkhidmatan Kastam Malaysia bertaraf Dunia Pada Tahun 2015. Matlamatnya tidak setakat itu saja, malah pegawai kanan Kastam juga perlu membuat pilihan serta mencorakkan masa depan dan halatuju mereka sendiri. Jabatan sudah pasti akan berbangga apabila melihat pegawai-pegawai Kanan Kastam bertaraf dunia dengan tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi.

Perkhidmatan Kastam Malaysia bertaraf dunia ditokok dengan barisan pegawai kanan bertaraf dunia merupakan satu lonjakan berganda buat jabatan dan harapan ini bukanlah satu omong-omong kosong sekiranya semua pihak berganding bahu dan berusaha bagi menunjangi kejayaan tersebut. Insyaallah

Mohd Hisham Mohd Nor.

No comments: