Monday, 4 August 2014

TRANSFORMASI PROGRAM KEJURULATIHAN

1. Kenyataan Mohd Hafifi Mansor, pemenang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel edisi ke-20 menarik perhatian saya iaitu program kejurulatihan perlu diperbaiki.

2. Isu ini seringkali dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang ingin melihat kemajuan sukan di negara ini. Setiap kali ianya diketengahkan, ada pihak-pihak yang tidak berpuashati dan tidak kurang juga yang menyokong. Walaubagaimanapun, ianya perlu diberi perhatian yang serius jika hendak melihat negara ini maju dalam bidang sukan atau setaraf dengan negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea dan China.

3. Seperti yang kita sedia maklum, persatuan sukan di negara ini telah wujud sejak zaman merdeka lagi. Sememangnya di awal zaman kemerdekaan, negara kita adalah antara kuasa besar dalam sukan tertentu seperti bolasepak, Hoki dan badminton. Namun kecemerlangannya beransur merosot dan kegemilangan tersebut telah diambilalih oleh negara lain seperti Korea dan Jepun. 

4. Sukan hoki adalah merupakan salah satu sukan pilihan untuk menuai pingat emas di Sukan Komanwel ke-XX. Namun begitu, skuad hoki negara telah mencipta sejarah baru apabila tewas kepada sebuah pasukan atau negara yang baru berjinak dengan sukan hoki iaitu Trinidad & Tobago. Skuad hoki negara dilihat dalam keadaan terumbang ambing setelah ditinggalkan oleh jurulatih Paul Revington dan diambilalih oleh jurulatih tempatan.

5. Apa yang ingin saya beri perhatian adalah sistem kejurulatihan yang di amalkan di negara ini tanpa mengira apa jua jenis sukan. Negara ini mempunyai ramai jurulatih yang berkaliber dan ada diantaranya boleh diiktirafkan sebagai bertaraf dunia. 

6. Apa yang perlu dilakukan adalah mengemaskini program latihan dari masa ke semasa. Pemain perlu didedahkan kepada teknik terkini atau kaedah yang terbaru dalam sukan tertentu. Seperti yang disebut oleh Mohd Hafifi Mansor, program kejurulatihan lama dari Bulgaria adalah tidak relevan lagi kerana program dari China, Rusia dan Kazakhstan telah maju di peringkat dunia.

7. Saya berpandangan jurulatih asing atau dari luar negara masih lagi diperlukan bagi membantu pembangunan sukan di negara ini. Khidmat jurulatih luarnegara ini banyak membantu kepada pembangunan sukan negara. Mungkin salah satu sebabnya adalah kerana banyak kajian-kajian telah dilakukan oleh barat khususnya dalam sains sukan.

8. Disamping itu, jurulatih tempatan perlu lebih pro-aktif serta mempelajari dan mendalami sesuatu kaedah dengan pantas. Mereka perlu rajin membuat kajian sendiri berdasarkan data-data sewaktu latihan serta pencapaian di peringkat kejohanan. Mereka perlu berani mencuba sesuatu teknik yang baru untuk diterapkan kepada pemain.

9. Tugas seorang jurulatih bukan lah mudah kerana ianya memerlukan pemikiran yang strategik dan mendapat maklumat terkini dalam aspek kejurulatihan. Tambahan pula ramai dikalangan atlet pada masa ini adalah dikalangan generasi Y yang mana mereka berani memberi pandangan serta didedahkan dengan teknologi semasa. 

10. Oleh yang demikian, badan-badan sukan yang menguruskan sukan di negara ini perlu mengambil perhatian yang serius dengan program kejurulatihan. Kajian perlu dilakukan pada setiap masa dalam mengenalpasti apakah program yang sesuai pada masa kini dan kejayaan negara mana yang perlu dilihat sebagai penanda aras atau benchmarking.

Hisham Nor.



No comments: