Monday, 4 August 2014

SASARAN 7 EMAS GAGAL

1.  Misi kontinjen negara ke Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland untuk mendapat 7 pingat emas gagal apabila Malaysia hanya mampu menamatkan Sukan Komanwel 2014 dengan 6 pingat emas. Ianya adalah merupakan pungutan pingat yang terendah dalam 4 edisi Sukan Komanwel sebelum ini.

2. Untuk rekod, Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun 1998, negara meraih 10 pingat emas, diikuti Sukan Komanwel di Manchester pada 2002 dengan 7 emas, Melbourne pada tahun 2006 dengan 7 emas dan New Delhi tahun 2010 dengan 12 emas.

3. Sukan angkat berat, badminton, squash dan terjun telah menghadiahkan emas buat negara. Namun sandaran Malaysia menerusi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandalela Rinong nampak tidak menjadi pada temasya kali ini setelah anak kelahiran Sarawak itu hanya meraih pingat perak.

4.  Skuad terjun negara mempunyai peluang untuk meraih lebih banyak pingat emas pada Sukan Komanwel kali ini dan harapan untuk melihat Tze Liang meraih emas gagal apabila beliau sekadar mampu meraih pingat perak dalam acara akhir 10m platform lelaki.

5. Pada satu majlis di Kuala Lumpur tengahari tadi, Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah ditanya oleh sekumpulan wartawan tentang kegagalan atlet Malaysia mencapai sasaran tujuh emas. Beliau memaklumkan bahawa atlet negara telah mencuba yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka. 

6. Dimaklumkan juga, Kementerian Belia dan Sukan akan melakukan 'post-mortem' bagi mengenalpasti punca kegagalan atlet Malaysia mencapai sasaran tersebut. Ianya penting bagi atlet mempersiapkan diri sebelum ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 18 September hingga 27 Oktober 2014.

7. Para atlet sendiri juga perlu menilai pencapaian mereka dan melihat kelemahan yang perlu diatasi dengan segera kerana masa agak singkat sebelum menghadapi saingan di Sukan Asia nanti. Mereka perlu melipat gandakan usaha serta latihan bagi memastikan pencapaian negara di Sukan Asia pada kali ini adalah yang terbaik buat mereka dan negara.

Hisham Nor.

No comments: