Saturday, 2 November 2013

CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)

Pada minggu lalu Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Bajet 2014 di parlimen. Saban tahun, rakyat dan komuniti perniagaan menantikan bulan Oktober dengan penuh harapan untuk mengetahui apakah pakej dan bantuan yang akan diberi oleh kerajaan.

Pada pembentangan bajet tersebut, Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga selaku Menteri Kewangan telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST pada 1 April 2015. Rakyat dan komuniti perniagaan mempunyai masa selama 17 bulan sebagai persediaan untuk menghadapi pelaksanaan GST.
 
Isu GST menjadi perbualan hangat dikalangan peniaga dan juga rakyat kerana ianya telah diperkatakan sejak tahun 2004 lagi. Pada Oktober 2004, Perdana Menteri ketika itu, Y.A.B Dato' Sri Abdullah Badwi(Kini Tun) telah mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan GST pada 1 Januari 2007. Namum pada 25 Januari 2006, Menteri Kewangan II pada ketika itu, Tan Sri Nor Yaacob telah membuat pengumuman yang mengejutkan iaitu GST ditangguhkan sehingga komuniti perniagaan bersedia sepenuhnya menghadapi GST.
 
Pada saat itu pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Panel Kajian Semula Cukai, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyebarkan maklumat lebih terperinci kepada peniaga tentang model dan mekanisme yang bakal akan di laksanakan di Malaysia. Konsultasi Awam telah diadaka pada setiap bulan bagi memberi kesedaran kepada peniaga tentang ciri penting GST dan kebaikan yang bakal diperolehi oleh peniaga. Kajian-kajian yang lebih terperinci telah dijalakankan untuk mendapat maklumbalas dari pihak peniaga dan seterusnya mengetahui apakah kehendak mereka sebelum GST dapat dilaksanakan.
 
Pada Disember 2009, dibawah pentadbiran Y.A.B Dato Sri Najib Tun Razak, beliau telah mengambil keputusan untuk membentangkan rang undang-undang GST di parlimen. Bacaan pertama telah dibentang oleh Y.B Dato' Seri Haji Ahmad Husni b. Mohamad Hanadzlah pada 16 Disember 2009. Namun begitu, bacaan kedua di parlimen yang dijadualkan pada April 2010 telah ditangguhkan dan rang undang-undang tersebut telah ditarik balik. Senario ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memberi ruang kepada peniaga untuk lebih bersedia dalam menghadapi GST.
 
GST bukan cukai yang baru, ia merupakan satu sistem percukaian yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah lama berkuatkuasa iaitu sejak awal tahun 1970an lagi. Cukai Jualan dikenakan pada kadar 5-10% manakala Cukai Perkhidmatan pada kadar 6%. Beberapa kelemahan yang ada pada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan perlu diatasi dan kerajaan telah mengambil langkah untuk mentranformasikan sistem percukaian negara.
 
GST merupakan cukai yang telah dilaksanakan di lebih dari 160 buah negara di serata dunia. Malaysia, Myanmar dan Brunei adalah dikalangan negara ASEAN yang belum lagi melaksanakan GST. Ianya merupakan satu sistem percukaian yang efisein dan telus seterusnya menguntungkan rakyat dan peniaga. Kerajaan pula telah mencadangkan ianya dikenakan pada kadar 6% dan ianya merupakan yang paling rendah di dunia.
 
Pada kesimpulannya, GST akan banyak membeli pulangan kepada rakyat. GST dari anda untuk anda merupakan slogan yang tepat kerana hasil yang diterima dari rakyat akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui insentif yang akan diberikan seperti BR1M, bantuan persekolahan serta lain-lain lagi. Harapan penulis adalah semoga rakyat akan lebih memahami GST melalui program kesedaran yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor
Pengerusi, Inspirasi Wawasan.

No comments: