Saturday, 30 August 2014

SEMANGAT KEMERDEKAAN

1.  Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan ke 57 pada 31 ogos 2014. Apa yang menarik tema hari kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia...Disini Lahirnya Sebuah Cinta yang merupakan petikan dari lagu allahyarham Sudirman Hj Arshad dalam album Warisan.

2.  Tahun ini merupakan tahun yang menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia kerana beberapa insiden atau kejadian yang menyayat hati berlaku tanpa di duga. Kehilangan MH 370 sewaktu melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal tahun telah merentap dan menyentap perasaan seluruh rakyat di tanahair. Sehingga hari ini kehilangannya menjadi misteri dan misi pencarian masih tetap diteruskan.

3.  Belum reda dengan kehilangan MH 370, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian yang tidak di duga sama sekali iaitu pesawat Penerbangan Malaysia MH 17 yang telah terhempas di Wilayah Ukraine dipercayai ditembak oleh peluru berpandu sewaktu melakukan penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan telah mengorbankan  298 penumpang termasuk  43 rakyat Malaysia.

4. Apakah ertinya Kemerdekaan ke-57 ini? Malaysia...Disini Lahirnya Sebuah Cinta dipilih sebagai tema hari kemerdekaan pada tahun ini. Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pucuk pimpinan negara di saat negara ditimpa pelbagai musibah. Adakah jatidiri rakyat Malaysia ini sudah cukup untuk bersatu dan adakah rakyat Malaysia telah bersedia untuk menggamit cita-cita mendepani kelok mencapai negara maju.

5. Seperti yang saya tulis dalam entri sebelum ini, kita hanya menyebut cintakan negara, tetapi pada hakikat penghayatannya adalah begitu nipis sekali.

6.  Saya masih ingat ketika berada di Kota Bangkok pada tahun 2007 sewaktu menyertai temasya Sukan SEA. Ketika berjalan dan menaiki skytrain untuk menuju ke pusat membeli belah MBK, secara tiba-tiba rakyatnya yang sedang sibuk berjalan berhenti seketika dan rupanya mereka menghormati lagu kebangsaan yang berkumandang melalui corong speaker di setia sudut. Ianya menjadi amalan iaitu lagu kebangsaan akan dimainkan pada jam 7 malam setiap hari. Inilah contoh rakyat yang taat setia kepada raja dan negara. Dalam erti kata lain, semangat cintakan tanahair.

7.  Perutusan hari kemerdekaan oleh Y.A.B Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia menggariskan 3 amanat penting iaitu-
  a.  Mengukuhkan soladariti rakyat Malaysia untuk berdepan dengan kedukaan.    
     Seluruh rakyat Malaysia bersatu dan bersama dalam menghadapi kedukaan  
      seperti kejadian MH 17.
b.  Memupuk keyakinan untuk mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai   
     sebuah negara bangsa. Cita-cita yang membawa negara kea rah  
     kecemerlangan
c. Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera. Walauapapun ujian  
    melintang, terus mara kedepan untuk anak dan cucu. Rakyat Malaysia sama- 
    sama berusaha gigih menggapai kejayaan.

Oleh itu, marilah kita semarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan jalur gemilang. Panji negara berkibar gemilang di negara kecil yang berjiwa besar. Mengukuhkan ikatan dan merealisasikan impian, Selamat Hari Kemerdekaan.


Hisham Nor.

Friday, 15 August 2014

SEJARAH BANGSA DAN TANAHAIR

1.      Negara kita diambang menyambut hari kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos 2014. Tema yang dipilih pada tahun ini adalah ‘Malaysia… Disini Lahirnya Sebuah Cinta’ dan tema ini dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Hj. Arshad.

2.        Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menyemai serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam diri setiap rakyat Malaysia.

3    Persoalannya adakah telah lahirnya cinta pada diri setiap warganegara Malaysia dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan. Rata-rata mereka hanya faham kemerdekaan adalah cintakan Negara.

4.     Saya bersetuju dengan cadangan Tan Sri Arshad Ayub, Pro-Canselor UiTM yang juga merupakan Pengarah ITM yang pertama. Beliau mencadangkan matapelajaran sejarah dijadikan subjek wajib dalam modul pendidikan Negara.

5.     Sejarah Malaysia kian dilupakan oleh sebilangan masyarakat di negara ini. Sejarah perjuangan nenek moyang pada satu ketika dahulu dipertikaikan oleh anak bangsa sendiri.

6.     Golongan belia dan remaja pada hari ini pula hanya belajar sejarah tetapi tidak menghayati sepenuhnya. Mereka lupa dengan sejarah perjuangan yang lampau kerana pada mereka, semuanya telah dimiliki. Golongan ini tidak kenal erti kepayahan hidup yang di alami oleh nenek moyang mereka kerana mereka berada dalam keadaan yang selesa dan negara  sedang membangun manakala ekonomi pula berkembang pesat.

7.      Rukun Negara yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara sebagai ideologi kebangsaan, sememangnya tidak dihayati oleh pelajar mahu pun rakyat di negara ini.

8.      Kepercayaan kepada tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan tidak lagi menjadi tonggak perpaduan yang dijunjung sejak sekian lama.

9.  Apabila sejarah dan rukun negara tidak di hayati sepenuhnya, maka ia mengundang pelbagai masalah. Tindakan menghina, mengutuk, mengkritik sesuatu bangsa atau mempersoalkan isu yang di labelkan sensitif seperti kedaulatan sultan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial membawa keburukan kepada negara.


10.  Kendatipun begitu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah sewajarnya kerana pendidikan sejarah itu penting dalam mendidik pelajar diperingkat rendah untuk mengenali sejarah negara dan bangsanya. Selagi ia tidak dijadikan matapelajaran wajib, golongan pelajar ini akan mengambil sikap sambil lewa untuk memahami sejarah.

11. Usaha yang dilakukan nanti pasti akan mendidik anak-anak bangsa lebih mengenali sejarah perjuangan nenek moyang dalam menegakkan kemerdekaan dan yang paling penting tahu menghormati bangsa lain.

Hisyam Nor.


Tuesday, 12 August 2014

EKONOMI DAN BANGSA

1.  Jurang perbezaan dalam penguasaan ekonomi antara kaum masih lagi menjadi ancaman besar di negara ini. Penguasaan orang melayu dalam ekonomi masih ketinggalan walaupun pelbagai pakej dan bantuan telah dihulurkan oleh kerajaan.

2. Melalui Dasar Ekonomi Baru yang di perkenalkan pada tahun 1970an, kaum bumiputera mendapat perhatian kerajaan di dalam hampir semua perancangan pembangunan. Namun sehingga kini, berbaki enam tahun lagi Malaysia untuk mencapai wawasan negara maju pada tahun 2020, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh bumiputera itu sendiri dalam memajukan ekonomi.

3.  Saya terbaca artikel bertajuk 'Jadi Kaya untuk Kelansungan ekonomi, bangsa' yang di tulis oleh Mohamad Abdullah, Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor USM. Dua topik yang menarik perhatian saya ialah didik masyarakat jadi kaya dan anjakan pemikiran, tindakan.

4.  Ketika ini banyak program atau kursus yang dianjurkan oleh pihak swasta atau persendirian dalam memberi latihan kepada masyarakat tentang bagaimana hendak memulakan perniagaan, membuat pemasaran, pengedaran dan sebagainya. Secara amnya ianya dianjurkan pada hujung minggu bagi memudahkan mereka yang bekerja dan berkeinginan untuk menambah pendapatan melalui berniaga secara sambilan dapat mengikuti program ini.

5.  Banyak ruang dan peluang yang perlu direbut khususnya warga kota yang mana program tersebut banyak diadakan di Kuala Lumpur. Program tersebut mendidik masyarakat untuk berjaya dan menjadi kaya melalui perniagaan khususnya kepada kaum melayu. Ianya perkongsian idea atau kejayaan yang telah di alami oleh jurulatih atau penceramah itu sendiri yang terdiri dari orang melayu. Mereka ini menjadi ikon untuk dorongan kepada yang lain untuk turut sama berjaya.

6.   Jurang penguasaan ekonomi ini dapat dikurang atau dirapatkan dari tahun ke tahun sekiranya masyarakat melayu mengambil pendekatan positif. Ilmu adalah merupakan perkara pokok sebelum melakukan sesuatu aktiviti seperti perniagaan kerana tanpa ilmu mana mungkin individu itu akan berjaya. Persoalannya berapa ramai di kalangan masyarakat kita yang mahu menimba ilmu. Sudah pasti untuk mendapatkan ilmu, kita perlu mengeluarkan modal dan tidak ramai di kalangan masyarakat kita pada hari ini yang berkesanggupan untuk berbuat demikian.

7.  Peluang untuk mendapatkan ilmu itu terbuka luas. Tepuk dada tanyalah selera, apakah halatuju kita. Kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan dan pakej pinjaman untuk berniaga. Misalannya Majlis Amanah Rakyat, menyediakan pinjaman dan latihan kepada bumiputera untuk mejalankan perniagaan. Dari titik itulah, seseorang itu perlu bekerja keras dan belajar dari pengalaman sebelum melangkah lebih jauh.

8.  Namun begitu, sesetengah masyarakat mempunyai sikap yang negatif dan hanya tahu mencari kesalahan dan segala yang buruk. Mereka sering menyalahkan kerajaan kerana tidak memberi bantuan, pilih kasih atau sebagainya. Apabila harga barang naik, mereka menyalahkan kerajaan atas dasar ketidakcekapan kepimpinan dan seterusnya mahukan perubahan dalam pimpinan kerajaan.

9.  Namun begitu, mereka tidak sedar bahawa, perubahan itu perlu dilakukan oleh mereka sendiri. Mereka perlu berfikir dengan lebih luas dan terbuka dalam menangani isu ini. Mereka harus memikirkan tentang bagaimana hendak menambahbaik ekonomi mereka sendiri dan apakah peluang yang ada untuk direbut. 

10. Kewujudan media sosial menambah buruk lagi keadaan dengan penyebaran maklumat palsu dan negatif. Masyarakat ini mudah saja menerima maklumat yang tidak benar dan situasi ini boleh merosakkan bangsa itu sendiri dalam tempoh jangka panjang. 

11. Anjakan pemikiran amat perlu kepada masyarakat melayu untuk terus berjaya dan bersaing dalam bidang ekonomi. Sikap dan pemikiran yang positif perlu diterap agar mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menjana kekayaan secara beretika. Peluang itu ada di mana sahaja asalkan ada kemahuan untuk terus maju dan berjaya.

Hisyam Nor.

Monday, 4 August 2014

SASARAN 7 EMAS GAGAL

1.  Misi kontinjen negara ke Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland untuk mendapat 7 pingat emas gagal apabila Malaysia hanya mampu menamatkan Sukan Komanwel 2014 dengan 6 pingat emas. Ianya adalah merupakan pungutan pingat yang terendah dalam 4 edisi Sukan Komanwel sebelum ini.

2. Untuk rekod, Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun 1998, negara meraih 10 pingat emas, diikuti Sukan Komanwel di Manchester pada 2002 dengan 7 emas, Melbourne pada tahun 2006 dengan 7 emas dan New Delhi tahun 2010 dengan 12 emas.

3. Sukan angkat berat, badminton, squash dan terjun telah menghadiahkan emas buat negara. Namun sandaran Malaysia menerusi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandalela Rinong nampak tidak menjadi pada temasya kali ini setelah anak kelahiran Sarawak itu hanya meraih pingat perak.

4.  Skuad terjun negara mempunyai peluang untuk meraih lebih banyak pingat emas pada Sukan Komanwel kali ini dan harapan untuk melihat Tze Liang meraih emas gagal apabila beliau sekadar mampu meraih pingat perak dalam acara akhir 10m platform lelaki.

5. Pada satu majlis di Kuala Lumpur tengahari tadi, Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah ditanya oleh sekumpulan wartawan tentang kegagalan atlet Malaysia mencapai sasaran tujuh emas. Beliau memaklumkan bahawa atlet negara telah mencuba yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka. 

6. Dimaklumkan juga, Kementerian Belia dan Sukan akan melakukan 'post-mortem' bagi mengenalpasti punca kegagalan atlet Malaysia mencapai sasaran tersebut. Ianya penting bagi atlet mempersiapkan diri sebelum ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 18 September hingga 27 Oktober 2014.

7. Para atlet sendiri juga perlu menilai pencapaian mereka dan melihat kelemahan yang perlu diatasi dengan segera kerana masa agak singkat sebelum menghadapi saingan di Sukan Asia nanti. Mereka perlu melipat gandakan usaha serta latihan bagi memastikan pencapaian negara di Sukan Asia pada kali ini adalah yang terbaik buat mereka dan negara.

Hisham Nor.

TRANSFORMASI PROGRAM KEJURULATIHAN

1. Kenyataan Mohd Hafifi Mansor, pemenang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel edisi ke-20 menarik perhatian saya iaitu program kejurulatihan perlu diperbaiki.

2. Isu ini seringkali dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang ingin melihat kemajuan sukan di negara ini. Setiap kali ianya diketengahkan, ada pihak-pihak yang tidak berpuashati dan tidak kurang juga yang menyokong. Walaubagaimanapun, ianya perlu diberi perhatian yang serius jika hendak melihat negara ini maju dalam bidang sukan atau setaraf dengan negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea dan China.

3. Seperti yang kita sedia maklum, persatuan sukan di negara ini telah wujud sejak zaman merdeka lagi. Sememangnya di awal zaman kemerdekaan, negara kita adalah antara kuasa besar dalam sukan tertentu seperti bolasepak, Hoki dan badminton. Namun kecemerlangannya beransur merosot dan kegemilangan tersebut telah diambilalih oleh negara lain seperti Korea dan Jepun. 

4. Sukan hoki adalah merupakan salah satu sukan pilihan untuk menuai pingat emas di Sukan Komanwel ke-XX. Namun begitu, skuad hoki negara telah mencipta sejarah baru apabila tewas kepada sebuah pasukan atau negara yang baru berjinak dengan sukan hoki iaitu Trinidad & Tobago. Skuad hoki negara dilihat dalam keadaan terumbang ambing setelah ditinggalkan oleh jurulatih Paul Revington dan diambilalih oleh jurulatih tempatan.

5. Apa yang ingin saya beri perhatian adalah sistem kejurulatihan yang di amalkan di negara ini tanpa mengira apa jua jenis sukan. Negara ini mempunyai ramai jurulatih yang berkaliber dan ada diantaranya boleh diiktirafkan sebagai bertaraf dunia. 

6. Apa yang perlu dilakukan adalah mengemaskini program latihan dari masa ke semasa. Pemain perlu didedahkan kepada teknik terkini atau kaedah yang terbaru dalam sukan tertentu. Seperti yang disebut oleh Mohd Hafifi Mansor, program kejurulatihan lama dari Bulgaria adalah tidak relevan lagi kerana program dari China, Rusia dan Kazakhstan telah maju di peringkat dunia.

7. Saya berpandangan jurulatih asing atau dari luar negara masih lagi diperlukan bagi membantu pembangunan sukan di negara ini. Khidmat jurulatih luarnegara ini banyak membantu kepada pembangunan sukan negara. Mungkin salah satu sebabnya adalah kerana banyak kajian-kajian telah dilakukan oleh barat khususnya dalam sains sukan.

8. Disamping itu, jurulatih tempatan perlu lebih pro-aktif serta mempelajari dan mendalami sesuatu kaedah dengan pantas. Mereka perlu rajin membuat kajian sendiri berdasarkan data-data sewaktu latihan serta pencapaian di peringkat kejohanan. Mereka perlu berani mencuba sesuatu teknik yang baru untuk diterapkan kepada pemain.

9. Tugas seorang jurulatih bukan lah mudah kerana ianya memerlukan pemikiran yang strategik dan mendapat maklumat terkini dalam aspek kejurulatihan. Tambahan pula ramai dikalangan atlet pada masa ini adalah dikalangan generasi Y yang mana mereka berani memberi pandangan serta didedahkan dengan teknologi semasa. 

10. Oleh yang demikian, badan-badan sukan yang menguruskan sukan di negara ini perlu mengambil perhatian yang serius dengan program kejurulatihan. Kajian perlu dilakukan pada setiap masa dalam mengenalpasti apakah program yang sesuai pada masa kini dan kejayaan negara mana yang perlu dilihat sebagai penanda aras atau benchmarking.

Hisham Nor.