Tuesday, 31 December 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua rakan-rakan yang dikasihi sekelian,

2013 melabuhkan tirai dan 2014 kian menjelma. Azam baru menanti untuk direalisasikan. Harapan saya untuk melihat negara yang tercinta ini aman, makmur dan sejahtera. Mulakan berfikiran besar dari sekarang untuk mencapai apa jua yang di impikan. Jadilah orang yang berjaya kerana anda mampu mengubah diri anda dan lakukan mulai hari ini. 

Pada hari ini, masih ramai orang yang memulakan harinya dengan mengeluh dan bukannya kesyukuran. Orang yang berjaya tidak mengeluh kerana apabila mengeluh kita akan menarik lebih banyak emosi negatif ke dalam diri kita. Sekiranya anda bersyukur maka lebih banyak perkara positif yang akan masuk ke dalam diri dan kehidupan anda.

Selamat tahun baru 2014 kepada semua rakan-rakan yang saya hargai, moga persahabatan kita tetap utuh di masa mendatangkan. Saya mendoakan kesejahteraan dan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi pada tahun 2014.

Wassallam.


Sunday, 3 November 2013

PEMIMPIN SEPANJANG ZAMAN

Pada 31 Oktober 2013 yang lepas, genap 10 tahun Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir  Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4. Beliau bersara dari arena politik setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat selepas Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn. Pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh Malaysia dan beliau telah berjaya memartabatkan Malaysia di peringkat dunia. Beliau amat kenali diseluruh dunia khususnya umat islam di Asia Barat
 
Saya ingin berkongsi pengalaman seperti yang ditulis oleh Sdr. Zulkefli Hamzah di kolum Warung Rakyat, Mingguan Malaysia hari ini. Pada 2007, ketika beliau di Damsyik Syria, seorang peniaga di Bazar Souq Al-Hamidiya menyebut nama Mahathir apabila memperkenalkan dirinya dari Malaysia.
 
Pengalaman yang sama juga ditempuhi oleh saya ketika berada di Dubai, UAE pada tahun 2006 bersama pasukan bowling negara yang bertanding di Kejohanan Terbuka Dubai. Ketika saya membeli kebab di sebuah kedai di pinggir bandar dubai, saya yang ketika itu memakai baju 'tiger' Malaysia semamangnya mudah dikenali dan ayat pertama yang keluar dari mulut peniaga tersebut ialah Mahathir. Saya amat kagum dan bangga kerana mereka mengenali Malaysia kerana Mahathir dan bukannya mengenali Mahathir kerana Malaysia. Malah mereka masih menyatakan yang Mahathir masih Perdana Menteri walaupun telah 3 tahun bersara.
 
Begitu juga ketika di Doha, Qatar bersama pasukan bowling negara ke Sukan Asia 2006. Masih segar di ingatan saya ketika bersama kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Dato' A. Sani Karim selaku Chief de mission dan semasa kami berarak masuk ke dalam stadium Khalifa, salah seorang peminat telah menjerit nama Mahathir apa melihat kontinjen negara lalu menuju ke pintu masuk stadium.

Tun Mahathir Mohamad berjaya mencipta nama di mata dunia. Nama Mahathir menjadi sebutan di serata dunia dan beliau berjaya menjenamakan keperibadiannya sebagai pemimpin terulung di dunia. Sehingga hari ini beliau masih aktif memberi ucapan di dalam dan luar negara. Pandangan beliau sering dinantikan oleh pemimpin-pemimpin bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh pelusok dunia.

Beliau masih sibuk dengan jadual harian yang padat di Yayasan Kepimpinan walaupun sudah 10 tahun bersara. Umur beliau telah menjangkau 88 tahun tetapi masih aktif menulis dan pernah satu ketika apabila beliau dimasukkan ke hospital untuk rawatan, beliau meminta kertas dan pen untuk menulis walaupun doktor menasihatkan beliau untuk berehat.

Begitulah kisah hidup seorang negarawan yang amat dihormati oleh rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia. Kadangkala saya masih menganggap beliau masih Perdana Menteri Malaysia kerana keperibadian dan kepimpinan beliau menanggani pelbagai isu sememanganya tidak ada tolok bandingnya.

Moga beliau dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus memberi pandangan dan idea demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

MOHD HISHAM BIN MOHD NOR.

Saturday, 2 November 2013

CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)

Pada minggu lalu Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Bajet 2014 di parlimen. Saban tahun, rakyat dan komuniti perniagaan menantikan bulan Oktober dengan penuh harapan untuk mengetahui apakah pakej dan bantuan yang akan diberi oleh kerajaan.

Pada pembentangan bajet tersebut, Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga selaku Menteri Kewangan telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST pada 1 April 2015. Rakyat dan komuniti perniagaan mempunyai masa selama 17 bulan sebagai persediaan untuk menghadapi pelaksanaan GST.
 
Isu GST menjadi perbualan hangat dikalangan peniaga dan juga rakyat kerana ianya telah diperkatakan sejak tahun 2004 lagi. Pada Oktober 2004, Perdana Menteri ketika itu, Y.A.B Dato' Sri Abdullah Badwi(Kini Tun) telah mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan GST pada 1 Januari 2007. Namum pada 25 Januari 2006, Menteri Kewangan II pada ketika itu, Tan Sri Nor Yaacob telah membuat pengumuman yang mengejutkan iaitu GST ditangguhkan sehingga komuniti perniagaan bersedia sepenuhnya menghadapi GST.
 
Pada saat itu pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Panel Kajian Semula Cukai, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyebarkan maklumat lebih terperinci kepada peniaga tentang model dan mekanisme yang bakal akan di laksanakan di Malaysia. Konsultasi Awam telah diadaka pada setiap bulan bagi memberi kesedaran kepada peniaga tentang ciri penting GST dan kebaikan yang bakal diperolehi oleh peniaga. Kajian-kajian yang lebih terperinci telah dijalakankan untuk mendapat maklumbalas dari pihak peniaga dan seterusnya mengetahui apakah kehendak mereka sebelum GST dapat dilaksanakan.
 
Pada Disember 2009, dibawah pentadbiran Y.A.B Dato Sri Najib Tun Razak, beliau telah mengambil keputusan untuk membentangkan rang undang-undang GST di parlimen. Bacaan pertama telah dibentang oleh Y.B Dato' Seri Haji Ahmad Husni b. Mohamad Hanadzlah pada 16 Disember 2009. Namun begitu, bacaan kedua di parlimen yang dijadualkan pada April 2010 telah ditangguhkan dan rang undang-undang tersebut telah ditarik balik. Senario ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memberi ruang kepada peniaga untuk lebih bersedia dalam menghadapi GST.
 
GST bukan cukai yang baru, ia merupakan satu sistem percukaian yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah lama berkuatkuasa iaitu sejak awal tahun 1970an lagi. Cukai Jualan dikenakan pada kadar 5-10% manakala Cukai Perkhidmatan pada kadar 6%. Beberapa kelemahan yang ada pada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan perlu diatasi dan kerajaan telah mengambil langkah untuk mentranformasikan sistem percukaian negara.
 
GST merupakan cukai yang telah dilaksanakan di lebih dari 160 buah negara di serata dunia. Malaysia, Myanmar dan Brunei adalah dikalangan negara ASEAN yang belum lagi melaksanakan GST. Ianya merupakan satu sistem percukaian yang efisein dan telus seterusnya menguntungkan rakyat dan peniaga. Kerajaan pula telah mencadangkan ianya dikenakan pada kadar 6% dan ianya merupakan yang paling rendah di dunia.
 
Pada kesimpulannya, GST akan banyak membeli pulangan kepada rakyat. GST dari anda untuk anda merupakan slogan yang tepat kerana hasil yang diterima dari rakyat akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui insentif yang akan diberikan seperti BR1M, bantuan persekolahan serta lain-lain lagi. Harapan penulis adalah semoga rakyat akan lebih memahami GST melalui program kesedaran yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor
Pengerusi, Inspirasi Wawasan.

Friday, 1 November 2013

HAPPY DEEPAVALI

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh sahabat-sahabat yang menganut agama hindu. Semoga pesta cahaya pada tahun ini akan dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum yang berbilang bangsa serta menyemarakkan semangat Satu Malaysia.
 
MOHD HISHAM MOHD NOR.

Sunday, 20 October 2013

MENANTI SAAT AKHIR

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan budi bahasa serta mempunyai pebagai bangsa dan budaya yang telah di amalkan sejak merdeka lagi. Setiap tahun, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang terdiri dari pelbagai kaum seperti melayu, cina, inda, iban, kadazan, sikh dan lain-lain lagi. Keharmonian yang ada ini perlu dikekalkan demi kesejahteraan negara untuk makmur dan aman sentosa.
 
Namun begitu, di sebalik keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama, ada beberapa tabiat yang turut di amalkan dinegara kita. Tumpuan saya pada penulisan kali ini adalah untuk berkongsi dengan tabiat mengambil tindakan pada saat akhir. Seringkali kita mendengan ayat seperti ' Biasalah orang Malaysia' suka buat kerja saat akhir atau kadangkala di label sebagai 'Malaysian Style'.
 
Tabiat ini telah menjadi darah dan daging kepada hampir setiap rakyat Malaysia. Kita boleh lihat setiap kali kerajaan mengeluarkan sesuatu dasar atau keputusan berkaitan tempoh pembayaran atau pembaharuan seperti membayar saman, menukar kad pengenalan dan sebagainya, rakyat Malaysia sering mengambil pendekatan untuk melakukan perkara tersebut di saat akhir.
 
Saya masih ingat ketika Polis Diraja Malaysia menawarkan diskaun kepada saman yang dikeluarkan, kaunter-kaunter di pejabat Polis lenggang di peringkat awal. Sepatutnya mereka mengambil kesempatan untuk membayar awal kerana ketika itu ia amat mudah untuk membayar kerana tidak perlu menunggu lama.
 
Namun begitu, apabila tibanya waktu akhir atau tinggal sehari dua tamatnya tempoh pembayaran maka ketika itulah mereka 'kelam kabut' datang ke pejabat polis untuk membayar saman. Ketika itu juga mereka akan menyalahkan pihak berkuasa kerana terpaksa menunggu lama dan menuduh sistem kaunter yang lemah dan tidak berkualiti.
 
Di sinilah yang ingin saya persoalkan, mengapa rakyat Malaysia suka menunggu di saat akhir untuk mengambil tindakan. Adakah mereka terlalu sibuk denga tugas harian sehingga membuatkan mereka terpaksa melengahkan masa untuk bertindak.
 
Secara kesimpulannya tabiat melakukan kerja saat akhir ini adalah kerana sikap dan tabiat yang di amalkan sejak berkurun lamanya. Sikap ini perlu dikikis dan kita perlu membentuk generasi yang akan datang agar lebih aktif dan progresif.
 
hisham nor.

Tuesday, 15 October 2013

INSPIRASI WAWASAN

Persatuan Inspirasi Wawasan Kuala Lumpur atau lebih di kenali sebagai Inspirasi Wawasan(IW) adalah merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan nombor pendaftaran PPM-001-13052013. Inspirasi Wawasan sebagai badan bukan kerajaan atau NGO ini telah didaftar dengan rasminya pada 13 Mei 2013.

Matlamat utama Inspirasi Wawasan adalah memberi inspirasi kepada pelajar sekolah tentang kejayaan dan kecemerlangan dalam pendidikan. Fokus utama adalah tertumpu kepada pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah khususnya di luar bandar. Pelajar di luarbandar mempunyai peluang yang terhad untuk mendapatkan khidmat nasihat serta menyertai program motivasi. Lantaran dari itu, IW cuba mengenal pasti sekolah di kawasan luar bandar untuk mengadakan program inspirasi4u. Program inspirasi4u merupakan produk utama dalam menjenamakan Inspirasi Wawasan ke peringkat nasional.

Disamping itu, Inspirasi Wawasan juga mengadakan aktiviti kebajikan seperti program berbuka puasa dan memberi sumbangan kepada rumah anak yatim serta mengatur dan menganjurkan program lawatan sambil belajar untuk anak-anak yatim. Pihak Inspirasi Wawasan telah mengatur serta mengenalpasti rumah anak yatim yang baru serta kurang mendapat perhatian dari pihak tertentu.

Inspirasi Wawasan juga berperanan dalam mempromosi sukan-sukan tertentu dengan menganjurkan pertandingan. Sebagai contoh Ultra-Marathon agak asing kepada peminat sukan larian. Ia agak popular di Eropah dan Amerika yang mana pelari akan berlari sejauh 100 batu atau 100 km bagi satu tempoh masa yang ditetapkan.Beberapa sukan lain juga akan cuba diketengahkan dengan menganjurkan pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Adalah menjadi harapan agar Inspirasi Wawasan mendapat kerjasama dan sokongan khususnya penajaan dari syarikat korporat dan orang perseorangan.

Pengerusi
Inspirasi Wawasan

Monday, 14 October 2013

SALAM AIDIL ADHA 1434 HIJRAH

Salam kepada semua rakan khususnya umat islam,

Salam Aidil Adha buat seluruh umat islam di saentero dunia. Semoga dapat melaksanakan ibadah korban dengan sempurna. Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."    (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Wassalam.

PENJENAMAAN SEMULA BLOG

Salam semua rakan blogger,

Sesuatu yang lama memerlukan pembaharuan. Ini bermaksud perubahan perlu dilakukakan dari masa ke semasa tidak kira kepada diri anda, keluarga atau organisasi. Ini kerana perubahan juga akan merpertingkatkan prestasi ke arah kejayaan. Anda tidak boleh berdiri di dalam zon yang selesa terlalu lama kerana kelak prestasi akan merundum. Oleh yang demikian dengan melakukan perubahan serta dalam persekitaran yang baru akan meningkatkan lagi prestasi khususnya dalam pembangunan diri, keluarga dan organisasi.

Merentasi Masa Merintis Perubahan merupakan penulisan awal saya. Kini blog hishambowling telah merentasi masa selama 6 tahun. Maka sudah tiba masanya untuk merintis perubahan. Penjenamaan semula blog ini kepada inspirasi4u merupakan episod baru dalam kehidupan saya. Aktiviti Bowling masih lagi menjadi darah dan daging dalam perjuangan kesukanan. Namun meneroka dan memahami plot yang baru merupakan satu anjakan yang perlu bagi memantapkan ilmu.

Mengambil kata-kata Blogger Kak Yah di enrti saya terdahulu, 'Jangan disia-siakan bakat yang ada, nanti kalau ditarik semula camner?' membuatkan saya terpanggil untuk menulis semula. Bukan mudah untuk kembali konsisten dalam penulisan dan sokongan dari rakan-rakan blogger yang lain akan memberi inspirasi kepada saya untuk menggiatkan semula aktiviti ini.

Aktiviti bertemu pelajar melalui Inspirasi Wawasan akan banyak memberi ruang dan idea untuk menulis dan seterusnya memberi inspirasi kepada mereka. Medium ini merupakan medan yang terbaik untuk berkongsi maklumat khususnya berkaitan ilmu. Jauhkan diri dari maklumat yang songsang dan boleh merosakkan minda anda.

Selamat melayari inspirasi4u dan membaca catatan dan enrti yang mendatang.

Sekian, wasallam.

Pengerusi
Inspirasi Wawasan