Friday, 15 August 2014

SEJARAH BANGSA DAN TANAHAIR

1.      Negara kita diambang menyambut hari kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos 2014. Tema yang dipilih pada tahun ini adalah ‘Malaysia… Disini Lahirnya Sebuah Cinta’ dan tema ini dipetik daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Hj. Arshad.

2.        Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menyemai serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam diri setiap rakyat Malaysia.

3    Persoalannya adakah telah lahirnya cinta pada diri setiap warganegara Malaysia dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan. Rata-rata mereka hanya faham kemerdekaan adalah cintakan Negara.

4.     Saya bersetuju dengan cadangan Tan Sri Arshad Ayub, Pro-Canselor UiTM yang juga merupakan Pengarah ITM yang pertama. Beliau mencadangkan matapelajaran sejarah dijadikan subjek wajib dalam modul pendidikan Negara.

5.     Sejarah Malaysia kian dilupakan oleh sebilangan masyarakat di negara ini. Sejarah perjuangan nenek moyang pada satu ketika dahulu dipertikaikan oleh anak bangsa sendiri.

6.     Golongan belia dan remaja pada hari ini pula hanya belajar sejarah tetapi tidak menghayati sepenuhnya. Mereka lupa dengan sejarah perjuangan yang lampau kerana pada mereka, semuanya telah dimiliki. Golongan ini tidak kenal erti kepayahan hidup yang di alami oleh nenek moyang mereka kerana mereka berada dalam keadaan yang selesa dan negara  sedang membangun manakala ekonomi pula berkembang pesat.

7.      Rukun Negara yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara sebagai ideologi kebangsaan, sememangnya tidak dihayati oleh pelajar mahu pun rakyat di negara ini.

8.      Kepercayaan kepada tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan tidak lagi menjadi tonggak perpaduan yang dijunjung sejak sekian lama.

9.  Apabila sejarah dan rukun negara tidak di hayati sepenuhnya, maka ia mengundang pelbagai masalah. Tindakan menghina, mengutuk, mengkritik sesuatu bangsa atau mempersoalkan isu yang di labelkan sensitif seperti kedaulatan sultan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial membawa keburukan kepada negara.


10.  Kendatipun begitu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah sewajarnya kerana pendidikan sejarah itu penting dalam mendidik pelajar diperingkat rendah untuk mengenali sejarah negara dan bangsanya. Selagi ia tidak dijadikan matapelajaran wajib, golongan pelajar ini akan mengambil sikap sambil lewa untuk memahami sejarah.

11. Usaha yang dilakukan nanti pasti akan mendidik anak-anak bangsa lebih mengenali sejarah perjuangan nenek moyang dalam menegakkan kemerdekaan dan yang paling penting tahu menghormati bangsa lain.

Hisyam Nor.


No comments: