Sunday, 3 November 2013

PEMIMPIN SEPANJANG ZAMAN

Pada 31 Oktober 2013 yang lepas, genap 10 tahun Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir  Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4. Beliau bersara dari arena politik setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat selepas Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn. Pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh Malaysia dan beliau telah berjaya memartabatkan Malaysia di peringkat dunia. Beliau amat kenali diseluruh dunia khususnya umat islam di Asia Barat
 
Saya ingin berkongsi pengalaman seperti yang ditulis oleh Sdr. Zulkefli Hamzah di kolum Warung Rakyat, Mingguan Malaysia hari ini. Pada 2007, ketika beliau di Damsyik Syria, seorang peniaga di Bazar Souq Al-Hamidiya menyebut nama Mahathir apabila memperkenalkan dirinya dari Malaysia.
 
Pengalaman yang sama juga ditempuhi oleh saya ketika berada di Dubai, UAE pada tahun 2006 bersama pasukan bowling negara yang bertanding di Kejohanan Terbuka Dubai. Ketika saya membeli kebab di sebuah kedai di pinggir bandar dubai, saya yang ketika itu memakai baju 'tiger' Malaysia semamangnya mudah dikenali dan ayat pertama yang keluar dari mulut peniaga tersebut ialah Mahathir. Saya amat kagum dan bangga kerana mereka mengenali Malaysia kerana Mahathir dan bukannya mengenali Mahathir kerana Malaysia. Malah mereka masih menyatakan yang Mahathir masih Perdana Menteri walaupun telah 3 tahun bersara.
 
Begitu juga ketika di Doha, Qatar bersama pasukan bowling negara ke Sukan Asia 2006. Masih segar di ingatan saya ketika bersama kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Dato' A. Sani Karim selaku Chief de mission dan semasa kami berarak masuk ke dalam stadium Khalifa, salah seorang peminat telah menjerit nama Mahathir apa melihat kontinjen negara lalu menuju ke pintu masuk stadium.

Tun Mahathir Mohamad berjaya mencipta nama di mata dunia. Nama Mahathir menjadi sebutan di serata dunia dan beliau berjaya menjenamakan keperibadiannya sebagai pemimpin terulung di dunia. Sehingga hari ini beliau masih aktif memberi ucapan di dalam dan luar negara. Pandangan beliau sering dinantikan oleh pemimpin-pemimpin bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh pelusok dunia.

Beliau masih sibuk dengan jadual harian yang padat di Yayasan Kepimpinan walaupun sudah 10 tahun bersara. Umur beliau telah menjangkau 88 tahun tetapi masih aktif menulis dan pernah satu ketika apabila beliau dimasukkan ke hospital untuk rawatan, beliau meminta kertas dan pen untuk menulis walaupun doktor menasihatkan beliau untuk berehat.

Begitulah kisah hidup seorang negarawan yang amat dihormati oleh rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia. Kadangkala saya masih menganggap beliau masih Perdana Menteri Malaysia kerana keperibadian dan kepimpinan beliau menanggani pelbagai isu sememanganya tidak ada tolok bandingnya.

Moga beliau dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus memberi pandangan dan idea demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

MOHD HISHAM BIN MOHD NOR.

No comments: