Tuesday, 12 August 2014

EKONOMI DAN BANGSA

1.  Jurang perbezaan dalam penguasaan ekonomi antara kaum masih lagi menjadi ancaman besar di negara ini. Penguasaan orang melayu dalam ekonomi masih ketinggalan walaupun pelbagai pakej dan bantuan telah dihulurkan oleh kerajaan.

2. Melalui Dasar Ekonomi Baru yang di perkenalkan pada tahun 1970an, kaum bumiputera mendapat perhatian kerajaan di dalam hampir semua perancangan pembangunan. Namun sehingga kini, berbaki enam tahun lagi Malaysia untuk mencapai wawasan negara maju pada tahun 2020, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh bumiputera itu sendiri dalam memajukan ekonomi.

3.  Saya terbaca artikel bertajuk 'Jadi Kaya untuk Kelansungan ekonomi, bangsa' yang di tulis oleh Mohamad Abdullah, Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor USM. Dua topik yang menarik perhatian saya ialah didik masyarakat jadi kaya dan anjakan pemikiran, tindakan.

4.  Ketika ini banyak program atau kursus yang dianjurkan oleh pihak swasta atau persendirian dalam memberi latihan kepada masyarakat tentang bagaimana hendak memulakan perniagaan, membuat pemasaran, pengedaran dan sebagainya. Secara amnya ianya dianjurkan pada hujung minggu bagi memudahkan mereka yang bekerja dan berkeinginan untuk menambah pendapatan melalui berniaga secara sambilan dapat mengikuti program ini.

5.  Banyak ruang dan peluang yang perlu direbut khususnya warga kota yang mana program tersebut banyak diadakan di Kuala Lumpur. Program tersebut mendidik masyarakat untuk berjaya dan menjadi kaya melalui perniagaan khususnya kepada kaum melayu. Ianya perkongsian idea atau kejayaan yang telah di alami oleh jurulatih atau penceramah itu sendiri yang terdiri dari orang melayu. Mereka ini menjadi ikon untuk dorongan kepada yang lain untuk turut sama berjaya.

6.   Jurang penguasaan ekonomi ini dapat dikurang atau dirapatkan dari tahun ke tahun sekiranya masyarakat melayu mengambil pendekatan positif. Ilmu adalah merupakan perkara pokok sebelum melakukan sesuatu aktiviti seperti perniagaan kerana tanpa ilmu mana mungkin individu itu akan berjaya. Persoalannya berapa ramai di kalangan masyarakat kita yang mahu menimba ilmu. Sudah pasti untuk mendapatkan ilmu, kita perlu mengeluarkan modal dan tidak ramai di kalangan masyarakat kita pada hari ini yang berkesanggupan untuk berbuat demikian.

7.  Peluang untuk mendapatkan ilmu itu terbuka luas. Tepuk dada tanyalah selera, apakah halatuju kita. Kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan dan pakej pinjaman untuk berniaga. Misalannya Majlis Amanah Rakyat, menyediakan pinjaman dan latihan kepada bumiputera untuk mejalankan perniagaan. Dari titik itulah, seseorang itu perlu bekerja keras dan belajar dari pengalaman sebelum melangkah lebih jauh.

8.  Namun begitu, sesetengah masyarakat mempunyai sikap yang negatif dan hanya tahu mencari kesalahan dan segala yang buruk. Mereka sering menyalahkan kerajaan kerana tidak memberi bantuan, pilih kasih atau sebagainya. Apabila harga barang naik, mereka menyalahkan kerajaan atas dasar ketidakcekapan kepimpinan dan seterusnya mahukan perubahan dalam pimpinan kerajaan.

9.  Namun begitu, mereka tidak sedar bahawa, perubahan itu perlu dilakukan oleh mereka sendiri. Mereka perlu berfikir dengan lebih luas dan terbuka dalam menangani isu ini. Mereka harus memikirkan tentang bagaimana hendak menambahbaik ekonomi mereka sendiri dan apakah peluang yang ada untuk direbut. 

10. Kewujudan media sosial menambah buruk lagi keadaan dengan penyebaran maklumat palsu dan negatif. Masyarakat ini mudah saja menerima maklumat yang tidak benar dan situasi ini boleh merosakkan bangsa itu sendiri dalam tempoh jangka panjang. 

11. Anjakan pemikiran amat perlu kepada masyarakat melayu untuk terus berjaya dan bersaing dalam bidang ekonomi. Sikap dan pemikiran yang positif perlu diterap agar mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menjana kekayaan secara beretika. Peluang itu ada di mana sahaja asalkan ada kemahuan untuk terus maju dan berjaya.

Hisyam Nor.

No comments: